Seorang penoreh, Mat Dali Saad memeriksa susu getah hasil torehannya di sebuah kebun getah di Kampung Katong, Arau, Perlis. Pekebun-pekebun kecil getah keliru dengan penetapan harga lantai getah pada kadar RM2.50 sekilogram oleh kerajaan yang akan berkuatkuasa Januari ini. - UTUSAN ONLINE/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Pekebun kecil keliru dengan harga lantai getah
KUALA LUMPUR 26 Dis. - Segelintir pekebun-pekebun kecil getah ketika ini didapati keliru dengan penetapan harga lantai getah pada kadar RM2.50 sekilogram oleh kerajaan yang akan berkuatkuasa Januari ini.
Presiden Pertubuhan Usahawan Getah Bumiputera Malaysia (PUGBM), Kameruzaman Ab Rahman berkata, terdapat pekebun kecil getah yang beranggapan harga lantai tersebut adalah harga minimum yang perlu dibayar oleh pembeli-pembeli berlesan.
Sedangkan jelasnya, maksud harga lantai yang akan berkuatkuasa mulai Januari 2019 itu adalah kadar pengaktifan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) dari RM2.20 kepada RM2.50.
Tambahnya, ketika ini pekebun-pekebun getah mula membantah pembeli-pembeli getah berlesen yang tidak membuat bayaran mengikut harga lantai iaitu RM2.20 sekilogram.
"Mereka juga beranggapan mulai Januari 2019 setiap pembeli getah dikehendaki membeli getah dengan harga minimum RM2.50. Keadaan ini mengundang ketegangan di antara pekebun kecil getah dengan pihak pembeli-pembeli getah berlesen.
"Keadaan lebih merumitkan apabila di sesetengah kawasan terdapat pembeli-pembeli getah tanpa lesen membuat pembelian dengan harga lebih tinggi sedangkan mereka tidak menanggung apa-apa kos dan tidak terikat dengan arahan yang dikeluarkan oleh pihak Lembaga Getah Malaysia (LGM), "katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Baru-baru ini, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ir Amiruddin Hamzah dilaporkan berkata, kerajaan akan menetapkan harga lantai getah sekerap kepada RM2.50 sekilogram mulai Januari ini.
Langkah itu jelasnya, bagi mengelak pekebun getah terus terjejas akibat kejatuhan harga bahan komoditi itu serta memastikan harga sekerap kembali stabil selepas mengalami kejatuhan kepada hanya RM1.90 sekilogram ketika ini.
Dalam pada itu, untuk memberi penerangan lanjut, Kameruzaman turut memberi contoh harga lantai untuk IPG.
Kata beliau, jika purata harga bulan Januari 2019 adalah RM1.80 sekilogram, bermakna tuntutan IPG yang akan dibayar adalah 70 sen bagi setiap kilogram jualan getah pekebun kecil yang seterusnya akan dibayar pada bulan Februari 2019.
"Jika purata harga bulan Februari adalah RM2.00, maka bayaran IPG yang akan dibayar atau tambah adalah 50 sen sekilogram yang akan dibayar dalam bulan Mac 2019.
"Pihak PUGBM bersedia untuk berkerjasama dengan agensi berkaitan seperti LGM dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) untuk mengadakan majlis penerangan kepada masyarakat pekebun kecil getah di peringkat lapangan," katanya. - UTUSAN ONLINE
Komen Weblog Ibnu Hasyim: "Keadaan lebih merumitkan apabila di sesetengah kawasan terdapat pembeli-pembeli getah tanpa lesen membuat pembelian dengan harga lebih tinggi sedangkan mereka tidak menanggung apa-apa kos dan tidak terikat dengan arahan yang dikeluarkan oleh pihak Lembaga Getah Malaysia (LGM), "
Kerajaan PH, sila selesaikan segera, jangan sampai kamu dianggap sebahagian dari lintah darat!
2 comments:
Harga Getah dan barangan lain sepatutnye ditentukan oleh pasaran...jika harga jatuh penoreh kurangkan torehdan penoreh sepatutnye berusaha mencari peketjaan lain....
Kerajaan negeri pas bn dan ph membantu penoreh mendapatkan kerja lain yg boleh meningkatkan pendapatan lain...getah bukan lagi bahan komoditi yg boleh memberi pulangan yg baik kpd penoreh getah.. Sejak berpuluh tahunyg lampau getah asli sudah ade saingan dgn getah tiruan...pengeluar getah asli bukan malaysia sahaja...
Sudah sampai masanye kerajaan jalankan kajian tanah getah ditanam dgn tanaman lain....
Post a Comment