KITA wajib belajar dari sejarah kejatuhan Uthmaniah. Peranan intelijen British yang mengawal penguasa umat Islam dengan cara mengampu.
Bahkan T.E. Lawrence bangga menceritakan pengalaman beliau bergaul dengan Arab era Perang Dunia Pertama dan di ambang kejatuhan Uthmaniyyah.
Kejayaan memperdaya umat Islam tersebut turut dimuatkan di dalam beberapa buku catatan beliau, antaranya "Handling Hejaz Arab is an art, not a science/The 27 Articles of T.E. Lawrence" dan "Seven Pillars of Wisdom".
Perkongsian beliau dalam menggambarkan nuansa tradisi dan budaya dunia Timur telah mencetuskan semangat Orientalis Barat yang lain untuk mengkaji dunia Islam dengan lebih mendalam.
Mereka mengkaji sudut-sudut serangan strategik bagi melemahkan gerakan Islam.
Antara petikan nasihat Lawrence adalah seperti berikut;
"Win and keep the confidence of your leader. Strengthen his prestige at your expense before others when you can. Never refuse or quash schemes he may put forward; but ensure that they are put forward in the first instance privately to you. Always approve them, and after praise modify them insensibly, causing the suggestions to come from him, until they are in accord with your own opinion. When you attain this point, hold him to it, keep a tight grip of his ideas, and push them forward as firmly as possibly, but secretly, so that to one but himself (and he not too clearly) is aware of your pressure."
"Read their characters, discover their tastes and their weaknesses and keep everything you find out to yourself."
"Your ideal position is when you are present and not noticed. Do not be too intimate, too prominent, or too earnest."
Tipu daya mereka berlangsung penuh kewaspadaan, sedangkan pemimpin Islam acapkali termakan bahasa lunak mereka lalu menganggap mereka bukan ancaman sebaliknya dilayan sebagai rakan. Sikap tidak acuh seperti ini bertentangan dengan prinsip hazar(kewaspadaan) seorang Mukmin. Kita sering menanti diserang hendap, baru mahu tersedar dari khayalan.
Bertambah malang, apabila wujud kumpulan yang sedar dan memperingatkan perihal ancaman ini lazimnya dicemuh sebagai petualang gerakan, manakala mereka yang lalai dengan habuan, berada dalam kawalan musuh pula dijulang sebagai pejuang sejati:
"Manusia bertanyakan kepada Rasulullah S.A.W perihal (urusan) kebaikan, adapun aku (Huzaifah al-Yamani) bertanyakan kepada Baginda (peristiwa-peristiwa) keburukan, (fitnah atau konflik) kerana takut terjerumus ke dalamnya..."
SOFIA ALWANI 11 Ogos 2018. - HARAKAHDAILY 11/8/2018
TAJUK ini sebahagian daripada Feqah Politik Islam (Siyasah Syar’iyyah) yang penting bagi membuat keputusan yang berkait dengan hukum, pendekatan atau hubungan dengan kumpulan tertentu secara ijtihad. Pertimbangan sama ada mengambil maslahat yang lebih utama atau menolak mudarat yang lebih besar, dengan bersedia menerima mudarat yang lebih ringan daripadanya.
Tepat dengan makna perkataan muwazanah yang bererti membuat pertimbangan yang wajar dalam beberapa perkara untuk dipilih menjadi keputusan yang terbaik dari segi Maqasid As-Syariah (tujuan mencapai matlamat menegakkan Islam), bukannya meninggalkan syariat.
Contohnya, Allah mewahyukan permulaan Surah Ar-Rum, membetulkan sikap Rasulullah S.A.W dan para sahabatnya dalam politik antarabangsa pada zamannya terhadap peperangan di antara Rom dan Parsi. Umat Islam berpihak kepada Rom kerana mereka adalah penganut Kristian Ortodoks (ahli kitab). Sebaliknya Musyrikin Makkah berpihak kepada Parsi yang beragama Majusi (menyembah api). Walaupun kedua-duanya bermusuh terhadap Islam, di mana akhirnya kedua-dua kuasa besar itu dijatuhkan oleh Islam.
Selain itu juga, penerimaan Rasulullah S.A.W terhadap perjanjian Hudaibiyyah yang nyata isi kandungannya sangat menyelebihi mengikut kemahuan musuh, sehingga para sahabat tidak berpuas hati atau tidak senang dengan syarat-syarat perjanjian itu.
Namun, Rasulullah S.A.W menerima dan akur dengan perjanjian itu, apabila membiarkan syarat yang sangat tidak adil, kerana muwazanah (pertimbangan) dari segi politik umum, mengambil kira negara Islam diiktiraf oleh musuh menjadi negara yang sah dan mewujudkan suasana aman tanpa ketegangan serta memberi ruang yang lebih luas kepada dakwah Islam diterima tanpa tekanan yang menakutkan mereka dari kalangan yang lemah imannya. Kebenarannya berlaku selepas itu, apabila meningkatnya jumlah umat Islam berkali ganda dengan besar selepas perjanjian damai. Hudaibiyyah menjadi sebab kepada Fathu Makkah (dibebaskan daripada penguasaan jahiliyyah) apabila pihak musuh tidak menunaikan perjanjian.
Rasulullah S.A.W juga membatalkan tahaluf (persefahaman) dengan kaum Yahudi apabila mereka mengkhianati perjanjian walaupun mereka adalah ahli Kitab, sebaliknya mengukuhkan hubungan dengan kabilah Khuza’ah (musyrikin) yang lebih setia dan sederhana sikapnya.
Firman Allah menjadi asas bagi menentukan perbezaan sikap terhadap bukan Islam:
“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. (8); Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. (Ingatlah) sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”. (9) (Surah Al-Mumtahanah: 8-9)
Contohnya juga, apabila para ulama’ membuat keputusan membiarkan kaum Tatar yang sangat ganas membunuh itu mencemarkan masjid dengan arak yang haram hukumnya dan membiarkan mereka mabuk adalah lebih baik daripada mereka ganas membunuh yang lebih besar mudaratnya.
Apa yang terpenting juga ialah ketaatan dan kesetiaan (wala’) generasi awal kepada pemimpin dan jamaah yang mengambil apa-apa keputusan walaupun hati mereka tidak bersetuju, tetapi kepercayaan dan wala’ (setia) kepada pemimpin yang lebih memahami keadaannya sangat penting, berpandukan firman Allah:
“Dan apabila datang kepada mereka sesuatu berita mengenai keamanan atau kecemasan menakutkan, mereka terus menghebahkannya. Padahal kalau mereka kembalikan sahaja hal itu kepada Rasulullah dan kepada Ulil Amri (pemimpin dan para ulama’) di antara mereka, tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang-orang yang layak mengambil keputusan mengenainya di antara mereka. Dan jika tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihan-Nya kepada kamu, tentulah kamu (terbabas) menurut syaitan kecuali sedikit sahaja (iaitu orang-orang yang teguh imannya dan luas ilmunya di antara kamu”. (Surah An-Nisa’:83)
Cukup menjadi iktibar juga dalam sejarah Andalusia yang bertahan selama lapan abad apabila raja-raja dan pemimpin Islam melupai perselisihan atau perkelahian sesama mereka, seorang ulama’ menasihatkan:
“Bahawa menjadi gembala unta kepada pemimpin Islam yang zalim adalah lebih baik daripada menjadi gembala babi kepada bukan Islam.”
Apabila ucapan ini dilupakan, terdapat kalangan yang menjadikan musuhnya dari kalangan kawan yang dipercayainya, akibatnya hilang Andalusia daripada kekuasaan Islam yang berkat. Sebab yang sama juga jatuhnya kerajaan Islam di Rantau Nusantara dan negara-negara lain kepada penjajahan yang kesannya sangat parah beberapa abad sehingga kini.
Terkini bencana lebih besar boleh berlaku apabila kalangan generasi baru umat Islam yang jahil agamanya tidak meletakkan kepentingan Islam sebagai perkara pertama, kerana bencana kejahilan agama dan hilangnya jati diri beragama, sehingga kepentingan Islam diperkecilkan dan isi perut diutamakan. Akibatnya menimpa diri di alam dunia ini dan selepas kematiannya di Hari Akhirat. Bacalah firman Allah:
“(Ingatlah) hari (Hari Kiamat) Kami menyeru tiap-tiap kumpulan manusia dengan nama imamnya (Nabi dan pemimpin yang diikuti di dunia); kemudian sesiapa diberikan kitabnya (suratan amal) di tangan kanannya, maka mereka itu akan membacanya (dengan sukacita), dan mereka tidak dikurangkan (pahala amal-amalnya yang baik) sedikitpun. (71); Dan (sebaliknya) sesiapa yang berada di dunia ini (dalam keadaan) buta (mata hatinya), maka ia juga buta di Akhirat dan lebih sesat lagi jalan-Nya”. (72) (Surah Al-Isra’: 71-72)
Islam mengajar pengikutnya supaya bijak memilih kawan atau sahabat dalam perjalanan hidup sehingga bukan sahaja mengetahui batang tubuhnya sahaja, bahkan dilihat juga siapa kawannya yang akrab. Kata penyair Arab:
عن المرء لا تسأل وسل عن قرينه فكل قرين بالمقارن يقتدي
“Berkenaan seseorang itu jangan kamu tanya dia sahaja. Tanyalah juga siapa kawannya, kerana seringkali seseorang itu terikut dengan kawannya”.
Alasannya kerana sering kali manusia terpengaruh dengan temberang bohong dan uslub putar alam kalau tidak berhemah. Maka hendaklah diteliti dengan mengetahui siapa dirinya dan siapa pula kawannya.
Begitulah tujuan Feqah Muwazanah sangat penting bagi membuat keputusan yang tepat khususnya keputusan politik, apabila menjadi ‘king maker’ dalam Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS).
PAS meletakkan Islam adalah keutamaan dalam keputusannya yang tidak memisahkan politik daripada agama. Maka Feqah Muwazanah juga hendaklah digabungkan dengan Feqah Aulawiyyat dalam melaksanakan ilmu Maqasid As-Syariah yang berpacak mengikut tertib maslahat kebaikan dan mudarat keburukan.
Menjaga agama yang pertama, berikutnya menjaga nyawa, akal, keturunan, maruah dan harta. Maka tertib menjaga agama Islam hendaklah didahulukan daripada perkara-perkara yang lain, sama ada memilih maslahat yang lebih besar atau menolak mudarat yang lebih besar sehingga bersedia menanggung mudarat yang kecil.
PAS telah meletakkan kepimpinan tertinggi dalam pelbagai lapangan dengan pengawasan Majlis Syura Ulama’ sangat penting bagi menentukan ‘road map’ perjalanan PAS. Maka sesiapa daripada kalangan PAS ini, sama ada kalangan pemimpin paling atas sehinggalah dewan-dewan, negeri, kawasan, cawangan, sehinggalah ahli biasa, jangan bertindak sendiri dalam perkara yang besar menyentuh dasar dan matlamat parti Islam ini tanpa Feqah Muwazanah yang tepat.
Allah menegaskan ciri-ciri penting bagi kumpulan Islam yang wajib beristiqamah, sehingga kita tidak dipancing oleh mana-mana pihak. Seterusnya menjaga perpaduan berkonsepkan Al-Bayyinat(keterangan) secara nas dan ijtihad oleh mereka yang ahli di lapangannya.
Perlu diketahui bahawa Feqah Muwazanat sangat penting dalam menentukan isu politik terkini, bagi menyatukan umat Islam yang berpecah, jahil dan lemah sikap politik, ekonomi dan ilmunya. Seterusnya menanamkan kesedaran betapa wajibnya mempertahankan kuasa politik umat Islam.
PAS wajib menolak kalangan yang hanya mengejar kedudukan tanpa mengira dasar, konsep dan akhlaknya serta tanpa perhitungan menegakkan Islam dan kuasa politiknya.
PAS menjadikan pengalamannya di sepanjang perjalanan perjuangannya menilai setiap langkah yang berlalu, bagi mengatur ke hadapan dengan istiqamah bersama Islam. Demi kemenangan dunia sementara waktu dan kemenangan Akhirat yang kekal abadi adalah penting untuk mengumpulkan seberapa banyak ahli teras yang disifatkan oleh firman Allah:
“Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam). Maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran. Dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun. (23); (Berlakunya yang demikian) supaya Allah membalas orang-orang yang benar disebabkan kebenaran mereka, dan menyeksa orang-orang yang munafik jika ia kehendaki, atau ia menerima taubat mereka. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”. (24) (Surah Al-Ahzab: 23-24)
Ya, hanya yang bersikap benar membuktikan kesetiaannya kepada bai’ah, bukannya mereka yang sering kali ditipu pembohong dan pengkhianat.
MARANG – Datuk Seri Abdul Hadi Awang membidas sikap sesetengah penceramah PAS yang masih ‘ligat’ menyerang UMNO seolah-olah parti itu masih lagi memegang tampuk pemerintahan negara.
Sambil memberi bayangan akan bekerjasama dengan UMNO, Presiden PAS berkata, ahli parti itu perlu sedar dan mengambil langkah memilih pihak mana yang lebih baik untuk mempertahankan kuasa politik umat Islam.
“Terdapat kalangan penceramah PAS duduk hentam UMNO… UMNO dah kalah teruk, dia ingat UMNO jadi kerajaan lagi. Mereka perlu ingat yang memerintah sekarang adalah Pakatan Rakyat (PH) bukan UMNO lagi.
“Ini tidak, masih ceramah macam dulu juga, (mereka) ini tak faham dan tak reti (pandai) politik.
“Biar saya sebut terus terang, PAS sebagai parti Islam perlu mengambil satu langkah fiqah muwazanah iaitu pertimbangan untuk memilih (pihak) mana yang lebih baik untuk mempertahankan kuasa politik umat Islam, ini perlu difahami,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) di Dewan Majlis Daerah Marang di sini, hari ini.
Abdul Hadi berkata, Pilihan Raya Umum (PRU) lalu memperlihatkan keputusan unik apabila pemerintah tidak seimbang dengan demografi penduduk Malaysia.
“Keputusan PRU lalu ditentukan orang muda berusia 21 hingga 30 tahun dan pengundi bukan Islam. Sebanyak 30 peratus pengundi muda yang baharu setahun jagung ini dan 90 peratus bukan Islam memilih PH sehingga menumbangkan Barisan Nasional (BN).
“Penduduk Malaysia meliputi sebanyak 65 peratus orang Islam tapi yang menguasai Parlimen dengan majoriti mudah ialah bukan Islam.
“Ini menjadikan cabaran untuk kita dan mungkin apa yang diluluskan di peringkat negeri tidak akan diluluskan (di Parlimen), di samping ada orang yang nak cepat jadi Perdana Menteri menambahkan lagi cabaran kepada kita,” katanya. – BH
KETIKA Ashabul Kahfi ditidurkan oleh Allah selama 300 tahun, mereka dikurniakan kehebatan yang menyebabkan sesiapa pun akan merasa jika terserempak dengan mereka:
"Dan kamu mengira mereka itu bangun sedangkan mereka sedang nyenyak tidur. Dan kami membolak-balikkan mereka ke kanan dan ke kiri. Sementara anjing mereka menghulurkan kedua kakinya di depan pintu gua. Dan jika kamu menyaksikan mereka tentulah kamu berpaling melarikan diri daripada mereka. Dan tentulah hati kami diselubungi ketakutan terhadap mereka"
(al-Kahfi 18)
Kurniaan kepada penegak kebenaran
Imam Ibnu Kathir mengulas, Allah mencampakkan aura kehebatan yang dahsyat kepada Ashabul Kahfi menyebabkan mereka terpelihara dan tidak boleh disentuh oleh musuh.
Kita sedia maklum bahawa Ashabul Kahfi tidak mempunyai kekuatan fizikal mahupun material. Dalam keadaan serba lemah, mereka tegar mempertahankan iman. Sikap Ashabul Kahfi yang cukup menghargai iman, menyebabkan Allah mengurniakan kehebatan kepada mereka walaupun dalam keadaan sedang nyenyak tidur.
Dengan kaki anjing yang terhulur di luar pintu gua, Ashabul Kahfi dilihat sentiasa bersiap menghalau sesiapa sahaja yang mahu mengganggu mereka.
Aura Nabi dan umatnya
Nabi S.A.W dikurniakan kehebatan yang dahsyat, sehingga musuh-musuh Islam cukup gerun dengan Baginda walaupun dari jarak yang jauh. Baginda memperakui kurniaan Allah kepada dirinya:
نُصِرْتُ بِالرُّعْبِ مَسِيرَةَ شَهْر
"Aku dibantu oleh Allah dengan rasa gerun (musuh terhadapku) sebulan perjalanan"
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Allah telah menjelaskan bahawa pertempuran antara iman dan kufur akan membuahkan rasa gerun musuh terhadap golongan yang beriman:
"Akan berlaku kamu dikerumun oleh kelompok-kelompok manusia seperti makanan dikerumuni di bekasnya. Maka ada yang bertanya: Dan adakah ketika itu kami sedikit? Nabi menjawab: Bahkan kamu ketika itu ramai tetapi kamu ibarat buih di lautan. Dan ketika itu Allah mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu. Allah menimpakan ke atas hati kamu semua penyakit Wahn. Maka ada yang bertanya: Apakah itu Wahn? Nabi menjawab: Cintakan dunia takutkan mati"
(Hadis Riwayat Abu Daud)
Dari Hadis ini, Nabi telah mengingatkan senario umat Islam yang hilang jati diri lalu menjadi mainan musuh. Itu semua merupakan akibat dari:
● Tidak serius berpegang dengan Islam.
● Cintakan dunia, takutkan mati syahid. Tamak, pentingkan diri sendiri dan penakut menguasai jiwa.
● Dari penyakit itu, umat Islam sanggup memperdagangkan prinsip lalu mudah dibeli oleh musuh.
Utamakan maruah iman
Pengajaran yang kita boleh ambil dari kisah Ashabul Kahfi, mereka sanggup kehilangan segalanya asalkan maruah iman mereka terpelihara. Dari perspektif material keduniaan, mereka kelihatan seperti 'loser'.
Namun hakikatnya Allah mentabalkan merekalah perwira kebenaran. Dunia gerun dengan mereka sungguhpun ketika mereka tidur. Persoalannya, sanggupkah kita bersusah di dunia dan hilang segala kepentingan semata-mata kerana prinsip iman? Selagi Islam tidak diletakkan sebagai keutamaan hakiki, ramai bagaimana sekalipun dan gegak gempita slogan yang dilaungkan, tidak akan boleh menakutkan musuh. Mereka tahu, umat Islam boleh dibeli berdasarkan 'tag' harga masing-masing.
ABDUL MU'IZZ MUHAMMAD Ketua Urusan Ulamak PAS Kawasan Klang 10 Ogos 2018 - HARAKAHDAILY 10/8/2018
Lihat sebelum ini.
E-Buku IH-118: Siri Politik Islam Masakini -Presiden PAS
LEBIH seratus umat Islam dari etnik Hui berkumpul pada Khamis lalu, bagi membantah rancangan pihak berkuasa untuk meruntuhkan Masjid Besar Weizhou yang baru dibina di daerah Tongxin, China.
Difahamkan, mereka berkumpul sejak tengah hari sehingga lewat malam Khamis sebelum pemimpin negara itu datang ke masjid terbabit bagi meleraikan perhimpunan itu.
Pemimpin China turut berjanji tidak akan meruntuhkan masjid itu sehingga pelan pembinaan semula dipersetujui penduduk setempat.
Menurut notis yang dikeluarkan kerajaan Weizhou pada 3 Ogos lalu, jawatankuasa pengurusan masjid terbabit diberi tempoh sehingga Jumaat untuk meruntuhkan masjid terbabit berikutan ia dibina tanpa pelan pembinaan dan permit yang diluluskan.
Bagaimanapun, umat Islam di daerah itu mempertikaikan kenapa pihak berkuasa sebelum ini tidak menghalang pembinaan masjid terbabit yang mengambil masa dua tahun untuk disiapkan, jika permit dan pelan pembinaan tidak diluluskan.
Bantahan umat Islam di daerah itu dipercayai konflik terbesar sejak parti pemerintah Communist Party mahu mengukuhkan dasar ‘agama Sinicise’ dan menganggap budaya Islam dan Arab di negara itu semakin menular dan membimbangkan. – Agensi/myMetro Online
Lihat sebelum ini.. E-Buku IH-4: Catatan Perjalanan
KOTA BHARU: Kerajaan tidak perlu lagi berdalih bagi membenarkan pramugari MAS mengenakan pakaian menutup aurat sebagaimana dikehendaki syarak.
Anggota Parlimen Pengkalan Chepa, Ustaz Ahmad Marzuk Shaary berkata, bekas pemimpin PAS yang kini mempunyai kedudukan dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak perlu lagi mencipta banyak alasan.
“Ketika mereka bersama kita dahulu begitu lantang menuntut kerajaan ketika itu membenarkan pramugari mengenakan pakaian menutup aurat.
“Namun sekarang setelah mendapat kedudukan sebagai menteri lain pula nada mereka sehingga banyak berdalih.
“Inilah masalahnya apabila mereka tidak lagi bersama dengan perjuangan kita (Islam),” katanya pada kuliah di Medan Ilmu, Jalan Dato’ Pati hari ini.
Kerajaan PH sebelum ini menyatakan tiada larangan kepada mana-mana syarikat penerbangan menetapkan pakaian seragam pramugari yang menepati kehendak syariah Islam.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Dato’ Kamaruddin Jaffar dilapor berkata ia perlu mematuhi kriteria yang ditetapkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan International Civil Aviation Organization (ICAO).
Sementara itu Jumaat hadapan akan diadakan kuliah perdana oleh pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus di Medan Ilmu bermula jam 8 hingga 11 pagi. - HARAKAHDAILY 10/8/2018
KUALA LUMPUR 10 Ogos - Mufti Perlis Prof.Madya Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin sekali lagi mengajak peguam kontroversi, Siti Kasim untuk berdialog secara terbuka berkaitan isu golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).
Mohd Asri berkata, pihaknya pernah menjemput Siti Kasim untuk hadir ke majlis dialog terbuka tentang isu Islam yang ditimbulkan di Malaysia namum Siti Kasim enggan dengan alasan-alasan tertentu.
Menurut beliau, Siti Kasim sekali lagi bising kali ini berkaitan LGBT dan bahasa yang digunakan Siti Kasim sangat tidak matang.
"Hari ini beliau bising lagi pasal LBGT seakan akan undi beliau dan golongan LGBT sahaja yang menyebabkan kerajaan hari ini memerintah.
"Sangat tidak matang cara bahasa dan gaya yang dipertontonkan. Apatah lagi jika mahu diukur dari nilai budaya timur dan Nusantara kita yang santun dan berbudi bahasa. Sangat janggal. Bimbang jika watak seperti itu dilihat oleh anak-anak kita yang masih mentah," kata Mohd. Asri dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd. Asri berkata, dialog adalah sesuatu yang adil dilakukan dan selaras dengan semangat Malaysia baharu yang ingin menjadikan dialog matang sebagai pentas penyuburan pemikiran rakyat.
Beliau berharap ada pihak yang boleh menganjurkan dialog tersebut dan percaya terdapat ramai tokoh ataupun aktivis masyarakat yang boleh dipilih untuk mewakili suara majoriti rakyat yang tidak menerima LGBT.
Mohd. Asri berkata, jika tiada penganjur, Perlis sudi menjemput Siti Kasim untuk dialog secara terbuka dan adil.-UTUSAN ONLINE
Haji Hishamuddin (berdiri) memperkatakan sesuatu kepada nelayan di Majlis Sesi Taklimat Bersama Penduduk dan Nelayan Bagi Projek Pencegahan Hakisan Pantai di Mengabang Telipot baru-baru ini.
Mana-mana jabatan kerajaan perlu berbincang terlebih dahulu dengan komuniti kampung sebelum melaksanakan sesuatu projek supaya permasalahan setempat dapat dikenalpasti.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO, Haji Hishamuddin Abdul Karim berkata, kegagalan berbuat demikian akan menimbulkan banyak masalah dan mengundang bantahan daripada rakyat.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi oleh pihak media berhubung Projek Pencegahan Hakisan Pantai Mengabang Telipot di sini yang mendapat bantahan penduduk kerana tidak sesuai dengan keadaan setempat.
Haji Hishamuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh berkata, projek berkenaan sedikit sebanyak mengundang hakisan pantai.
"Hakisan akan berlaku di tempat lain, akibat biasan daripada projek terbabit," katanya.
Terdahulu, beliau menemui penduduk di Majlis Sesi Taklimat Bersama Penduduk dan Nelayan kampung terbabit pada 30 Julai lalu.
Sementara itu, Ahli Parlimen Setiu Ustaz Shaharizukirnain Abdul Kadir ketika dihubungi berkata, projek itu bertujuan supaya hakisan pantai tidak berlaku akibat pembesaran Lapangan Terbang Sultan Mahmud yang berhampiran dengan pantai kampung berkenaan.
Beliau mengharapkan jabatan berkenaan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah hakisan itu memandangkan musim tengkujuh semakin hampir.
Projek Pencegahan Hakisan Pantai di Mengabang Telipot dalam proses penyiapan
Beliau telah membawa permasalahan itu ke Sidang Dewan Rakyat dan ianya di bawah perhatian kementerian terbabit.
Projek itu dimulakan pada 8 April tahun 2014 oleh Kontraktor Syarikat Pending Makmur Sdn Bhd dengan kos RM80 juta dan dijangka siap 29 Disember 2018.
Projek berkenaan mempunyai dua fasa. Fasa pertama sudah hampir siap manakala fasa kedua dalam proses pembinaan.
Komuniti Nelayan Mengabang Telipot menyarankan agar Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS) Negeri membuat pengubahsuaian agar bermanfaat kepada nelayan tempatan. JPS sedang mengkaji projek itu selepas aduan komuniti nelayan itu dibuat.
Timbalan Pengarah JPS, Encik Osman Abdullah ketika dihubungi berkata, JPS telah menemui komuniti nelayan berkenaan dan meneliti semua pandangan mereka.
Menurutnya, pihak jabatan sedang mengkaji projek tersebut dan berusaha mendapatkan pelan pengubahsuaian baharu dari kontraktor untuk dilaksanakan di tapak projek.
Antara bot-bot nelayan Mengabang Telipot yang diletakkan berhampiran kawasan projek berkenaan
"Pihak JPS Malaysia melalui bahagian pengurusan zon pantai telah mengambil kira keluhan, saranan dan pandangan penduduk serta sedang mengkaji semula reka bentuk projek tersebut," jelasnya.
Tambahnya, selepas mendapat reka bentuk baharu daripada kontraktor, JPS akan melaksanakannya di tapak projek berkenaan. (teganukita.net)
PADA saya pendirian Islam jelas, tiada siapa larang hak pendidikan atau kesihatan warga Malaysia. Apakah golongan LGBT ini dilarang ke sekolah?
Apa yang kita tegaskan adalah larangan pengiktirafan mereka melakukan amalan terlarang secara terang-terangan. Pemahaman tentang larangan melakukan perbuatan LGBT ini turut disokong dengan tindakan Rasulullah ﷺ.
Berhubung perlakuan LGBT ini, Rasulullah ﷺ menegaskan bahawa amalan terkutuk ini adalah perkara yang dilaknat oleh Allah. Sabda Baginda dalam hadith riwayat Imam Ahmad:
لَعَنَ اللَّهُ مَنْ عَمِلَ عَمَلَ قَوْمِ لُوطٍ
Maksudnya: Allah SWT melaknat mereka yang melakukan perbuatan kaum Nabi Luth.
Menurut al-Imam Ibn al-Jauzi, Rasulullah SAW tidak pernah melaknat pelaku dosa besar sebanyak tiga kali berturut-turut seperti yang dilakukan kepada pelaku homoseksual ini.
Di sini jelas menampakkan ketegasan Baginda ﷺ dalam menangani permasalahan ini. Malah para sahabat yang rapat dengan Rasulullah SAW turut berfahaman bahawa LGBT ini adalah perlakuan yang terlarang.
Juga al-Imam al-Syaukani dan al-Baihaqi meriwayatkan hukuman keras yang dilakukan oleh Khulafa al-Rasyidhin terhadap mereka yang mengamalkan hubungan songsang seperti LGBT ini.
Menurut ulama kontemporari, Yusuf al-Qardawi, tindakan tegas yang dikenakan oleh Syariat Islam ini adalah bagi membersihkan masyarakat daripada budaya yang tidak sihat.
Bahkan perlakuan ini membawa kepada penyebaran penyakit yang tidak diingini. (al-Qardawi, al-Halal wa al-Haram fil Islam)
Rasulullah, para sahabat dan sarjana Islam terdahulu sehinggalah kini berpandangan bahawa konsep hubungan sejenis ini adalah sesuatu yang dilarang berdasarkan ayat al-Quran dan hadith.
Amat menghairankan apabila datang pemikir liberal melayu memberikan penafsiran semula terhadap ayat al-Quran dan hadith dan menghasilkan pemikiran yang bercanggah dengan sunnah Rasulullah.
Moga Allah membimbing kita semua.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Tafsir Surah al-Kahfi ayat 11 - 20 USTAZ MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN 10 AUGUST 2018
SURAH Ashabul Kahfi bertiti-tolak daripada soalan Musyrikin Makkah yang mahu memalukan Nabi S.A.W. Diutuskan dua pemuka mereka iaitu Nadhir bin Harith dan Uqbah ibnu Abi Mu'ith untuk bertemu dengan Ahli Kitab di Madinah sejauh mana kebenaran bahawa Muhammad adalah seorang Nabi sebagaimana yang diajarkan di dalam kitab Taurat dan Injil.
Bagi mengesahkan akan kebenaran Kerasulan Muhammad, mereka disuruh untuk bertanya sendiri kepada Nabi tiga soalan. Iaitu kisah kaum yang tidur dalam tempoh yang panjang, kisah lelaki yang mengelilingi Timur dan Barat dalam waktu yang singkat dan apakah yang diketahui berkenaan roh.
Apabila ditanya soalan tersebut kepada Nabi, lalu dijanjikan oleh Baginda untuk menjawabnya pada keesokan harinya tanpa melafazkan ucapan InsyaAllah. Akibatnya, wahyu tidak turun selama 15 hari menyebabkan pemuka Quraisy mula mempertikaikan kejujuran Nabi. Peristiwa ini juga menjadi sebab turunnya ayat ke 23 dan 24.
Antara naratif Ashabul Kahfi
Sekumpulan anak muda yang beriman melarikan diri ke sebuah gua demi menyelamatkan akidah daripada Raja yang zalim. (Diqyanus). Mereka ditidurkan dalam tempoh masa yang panjang (309 tahun). Keadaan mereka tidur dengan dipalingkan ke kanan dan ke kiri, tubuh mereka jika dilihat seakan-akan tidak tidur.
Ibrah yang boleh dikutip
● Tarbiah Allah kepada Nabi S.A.W, sekali gus panduan kepada pemimpin untuk menyatakan kebenaran sekalipun terkena atas dirinya sendiri.
● Wajib memelihara iman dengan bersungguh. Pemuda Kahfi bukan lari daripada berdakwah, tetapi disebabkan tidak mampu untuk berhujah maka menyelamatkan iman adalah lebih utama.
● Jangan sekali-kali besama dengan masyarakat Jahiliah tanpa ilmu kerana berpotensi akan dipesongkan. Kerana manusia akan diuji dengan pelbagai cara. Mungkin kita tahan diuji dengan kepayahan, tetapi belum tentu selamat dengan ujian kesenangan yang akhirnya akan menambat hati kita kepada kekufuran.
● Apabila masih lagi terdapat di kalangan umat yang jujur dan ikhlas (sekalipun kurang ilmu) Allah akan tetap memelihara agamanya. Tetapi jika umat hanyut dengan arus dunia, Allah akan datangkan bala.
● Orang beriman wajar mencontohi Ashabul Kahfi yang tidak bergaduh pada perkara yang mereka jahil, sebaliknya bersegera mencari jawapan. Apabila mereka dibangunkan dari tidur, masing-masing tertanya-tanya tentang tempoh masa mereka tertidur. Tetapi ia tidak berlangsung lama, akhirnya mereka putuskan untuk menghantar wakil keluar untuk mendapatkan kebenaran akan tempoh sebenar mereka tertidur.
● Fitnah akhir zaman juga memungkinkan kita mengikuti jejak Pemuda Gua. Apabila terlalu dahsyat fitnah dan godaan serta kerosakan, sebaiknya mengutamakan untuk menjaga iman sendiri berbanding terjun ke kancah kerosakan tanpa bekalan yang cukup.
● Bekalan yang dimaksudkan adalah ilmu yang menambah keyakinan dan keimanan. Bukan semata-mata memiliki sijil pendidikan yang tinggi hingga PhD, namun semakin jauh dari agama. Memahami al-Quran dan berusaha supaya memahaminya adalah amat dituntut berbanding kita terikut rentak masyarakat hari ini yang hanya mengikut arus orang ramai tanpa mengetahui hujung pangkalnya.
Tafsir Syeikh Mutawalli Sya'rawi
Tafsir Surah Al Kahfi Tuan Guru Hj Abdul Hadi
Fi Zhilal Quran
USRAH PEMUDA BAKRI 09 Ogos 2018 - HARAKAHDAILY 10/8/2018
Untuk pembersihan aqidah ku hadiahkan 2 syarahan ini..
Video: Lebih Baik Pemimpin KAFIR tapi JUJUR...!!!!
Hati-hati pendakalan Aqidah
Video: Pemimpin Kafir Yang Adil vs Pemimpin Islam Yang Zalim - Ustaz Azhar Idrus
Dari Ibnu Hasyim..
Sila lihat ..
E-Buku IH-118: Siri Politik Islam Masakini -Presiden PAS