Wanita itu bersama pasangan 'terlarang'nya turut dikenakan denda RM2,400 oleh Mahkamah Rendah Syariah Kuala Terengganu hari ini.
KUALA TERENGGANU - Hubungan sulit seorang pembantu kedai makan yang juga berstatus isteri orang dengan seorang duda bukan sahaja terbongkar selepas mereka dicekup berkhalwat di sebuah bilik hotel bajet di bandaraya ini.
Malah, wanita itu bersama pasangan 'terlarang'nya turut dikenakan denda RM2,400 oleh Mahkamah Rendah Syariah Kuala Terengganu hari ini atau diarahkan menjalani tiga minggu penjara sekiranya gagal menjelaskan denda.
Keputusan dibuat selepas wanita berusia 38 tahun bersama pasangannya, 34, yang bekerja sebagai jurujual mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana berkhalwat.
Mengikut pertuduhan, pasangan yang berasal dari Kelantan dicekup selepas bilik di sebuah hotel bajet di sewa mereka diserbu dalam satu serbuan berwaran, kira-kira jam 10.40 malam, pada 14 Disember tahun lalu.
Sementara itu, di mahkamah sama, seorang remaja yang juga berstatus isteri orang diarahkan dihantar ke Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan, Sabak Bernam, Selangor, selama tiga bulan.
Keputusan dibuat selepas gadis berusia 18 tahun itu mengaku berkhalwat bersama dua rakan lelakinya, 38 dan 19 tahun, yang mana salah seorang daripadanya berstatus suami orang di sebuah rumah tumpangan di Bukit Tunggal, Kuala Nerus.
Dia yang tidak bekerja itu mengaku bersalah melakukan perbuatan tidak bermoral berkenaan selepas rumah tumpangan disewa mereka diserbu, kira-kira jam 1.11 pagi, pada 5 Jun lalu.
Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Syarie, Muhammad Hafiz Razali. (SH)
No comments:
Post a Comment