MASJID Raya 99 Kubah di Makassar, Sulawesi Selatan, Indonesia, dijangka siap tahun hadapan. AGENSI
JAKARTA 28 Dis. – Masjid Raya 99 Kubah dekat Makassar bakal menjadi ikon baharu Sulawesi Selatan selepas kerja pembinaannya dijangka siap, tahun hadapan.
Ketua Jabatan Sumber Air, Penempatan dan Perancangan Ruang Sulawesi Selatan, Andi Darmawan Bintan berkata, masjid itu bakal siap sepenuhnya pada 2019 jika tidak berlaku penambahan kepada kos bangunan berjumlah 176 bilion rupiah (RM50.3 juta) itu.
Detik News melaporkan, kerajaan Sulawesi Selatan sedang menyediakan bajet berjumlah 58 bilion rupiah (RM16.6 juta) untuk menyiapkan projek berkenaan.
Dana itu diperuntukkan untuk membina 17 buah kubah yang belum siap termasuk menara masjid dan kawasan ruang solat yang boleh menampung sehingga 10,000 jemaah pada satu-satu masa.
“Konsep ruang solat ini akan menyamai Masjidilharam yang boleh memuatkan ramai orang. Kemudian akan ada tangga yang bakal dibina untuk jemaah pergi ke ruang solat tersebut,” katanya.
Andi mengakui masih menunggu laporan audit untuk tahun ini sebelum dana berjumlah 58 bilion rupiah (RM16.6 juta) disalurkan susulan berlakunya proses peralihan kuasa di wilayah berkenaan yang diketuai oleh Nurdin Abdullah.
Andi mendakwa, masjid itu yang terletak di kawasan Center Point of Indonesia (CPI) di Makassar, akan menjadi satu daripada 30 masjid paling unik di dunia.
“Di Indonesia, masjid ini akan tersenarai dalam 10 yang terbaik,” ujarnya. – AGENSI
No comments:
Post a Comment