Saturday, December 22, 2018

Meracau, Bila PM Tolak P'raya PBT -A/Hadi Awang



BANGI, 13 Rabiulakhir 1440H, Jumaat – Demikianlah apa yang dikatakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika mengulas isu pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT), yang dilaporkan tidak dipersetujui Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata, sistem kerajaan tempatan yang dituru daripada Britain diteruskan selepas Malaysia merdeka pada 31 Ogos 1957, tetapi dibatalkan apabila wujud gejala negatif sehingga mencetuskan permusuhan kaum, akibat jurang ekonomi di antara bandar dan luar bandar.
Sekarang ini, katanya, pilihan raya PBT hendak diadakan semula dengan yang menyokong memberi alasan bagi menghidupkan demokrasi, memperbaiki pengurusan supaya lebih bersih dan bijak, selain yang utama ialah menjana ekonomi.
“Keseluruhan ideologi ciptaan manusia yang berpayungkan politik dan pentadbirannya tanpa menyentuh soal roh dan akhlak, serta tidak mempedulikan hubungan antara kaum, maka persoalan akhlak berpisah daripada agama, jauh sekali mengambil kira soal dosa dan pahala.
“Kebanyakan mereka lebih bertuhankan akal semata-mata, tanpa melihat kepada segala aspek yang ada kaitan dengan kejadian manusia, khususnya aspek negatif yang boleh mengundang dengan mudah beberapa bencana, akhirnya kepayahan dihadapi dan sukar untuk menyelesaikan masalah yang bertalu-talu datang selepasnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Abdul Hadi berkata, DAP mendukung kuat pilihan raya PBT hanya mengambil kira kaum Cina yang mengundinya sahaja, tanpa mempedulikan kaun dan pihak lain yang menjadi nadi dan urat saraf dalam menghidupkan bandar yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama yang wajib dijaga segala hubungan dan sensitivitinya.
“Adapun PKR dan PAN pula tidak berbangsa dan ada yang punya kebangsaannya, tetapi tanpa jiwa atau tidak berjantungkan agama. Kaumnya tidak berjiwa bangsa dan agama. Bangsa dan agamanya laksana jenama yang ditampal pada botol majun penguat nafsu yang menjadi syarat rukun hidup masyarakat Melayu dahulu kala dan Melayu kini yang dikatakan mudah lupa. 

“Petandanya menjadi leka dalam usia yang terlalu muda, belum sampai setahun jagung. Sudahlah UMNO pula mengalami kelumpuhannya yang berusia tua dan berpenyakit kerana panjang usia memerintah.

“Berfikirlah dengan matang dan sejahtera bersama Islam, tanpa paksaan menganut agama dan menukar bangsanya, demi keselamatan semua dan masa depan generasi akan datang,” katanya.
Katanya, jangan sekadar mentadbir bandar dengan bangunannya tanpa pembangunan manusia yang bersopan dan bersaudara. 

“Jangan sekadar membangun bandar yang banyak duit daripada sumber apa sahaja, termasuk duit haram, seperti cukai rumah urut, pelacuran dan bayaran untuk gengster dan kongsi gelap. Semuanya akan menempah kehidupan yang cerah untuk sementara waktu dan selepasnya bergelap sepanjang waktu.

“Alasannya juga kerana terdapat sebanyak 101 daripada 192 buah negara di dunia yang mengadakan Pilihan Raya PBT. Oleh kerana Malaysia berada dalam dunia, maka wajiblah mengikut alam dunia itu sehinggalah berlakunya Kiamat Kubra,” katanya.
Abdul Hadi berkata, jika diluluskan, pilihan raya PBT akan diadakan di seluruh Malaysia, sama ada secara serentak atau berperingkat, dengan beberapa pindaan akta diperlukan, sehingga dikatakan mungkin akan lebih meriah berbanding Pilihan Raya Umum (PRU).
Namun, beliau mengingatkan bahawa mengikut perhitungan kasarnya, bangsa Melayu atau Bumiputera sekadar menguasai bandar seperti Baling di Kedah, Gua Musang di Kelantan, Kuala Berang di Terengganu, Tembeling di Pahang, Lubuk Antu di Sarawak dan sebagainya.
“Keputusannya sekadar untung seguni ubi, ruginya pula berhutang dengan bank yang tidak mampu dibayar dengan nilai seguni ubi dan boleh berundur daripada tapak rumah dan tapak ubinya sehingga melarikan diri ke hutan rimba dan sebagainya.
“Adapun DAP dan PKR serta yang sewaktu dengannya akan menguasai Bandar Raya Kuala Lumpur, Ipoh, Seremban, Kota Melaka, Johor Bahru, Pulau Pinang dan sebagainya. PKR boleh menumpang sementara waktu dan PAN dapat menumpang semangkuk dan akan hilang waktunya.
“Apabila adanya berita bahawa Perdana Menteri menolak diadakan pilihan raya PBT, ia menjadikan ada yang terkejut meracau, namun keadaannya:

Parti Bersatu terbuka hati,
Umno dan BN berkecil hati,
DAP sakit hati,
PKR luka hati,
PAN pula buta hati,
Adapun PAS sentiasa berhati-hati.
(ismaweb.net)

No comments:

Post a Comment