Tuesday, December 18, 2018

Ini, Penjual Ikan Berpakaian Seksi..


Hasil carian imej untuk Ini, Penjual Ikan Berpakaian Seksi..
Liu kini popular gara-gara menjual ikan berpakaian ala model.

CHANGHUA - TAIWAN. Siapa sangka, seorang wanita cantik, berpakaian seksi menjual ikan di pasar basah di Taiwan kini telah menjadi selebriti popular.
Mendapat jolokan penjual ikan tercantik di Taiwan, Liu Pengpeng, 26, berkata, dia sekadar membantu ibunya ketika ada masa terluang di gerai makanan laut milik keluarga di daerah Changhua.
Sebelum ini, tular video dan gambarnya di media sosial menunjukkan Liu memakai apron dan sibuk menyiang ikan serta melayan pelanggan.
Gara-gara berpakaian ala model dan seksi ketika menjual ikan, Liu mencuri perhatian pelanggan serta netizen.

Kini gerai ibunya semakin popular dan pada satu masa menerima 30 pelanggan termasuk krew televisyen.
"Kedai ini diusahakan oleh keluarga sejak empat generasi dan sehingga kini perniagaan mendapat sambutan amat menggalakkan," katanya menolak dakwaan gaya penampilan ala model adalah untuk meraih publisiti.
Sebaliknya dia telah membantu ibunya sejak berusia 13 tahun dan cekap menguruskan gerai tersebut.
Lui juga berbesar hati sekiranya para pelanggan datang ke gerainya untuk membeli makanan laut bukan mengganggu dengan merakam gambarnya. - Dailymail

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Itulah bezanya perniagaan orang bukan Islam dengan perniagaan dalam Islam yang tidak 'menghalalkan cara'. Apa lagi bila yang berniaga itu seorang muslimah. Bukan asal dapat untung tidak peduli halal haram lagi.. Tidak kira maruah dan aurat lagi.

Mahalnya Maruah Muslimah Dilindungi.. 

Mari kita lihat dalam sejarah Islam, semasa zaman gemilangnya di bawah pemerintahan khalifah Al-Mu'tasim, khalifah Bani Abbasiyah (833-842M). Sila rujuk kitab 'Al-Kamil fi al-Tarikh' karya Ibn Al-Athir, terjadi pada tahun 223 Hijriyyah, di bawah judul 'Penaklukan kota Ammuriah'.

Dilaporkan, seorang Muslimah rakyatnya dari keturunan Bani Hashim sedang membeli-belah di sebuah pasar dalam negeri di bawah kekuasaan Romawi. Yakni bukan di bawah pemerintahan Al-Muktasim, di utara benua Asia. atau tepatnya di kota Ammuriah, dalam negara Turki hari ini.

Semasa sedang berjalan itulah, Muslimah tersebut diganggu oleh seorang lelaki Romawi dengan menyentuh hujung tudung atau jilbabnya. Lantas secara spontan wanita itu menjerit..

"Wa Mu'tashamah!!" Ertinya, 'Dimana kau Mu'tasim'. Dia menyeru kepada Khalifah atau kerajaannya, yakni kerajaan Islam pada masa itu. ... "Tolonglah aku".

Takdir Allah SWT, teriakan Muslimah tersebut akhirnya sampai ke telinga Khalifah al-Mu'tasim. Ketika itu, al-Mu'tasim, khalifah Bani Abbasiyah, sedang memegang gelas untuk minum. Didengarnya berita seorang Muslimah dilecehkan auratnya oleh tentera Romawi.

Khalifah itupun langsung berseru kepada panglima perangnya agar bersiap menuju Ammuriah, tempat dimana Muslimah tersebut menjerit meminta tolong. Puluhan ribu tentera pun dikerah mulai dari gerbang ibukota di Baghdad hingga hujungnya mencapai kota Ammuriah.

Pembelaan kepada Muslimah ini sekaligus dimaksudkan oleh khalifah sebagai pembebasan Ammuriah dari jajahan Romawi. Catatan sejarah menyatakan, ribuan tentera Muslim bergerak di bulan April, 833 Masehi dari Baghdad menuju Ammuriah. Kota Ammuriah dikepung oleh tentera Muslim selama kurang lebih lima bulan hingga akhirnya takluk di tangan Khalifah al-Mu'tasim pada 13 Ogos 833 Masehi.

Bayangkan, hanya kerana seorang wanita rakyat di bawah naungannya, yang dilecehkan rakyat Romawi dan menjerit minta tolong 'Wahai Mu'tasim!". Maka Khalifah tersebut tersentuh hatinya dan terbakar ghiroh tanggungjawab kepimpinan Islamnya, sehingga dilancarlah serangan penaklukan ke Ammuriah. Akhirnya, wanita itu dapat dibebaskan. Allahu Akbar!

Zaman Nabi.

Begitu juga yang berkaku pada zaman Nabi Muhammad SAW. Dikisahkan ada seorang tukang emas Yahudi Bani Qainuqa menganiaya kehormatan seorang Muslimah dengan mengikat pinggir bajunya sehingga menyebabkan tubuhnya tersingkap. Masa itu, seorang lelaki Muslim kebetulan berada di sana dan terus membunuh orang Yahudi itu sebagai balasan.

Lalu orang-orang Yahudi membalas balik dengan membunuh lelaki Muslim itu. Keluarga lelaki itu memanggil kaum Muslimin untuk membantu dan Nabi SAW, mengirimkan pasukan melawan mereka. Setelah 15 hari pengepungan seluruh suku Bani Qainuqa diusir keluar dari Madinah. Ertinya kerajaan Islam melindungi maruah dan sensitifiti rakyatnya. Subhanallah!

Khalifah Umar bin Abdul-Aziz  

Di masa Khalifah Umar bin Abdul-Aziz pula, beliau pernah mengirim surat kepada para tahanan perang, orang Muslim di Konstantinopel. Beliau mengatakan kepada mereka:

  • "Kamu menganggap dirimu sebagai tahanan perang. Padahal kamu bukan tahanan perang. Kamu terkunci di jalan Allah. Aku ingin kamu tahu bahawa setiap kali aku memberikan sesuatu kepada kaum Muslim, aku memberikan lebih banyak untuk keluarga kamu. Dan aku mengirimkan sekitar 5 dinar untuk setiap salah satu dari kamu.  Dan andainya bukan kerana aku takut diktator Romawi akan mengambilnya dari kamu, tentu aku akan mengirimkan lebih. Aku juga telah mengirim banyak untuk menjamin pembebasan setiap salah satu dari kamu tanpa memikirkan berapa biayanya. Jadi gembiralah! Assalamu Alaikum. "
Begitulah cara melindungi wanita supaya tidak diganggui atau dihina oleh musuh-musuh Allah SWT. Wallahu 'aklam.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails