Tuesday, December 25, 2018

Pembinaan Negara Melalui Keadilan &Memakmur Bumi.. -Presiden PAS Di Dublin, Ireland.


KUALA LUMPUR: Pembinaan negara hanya dapat dicapai melalui keadilan pemerintahan yang ditegakkan untuk rakyat bersama usaha memakmurkan bumi dengan petunjuk daripada Allah S.W.T.
Bukan dengan membina bangunan-bangunan atau kehebatan tamadun sahaja, sedangkan rakyat dizalimi dan ditindas, demikian tegas Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Beliau mengingatkan bahawa kerajaan manusia walaupun memiliki segala kehebatan menakluk dunia tetap tidak berlangsung selamanya, sebaliknya yang kekal adalah Kerajaan Allah S.W.T.
Perkara tersebut dinyatakannya ketika menjawab soalan hadirin dalam program "An Evening With Tuan Guru Abdul Hadi Awang" bersama warga Malaysia di Dublin, Ireland, kelmarin.
Jelasnya, Allah menunjukkan Kerajaan Nabi Sulaiman, Zulkarnain dan Nabi Daud semua dihapus lenyapkan tanpa meninggalkan tanda, sebaliknya Kerajaan Firaun, Namrud, Tsamud, China dan lain-lain tamadun ada meninggalkan kesan.
"Mengajar kita bahawa untuk membina negara bukan dengan bangunan-bangunan sahaja, tetapi menegakkan keadilan pemerintahan untuk rakyat. Bukan bermakna Nabi Sulaiman tak ada pembangunan, Baginda boleh guna jin untuk pembinaan.
"(Tapi) Allah Taala tinggalkan kesan tamadun Tembok Besar China, Piramid di Mesir. Pengkaji Barat kagum hebat tamadun itu. Mereka tidak baca berapa juta rakyat mati untuk buat Tembok Besar itu? Dibina atas kezaliman menindas rakyat.
"Itu kita lupa. Paling penting adalah manusia memakmurkan bumi dengan petunjuk Allah S.W.T," ujarnya memandu arah kefahaman hadirin pada majlis tersebut.
Begitu juga menurutnya, Malaysia adalah negara yang kaya dengan hasil buminya selain tenaga manusia terdiri dari pelbagai bangsa dan budaya di mana jika diadun sebaiknya akan jadi kuasa ekonomi sangat hebat.
Namun kata beliau, sebaliknya terjadi apabila penduduk peribumi dalam keadaan ketinggalan di mana walaupun 65 peratus rakyat adalah Muslim, tetapi 80 peratus ekonomi dikuasai oleh kaum bukan Islam.
Terangnya, hal tersebut terjadi kerana warisan dan acuan peninggalan penjajah yang telah menyusun sedemikian membawa pendatang menguasai kedudukan strategik ekonomi, sedangkan orang Islam dipencilkan.
Perkara tersebut diperincikannya dengan keadaan penyusunan yang tidak selaras di mana hasil dari Pantai Timur yang banyak, tetapi industri dan pelabuhan dibina di Pantai Barat.
Begitu juga petiknya contoh lain seperti Singapura yang mengeksport ke luar negara hasil kayu, buah-buahan dan sebagainya, sedangkan negara tersebut tidak memiliki sumber sedemikian.
"(Negara) Kita ada macam-macam. Kaji, tapi kajian tak turun ke bawah, ini berlaku. Bahkan banyak cerdik pandai, (mereka) balik tak dimanfaatkan. Dengan sebab itu ramai yang kerja luar negara.
"Sepatutnya sekarang pasca teknologi, pakar-pakar ini (dimanfaatkan), tetapi kerana pengaruh politik tidak sihat masuk (sampai) universiti pun lantik Naib Canselor kira politik juga," ujarnya. - HARAKAHDAILY 25/12/2018

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails