KUALA LUMPUR: Aspek spritual dalam ajaran Islam dapat mengatasi barah rasuah, penyelewengan dan salah guna harta rakyat yang berlaku, demikian kata Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Menurutnya, undang-undang yang diamalkan tanpa aspek spiritual tidak mampu mencegah jenayah tersebut di mana tetap dilakukan dengan cara menipu atau mengatasi perundangan tersebut.
Jelas beliau, aspek roh atau spiritual bukan sahaja akan menyedarkan bahawa jenayah tersebut salah dari segi perundangan, tetapi juga haram dan berdosa serta membawa kepercayaan akan turut dihukum di alam kubur dan Hari Akhirat.
Perkara tersebut dinyatakan beliau semasa sesi dialog bersama warga Malaysia pada program An Evening With Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Hotel Holiday Villa, Landon, United Kingdom, kelmarin.
"Bukan sahaja 1MDB, Tabung Haji, termasuklah BMF Bank Bumiputera yang dimatikan, berlaku penyelewengan. Di mana ada Pejabat Umno di seluruh Bank Bumiputera, Bank Bumiputera mati, hilang.
"PKFZ melibatkan MCA. Mika Holdings melibatkan MIC. PERWAJA, semua melibatkan bilion (Ringgit) harta rakyat, peristiwa kapal selam (Scorpene), Sky Hawk, disamping banyak yang terkini," ujarnya menyenarai isu berkaitan.
Terang beliau, selain aspek spiritual, tindakan juga mesti diambil dengan adil dan bebas, termasuk pernah dicadangkan PAS supaya menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja yang tidak terikat politik.
Kerana menurutnya, di Malaysia tidak ada pemisahan kuasa antara Legislatif, Eksekutif dan Kehakiman di mana berlaku campur tangan antara politik, mahkamah dan pentadbiran.
"Ini berlaku, sangat memalukan kita di Malaysia. Pemisahan kuasa itu tak ada. Sedangkan Islam mengajar pemisahan kuasa. Politik tak boleh campur urusan mahkamah.
"Dengan sebab itulah banyak kes-kes yang lalu, bukan 1MDB (sahaja). 1MDB ini pun percayalah, akan letak bawah karpet sebagaimana juga kes yang berkait dengan PKFZ, PERWAJA dan lain-lain yang berlaku masa dulu," ujarnya menerang natijah tanpa aspek spiritual.
Beliau turut mengemukakan perbezaan berkaitan hamba abdi antara yang pernah diperjuangkan oleh Abraham Lincoln di Amerika berbanding telah ditunjukkan dalam ajaran Islam sebagai mengukuh penjelasannya.
Terangnya, walaupun Islam membenarkan hamba abdi, tetapi mesti dijaga seperti anak dan isteri di mana jika sebaliknya akan menyebabkan dosa, selain beroleh pahala jika memerdekakan hamba.
Begitu juga katanya, sekiranya berlaku jenayah oleh pemilik sekalipun tanpa sengaja ke atas hamba abdi itu, hukumannya juga adalah dengan memerdekakan hamba tersebut.
"Aspek spiritual yang ada dalam Islam ini menyebabkan dalam Dunia Islam tak ada lagi hamba abdi, tak ada aparteid. Walaupun Amerika berbangga melantik Obama jadi Presiden, tapi nasib orang kulit hitam masih tak terbela sebagaimana berlaku dalam Dunia Islam," hujahnya. -HARAKAHDAILY 27/12/2018
Lihat sebelum ini..
No comments:
Post a Comment