Saturday, October 20, 2018

Selamatkan Penumpang, Kapal BN Pecah..


Hasil carian imej untuk Selamatkan Penumpang, Kapal BN
KOTA BHARU: Sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, PAS sudah menjangka ‘kapal Barisan Nasional’ akan pecah berdasar perkembangan semasa yang berlaku ketika itu.
Timbalan Mursyidul Am PAS, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, sedangkan dalam kapal itu ada pakar-pakar yang bidang tertentu yang boleh membantu perjuangan Islam.
“Jadi kita perlu selamatkan penumpang yang ada dalam kapal BN. Ini bukan bermakna kita mahu membina kapal baru bagi menyelamatkan parti itu.
“Penumpang dalam kapal itu boleh kita manfaatkan untuk perjuangan kita,” katanya pada program Liqa Fikri di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) malam tadi.
Hadir sama Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man; Naib Presiden, Ustaz Idris Ahmad; Setiausaha Majlis Syura Ulama, Dato’ Dr Nik Zawawi Salleh, Setiausaha Agung PAS, Dato’ Takiyuddin Hassan dan pemimpin PAS Kelantan.
Program itu bermula selepas solat Maghrib dengan pembentangan kertas kerja.
Ustaz Ahmad yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, lanskap politik negara begitu mencabar terhadap ketuanan Islam pasca PRU14. -HARAKHDAILY 19/10/2018


Video: Apa pandangan ustaz tentang malaysia sekarang ini..

Paya Terubong, Kawasan Bukit Yang Dibangunkan, Tetapi...

Paya Terubong, kawasan bukit yang dibangunkan, tetapi... Beberapa bukit di kawasan Paya Terubong diteroka untuk projek pembangunan. - Bernama

GEORGE TOWN: Paya Terubong, terletak kira-kira lapan kilometer dari bandar raya ini, merupakan kawasan bukit dan lembah yang kini dibangunkan sebagai kawasan perumahan.

Kawasan itu merupakan antara jalan yang menghubungkan bandar raya George Town dan Balik Pulau dengan kebanyakan laluan terletak di lereng-lereng bukit.


Petang ini kawasan itu sekali lagi mendapat perhatian apabila berlaku runtuhan tanah di Jalan Bukit Kukus yang menimbus empat kontena di bahagian kaki bukit tersebut. Dikhuatiri lebih 10 mangsa tertimbus dan sehingga lewat petang ini tiga mangsa ditemui mati manakala seorang lagi cedera.

Kejadian berlaku selepas sembilan hari kejadian runtuhan 14 rasuk konkrit berukuran 25 meter setiap satu di kawasan itu.

Dalam kejadian pada Khamis lepas itu, 14 rasuk konkrit untuk pembinaan jalan berkembar dari Paya Terubong ke Relau terjatuh di lereng bukit di tapak Projek Jalan Bukit Kukus itu. Tiada kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda awam dilaporkan.

Kawasan bukit-bukau semula jadi boleh 'musnah' di tangan manusia atas nama pembangunan. - Bernama
Kawasan bukit-bukau semula jadi boleh 'musnah' di tangan manusia atas nama pembangunan. - Bernama 

Mengikut Wikipedia, pada awalnya kawasan Paya Terubong merupakan kawasan pertanian sebelum diteroka pada awal tahun 1980-an dan diubah menjadi kawasan perumahan yang mempunyai banyak kediaman pencakar langit.

Projek pembangunan di kawasan Paya Terubong itu telah banyak 'mengorbankan' bukit-bukau apabila pemaju terpaksa menerokai kawasan bukit untuk tujuan pembangunan rumah kos rendah dan sederhana rendah.

Kawasan itu juga merupakan antara kawasan di Pulau Pinang yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi dan banyak pemaju perumahan telah merancang untuk membina pelbagai projek pembangunan bercampur di kawasan tersebut.

Pada waktu puncak iaitu awal pagi dan petang, Jalan Paya Terubong yang menghubungkan kawasan perumahan di Bandar Baru Air Itam dan Farlim dengan kawasan perindustrian di Bayan Lepas akan sentiasa sesak dengan kenderaan.

Kejadian tanah runtuh sering kali dilaporkan di kawasan jalan yang berbukit itu sehingga menyebabkan jalan terpaksa ditutup.
BUkan sahaja tanah runtuh, bongkah batu besar seperti ini juga boleh menghempap pada bila-bila masa. - Gambar fail
BUkan sahaja tanah runtuh, bongkah batu besar seperti ini juga boleh menghempap pada bila-bila masa. - Gambar fail 

Bagi menyelesaikan masalah kesesakan, pihak berkuasa tempatan dengan kerjasama pihak pemaju berhasrat membina projek pengangkutan jalan yang akan turut melalui kawasan Paya Terubong, antaranya projek Lebuh Raya Pan-Island Link 1 (PIL1) dan Projek Jalan Bukit Kukus.

Jalan Bukit Kukus merupakan jalan yang menghubungkan penduduk di kawasan Paya Terubong dan Bandar Baru Air Itam dengan sepanjang jalan berbukit lebih satu kilometer itu kebanyakannya kawasan perumahan.

Projek itu, yang dimulakan pada 2016 dilaksanakan oleh tiga pihak sebagai langkah penjimatan termasuk Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), PLB Land Sdn Bhd dan Geo Valley Sdn Bhd. Kejadian itu berlaku dalam bahagian bawah kendalian MBPP.

Projek bernilai RM545 juta itu merupakan jalan alternatif yang menghubungkan Lebuhraya Thean Teik di Bandar Baru Air Itam ke Lebuh Bukit Jambul.
-- BERNAMA

DAP Dan Kebebasan Murtad



1. UCAPAN YB Batu Kawan ini telah menjadi satu perbahasan yang panas dan panjang, menyentuh aspek kebebasan beragama. Di Malaysia, hak kebebasan beragama ini telah pun dijamin dalam Perlembagaan. Kristian bebas untuk menukar agama, begitu juga Hindu, Budha dan agama-agama lain.
2. Sekiranya Kristian, Hindu dan Budha telah pun bebas untuk menukar agama mereka, maka kepada siapakah kebebasan agama ini ditujukan? Adakah kepada Muslim yang ingin diberikan ruang untuk bebas murtad? Ini yang menjadi perseoalan.
3. Di dalam Islam, murtad dikategorikan sebagai satu dosa besar bahkan hukumannya sangat berat. Sekiranya YB menujukan kebebasan beragama ini kepada seorang Muslim, maka ia adalah sesuatu yang tidak wajar di dalam agama maupun Perlembagaan.
4. Perlembagaan Malaysia menjamin kedudukan Islam. Perkara 11 (4) memberi peruntukan bahawa Undang-undang Negeri dan undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat perkembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam.
5. Fahaman seperti Syiah atau Ahmadiyyah yang disebutkan oleh YB Batu Kawan ini adalah bukan agama bahkan ia adalah sesuatu yang bertentangan dengan agama Islam itu sendiri. Atas dasar itu, pihak berautoriti menyifatkan fahaman ini sebagai bertentangan dengan agama Islam bahkan fahaman mereka diharamkan.
5.1 Sebagai contoh dalam kes syiah; kesemua negeri di Malaysia telah memfatwakan pengharaman Syiah dengan pelbagai justifikasi kesesatan mereka. Daripada kesemua negeri tersebut hanya kelantan, Sabah dan Sarawak yang belum mewartakannya atau dalam proses pewartaan, manakala sebelas yang lain telah berbuat demikian. Sebelas negeri tersebut adalah: 
a) Wilayah Persekutuan (8 Mac 1997, PU(B)106); 
b) Selangor (24 September 1998, PU10); 
c) Negeri Sembilan (12 Mac 1998, NS.PU5);
d) Terengganu (25 September 1997, PUN Tr.1110); 
e) Melaka (27 Julai 1997, M.PU5); 
f) Pulau Pinang (6 Januari 1997, Pg.PU1); 
g) Kedah (18 Februari 1999, No. 37); 
h) Perak (4 Januari 2012); 
i) Johor (16 Februari 2012, No. 1156); 
j) Perlis (7 Ogos 2012, No. 109); 
k) Pahang (12 September 2013, No. 1564)
(Sumber: Soal Jawab Isu Syiah, JAKIM, 87-89)
6. Daripada sini, apa yang perlu kita faham adalah, kebebasan beragama telah pun terjamin di Malaysia ini bagi semua agama. Bagi Muslim, mereka tertakluk dengan perundangan Syariah yang telah mereka perakukan melalui lafaz syahadah yang mereka ungkapkan setiap hari di dalam solat mereka.
Moga Allah melindungi Islam dan memberikan kesejahteraan kepada Malaysia.
Dr Ahmad Sanusi Azmi
Oxford Centre for Islamic Studies

Menara FELCRA Pula Akan Dijual


Pengerusi FELCRA Berhad, Datuk Mohd Nageeb Abdul Wahab. - Foto arkib NSTP

KUALA LUMPUR: FELCRA Berhad (FELCRA) mengumumkan penjualan Menara FELCRA di Jalan Semarak di sini yang sedang dalam pembinaan bagi mengelak implikasi terhadap kewangan syarikat itu.
Pengerusinya, Datuk Mohd Nageeb Abdul Wahab, berkata entiti milik penuh kerajaan itu ketika ini sedang mengadakan rundingan dengan beberapa pihak dari dalam dan luar negara untuk penjualan projek berkenaan yang sudah 50 peratus siap.
Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira FELCRA perlu membelanjakan kira-kira RM400 juta lagi sekiranya mahu meneruskan projek yang bertukar pemaju daripada sebelum ini dan dijangka siap akhir tahun depan
"Pada awalnya FELCRA tidak mengeluarkan perbelanjaan untuk projek menara ini yang ditanggung pemaju kerana kita memberikan mereka bangunan pejabat tetapi atas sebab tertentu kontrak dengan pemaju ditukar.
"Ini menyebabkan kita sudah membelanjakan RM200 juta setakat ini dan keputusan menjual projek ini terpaksa dilakukan bagi memastikan aliran tunai dalam keadaan baik," katanya.
Projek Menara FELCRA yang dibina di kawasan seluas 1.8 hektar bernilai RM150 juta milik FELCRA itu membabitkan projek pembangunan campuran termasuk sebuah menara 35 tingkat pejabat, sebuah menara kediaman 43 tingkat, dan pusat membeli-belah.
Mengikut perancangan asal, FELCRA tidak sepatutnya membayar untuk projek pembangunan berkenaan kerana semua kos akan ditanggung pemaju.
Pemaju akan mendapat semula pelaburannya dengan menyewakan seluruh ruang pejabat dan daripada jualan unit-unit kediaman yang dibina di atas tanah milik FELCRA itu.
Mengulas lanjut mengenai anggaran nilai jualan projek berkenaan, Mohd Nageeb berkata, selagi ia dapat dijual melebihi nilai tanah FELCRA iaitu RM150 juta, itu sudah mencukupi tetapi akan melihat tawaran harga yang lebih tinggi.
"Jika diikutkan sudah tentulah kami mahu kekal pada perancangan asal meneruskan projek menara ini dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan lebih RM1 billion apabila siap kelak namun realitinya ia tidak semudah itu.
"Apa yang lebih penting sekarang untuk pastikan aliran tunai yang sihat kerana kerajaan tidak lagi membiayai kita hari ini.
"Kita perlu menguruskan semuanya sendiri untuk menjimatkan perbelanjaan termasuk menutup, menjual atau menggabungkan mana-mana anak syarikat yang tidak memberi keuntungan, " katanya.
Mohd Nageeb berkata dalam usaha memulihkan perniagaan hartanah, FELCRA meneruskan projek perumahan yang berpatutan di kawasan luar bandar, perniagaan baja dan stok yang menjana pendapatan serta berpotensi besar untuk berkembang.
"Sebahagian daripada perubahan struktur termasuklah melihat ke dalam penanaman lain seperti buluh dan padi akibat kejatuhan semasa harga getah dan kelapa sawit," katanya. (BH)
Hasil carian imej untuk muka mahathir macam kondom?
Siapa boss, siapa pecacai?

PAS Kesal DAP Diskriminasi Pembangunan Pantai Timur.


Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ditemu ramah wartawan selepas kuliah jumaat di kediamannya Kampung Rusila. - Foto Ghazali Kori

MARANG: PAS kesal dengan sikap diskriminasi DAP, parti komponen Pakatan Harapan (PH) yang tidak menyokong hasrat kerajaan untuk membawa pembangunan saksama kepada lima negeri termasuk Terengganu dan Kelantan.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, diskriminasi DAP terhadap hasrat Kerajaan Persekutuan untuk memajukan negeri Pantai Timur begitu ketara.
Beliau berkata, DAP yang mendominasi kerusi di Pantai Barat dilihat sebagai punca yang boleh menggagalkan usaha Kerajaan Persekutuan untuk berlaku adil dan saksama dalam membawa pembangunan kepada negeri.
“DAP bersikap tidak jujur terhadap keadilan apabila kepemimpinan parti itu masih berdegil kerana enggan mempedulikan pembangunan di negeri Pantai Timur dan Utara, termasuk Perlis serta Sabah dan Sarawak.
“PAS menyokong penuh hasrat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk melaksanakan pembangunan di Pantai Timur dan Utara supaya pembangunan lebih setara dapat dilakukan.
“PAS juga meminta semua parti komponen Barisan Nasional (BN) yang bersama-sama sebagai pembangkang supaya menyokong hasrat Perdana Menteri untuk melakukan reformasi kerajaan.
“Namun malang apabila ada parti komponen dalam PH sendiri tidak menyokong dan saya berterus terang parti itu adalah DAP,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Rusila, di sini, hari ini.
Beliau mengulas reformasi kerajaan yang digariskan dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) dibentangkan Dr Mahathir di Parlimen, semalam.
Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, contoh paling ketara ialah sikap tidak jujur kepemimpinan DAP apabila tidak bersetuju dengan cadangan Kerajaan Persekutuan untuk mengembalikan royalti minyak sebanyak 20 peratus kepada negeri pengeluar, termasuk Terengganu dan Kelantan.
Katanya, DAP sebenarnya mewarisi sikap penjajah apabila meninggalkan negeri yang majoriti penduduknya Bumiputera.
“PAS amat mengalu-alukan reformasi pemisahan bidang kuasa antara kerajaan negeri dan Persekutuan yang cuba untuk diperbetulkan Perdana Menteri dan kita anggap itu adalah reformasi yang sebenarnya untuk kebaikan negara.
“Kita sedar Kerajaan Persekutuan tidak boleh menanggung semua peruntukan untuk negeri melaksanakan projek pembangunan, perlu ada pembahagian peruntukan, cuma Kerajaan Persekutuan perlu memantau bagi mengelak berlakunya salah laku,” katanya.
Abdul Hadi berkata, kaedah pembahagian itu akan meringankan bebanan Kerajaan Persekutuan selain memberi peluang kepada kerajaan negeri yang dipilih rakyat untuk melaksanakan agenda pembangunan mengikut acuan masing-masing. (BH)

Friday, October 19, 2018

3 Dikhuatiri Maut, 12 Hilang. Tanah Runtuh, P/Pinang Bala Lagi?

Tanah runtuh Bukit Kukus: 3 dikhuatiri maut, 12 masih hilang
Ketika ini, pasukan penyelamat sedang melakukan operasi menyelamat mangsa yang kebanyakannya terdiri daripada pekerja di tapak pembinaan tersebut. - Foto JBPM

GEORGE TOWN: Tiga dipercayai maut tertimbus manakala 12 mangsa masih hilang dalam kejadian tanah runtuh di kawasan pembinaan Jalan berkembar Bukit Kukus, di sini petang Jumaat.

Pengerusi Kebajikan Masyarakat Penyanyang dan Alam Sekitar Negeri, Phee Boon Poh memaklumkan perkara itu ketika dihubungi sebentar tadi. Sementara itu, Laporan awal  Pasukan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang memaklumkan 10 mangsa dikhuatiri tertimbus dalam kejadian itu

Kejadian berlaku kira-kira jam 2 petang  Jumaat di kawasan tapak pembinaan jalan raya berkembar dari Paya Terubong menghala ke Relau.
Tanah runtuh
Salah seorang pekerja di kawasan tanah runtuh berkenaan berjaya dibawa keluar dan dikejarkan ke hospital berdekatan. - Foto JBPM

Kawasan runtuhan tersebut dianggarkan berkeluasan  500 x 200 kaki yang turut  melibatkan 4 buah kontena tertimbus. Pihak media difahmkan kontena itu menempatkan pekerja binaan yang terlibat dengan projek pembinaan jalan raya  berkembar .

Ketika ini, pasukan penyelamat sedang melakukan operasi menyelamat mangsa yang kebanyakannya terdiri daripada pekerja di tapak pembinaan tersebut. (AA)

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Pulau Pinang dilanda bala? Jangan sombong sangat kerajaan PH..

DAP Pecat Anak Ahmad Nor, Tak Mahu Sekonggkol..

Hasil carian imej untuk Amran Ahmad

KUALA LUMPUR - Naib Pengerusi Biro Buruh DAP, Amran Ahmad (gambar) dipecat daripada parti itu berkuat-kuasa, semalam.
Anak kepada bekas Naib Presiden DAP, Ahmad Nor itu berkata, beliau menjangkakan pemecatannya itu selepas tindakannya yang tidak selari dengan parti itu.
Jadi katanya, beliau tidak akan membuat rayuan kerana perjuangan DAP sudah tersasar daripada landasan sebenar.
"Saya menerima keputusan DAP itu dengan berlapang dada, sejajar dengan jangkaan dan memutuskan untuk tidak merayu atas sebab-sebab yang akan saya huraikan di bawah.
"Dengan penerimaan surat pemecatan itu, saya beranggapan, selain keahlian dalam parti selama hampir 10 tahun itu ditamatkan, saya juga 'kehilangan' jawatan timbalan pengerusi biro buruh DAP," katanya melalui kenyataan media, hari ini.
[ARTIKEL BERKAITAN: 'Saya tidak mahu bersekongkol lagi’]
Amran yang menyertai DAP sekitar 2009 berkata, beliau dipecat kerana mengkritik tindakan DAP menyebarkan fitnah serta melakukan propaganda jahat sebelum PRU14.
"Apa salah saya menegakkan kebenaran dan mengkritik tindakan salah parti atas nama demokrasi yang kononnya menjadi tunjang perjuangan DAP.
"Saya menganggap bahawa tindakan pemecatan saya dari DAP ini sebagai suatu pengkhianatan dan tindakan tidak mengenang jasa dan pengorbanan dua generasi orang Melayu dalam DAP setelah arwah bapa saya, Allahyarham Ahmad Nor menyertai DAP pada tahun 1986 dan menjadi ahli Parlimen Melayu yang pertama dari DAP," katanya.
Beliau berkata, biarpun dipecat, perjuangannya menjadikan Malaysia negara yang lebih baik atas platform lain akan tetap diteruskan.
"Biar mati berdiri, dari hidup melutut pada parti yang cauvinis dan sangat perkauman ini.
"Semoga apa yang menimpa saya ini membuka mata rakyat negara ini terutama orang Melayu yang menyimpan hasrat untuk berjinak-jinak dengan DAP," katanya. (SH)
Hasil carian imej untuk Amran Ahmad

Tindakan Ke Atas Zahid Kerana Enggan Tunduk Desakan Bubar UMNO




PUTRAJAYA –  Kira-kira 200 penyokong Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkumpul di depan ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, malam tadi sebagai tanda solidariti bersama presiden Umno itu.
Kumpulan yang diketuai Presiden Pemantau Malaysia Baru, Datuk Lokman Noor Adam mula berkumpul sejak 8 malam tadi dan ada yang memakai baju berwarna jingga tertera “Lokap SPRM” bagi menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap penahanan Zahid oleh SPRM pada Khamis.
Turut serta dalam kumpulan itu ialah isteri Zahid, Datin Seri Hamidah Khamis dan anaknya, Datuk Nurulhidayah.
Dalam ucapannya, Hamidah mendakwa Zahid pernah ditawarkan untuk meninggalkan Umno kerana parti itu dikatakan tidak lagi diterima rakyat dan patut dibubarkan, namun suaminya berkata selagi ada nyawa, beliau tidak akan meninggalkan atau menyerahkan Umno kepada Pakatan Harapan.
Sementara itu, Lokman yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno berkata, penahanan Zahid ialah cubaan PPBM melemah dan memusnahkan Umno.
“Apabila ‘jeneral’ Umno ditahan, mereka mahu lihat kita lemah dan longlai. Mereka boleh tekan kita, tetapi kita akan lawan, lagi kuat kita lawan demi Umno.”
Lokman mendakwa penahanan Zahid dibuat kerana presiden parti enggan tunduk kepada desakan membubarkan Umno.
“Ada di kalangan pemimpin Umno ditawarkan pihak tertentu dengan jawatan dan wang ringgit untuk meninggalkan Umno,” dakwanya.
Zahid ditahan SPRM berhubung siasatan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana sebuah yayasan.
SPRM memaklumkan Zahid akan menghadapi beberapa pertuduhan di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
SPRM berkata, Zahid akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 8 pagi Jumaat untuk pertuduhan itu. – FMT

Dr Halimah Menulis: Apabila Hujan Renyai Di Luar Pejabat. 2 Perkara..


Rakan pengajian TG Abdul Hadi serah borang PAS
DENGAN menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Hujan renyai di luar pejabat. Memang lumrah musim hujan di hujung tahun.
Tapi mudah mudahan hujan ini hujan rahmat yang menjadi saksi. Dua perkara penting yang berlaku dalam pejabat ini. Dulu dikenali sebagai pejabat Adun N45 Dun Selat Klang YB Dr Halimah Ali. Sekarang dijenamakan semula sebagai Pusat Komuniti PAS Selat Klang.
Takdir Allah, insan yang mengaku dirinya sebagai sahabat satu pengajian dengan YB Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Presiden PAS di Universiti Madinah dulu berkunjung di pejabat hari ini dan menyatakan keinginan beliau ikut serta berjuang dalam PAS. Beliau menyatakan sudah lama beliau memendam hasrat tetapi takut dengan komitmen mengajar seluruh negara beliau tidak boleh menyumbang kepada PAS.
Alhamdulillah, baru-baru ini beliau telah berjaya berjumpa dengan sahabat sepengajiannya yakni Tok Guru Presiden PAS di Rusila, maka semakin berkobar keinginan beliau bersama mendukung perjuangan Islam ini.
Maka kunjungan beliau berjumpa saya di pejabat PUSKOM hari ini mencatatkan sejarah penting dalam hidupnya dengan mengisi borang PAS. Alhamdulillah, akhirnya dipermudahkan oleh Allah.
Saya menghadiahkan diari terakhir mantan Adun Selat Klang dan payung kerana hujan kepada insan istimewa, Al-Fadhil Ustaz Isa Salleh warga Vietnam yang telah mendapat warganegara Malaysia. Majlis spontan itu diakhiri dengan doa yang dibaca oleh bakal ahli PAS dari golongan ulama yang mudah-mudahan diberkati oleh Allah.
Terima kasih ya Allah kerana mendatangkan hamba soleh-Mu sebagai penguat perjuangan menegakkan syariat-Mu di negara ini insya-ALLAH.
Bagi sahabat seperjuangan berimanlah dengan apa yang Allah janjikan dalam surah Muhammad: 7.
يٰٓأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوٓا إِن تَنصُرُوا اللَّهَ يَنصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ أَقْدَامَكُمْ
Hai orang-orang mukmin, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.
Dr Halimah Ali
AJK PAS Pusat
Pengarah, Pusat Komuniti PAS Selat Klang
9 Safar 1440H / 18 Oktober 2018 – HARAKAHDAILY 18/10/2018


Ini, Yang PAS Suarakan Di Parlimen..


Apabila Ahli Parlimen PAS berbicara
MUNGKIN ada yang menyangka kesemua Ahli Parlimen PAS adalah golongan ustaz dan ustazah, tidak pandai pun berbicara hal selain daripada agama di dalam Dewan.

Adakah benar sangkaan ini atau sebenarnya ia adalah persepsi ilusi sahaja?
Hakikatnya, para Ahli Parlimen PAS di dalam dewan turut berbahas mengenai pelbagai isu yang melibatkan kepentingan rakyat. Yang hanya membezakan PAS dengan parti lain ialah segala permasalahan yang berlaku perlulah diselesaikan dengan mengikut acuan Islam kerana antara prinsip utama perjuangan PAS ialah Islam sebagai 'ad-din', suatu cara hidup yang syumul lagi sempurna.
PAS tidak beriman kepada prinsip Machiavelli, matlamat menghalalkan cara.
PAS tidak menyalahgunakan konsep "Islam Rahmatan Lil Alamin" dan Maqasid Syariah untuk dijadikan alasan bermudah-mudah dalam hal melibatkan akidah dan syariat Islam.
Semestinya, PAS tidak juga beriman kepada fahaman ideologi sekularisme, sosialisme, liberalisme dan pluralisme demi untuk meraih undi dan kuasa.

Bagi sesiapa yang berkesempatan menonton siaran sidang Parlimen pasti dapat melihat sendiri Ahli Parlimen PAS tidaklah duduk diam membisu sahaja. Mereka bangun mengemukakan pelbagai soalan dan terlibat juga dalam sesi perbahasan rang undang-undang.
Berikut antara senarai isu dan persoalan yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen PAS pada sidang minggu ini;
SOALAN:
a) YB Kubang Kerian: isu nasib peneroka Felda

b) YB Kota Bharu: isu fungsi Hospital Pengajar Universiti
c) YB Kuala Nerus: dasar dan inisiatif membangunkan usahawan Bumiputera
d) YB Rantau Panjang: isu import sisa pepejal
e) YB Pasir Mas: isu Dasar Pertahanan Negara, penghapusan tol, Permata Kurnia Anak Autisme
f) YB Pendang: isu Dasar Ekonomi Baru
g) YB Pasir Puteh: isu penghasilan padi
h) YB Tumpat: isu pemeliharaan hutan dara
i) YB Jerai: isu status Biasiswa Mybrain
j) YB Kuala Terengganu: isu ancaman keselamatan pertahanan negara
Banyak lagi soalan lain yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen PAS namun, tidak kesemuanya sempat dijawab di dalam Dewan secara lisan kerana kekangan had masa yang diperuntukkan hanyalah satu jam 30 minit.
Pada minggu ini juga berlangsungnya sesi perbahasan tiga Rang Undang-Undang. Antara Ahli Parlimen PAS yang ditugaskan untuk membahaskan RUU tersebut ialah:
i) Rang Undang-Undang Jalan, Parit dan Bangunan (Pindaan): 
YB Kubang Kerian, YB Kuala Krai, YB Kemaman, YB Pasir Puteh

ii) Rang Undang-Undang Sewa Beli (Pindaan):
YB Pendang dan YB Kubang Kerian

iii) Rang Undang-Undang Kanak-Kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) (Pindaan): 
YB Rantau Panjang dan YB Pasir Puteh

Pada hari pertama persidangan berlangsungnya sesi perbahasan usul berkenaan Ucapan Perdana Menteri di PBB yang akan dijadikan kerangka asas Dasar Luar Malaysia Baharu pada era Kerajaan pimpinan Pakatan Harapan.
PAS diwakili oleh Ketua Whip, YB Kota Bharu membahaskan usul tersebut. Beliau secara jelas menzahirkan pendirian PAS yang tidak mempunyai masalah untuk menyokong usul tersebut khususnya yang berkait dengan kedaulatan negara, isu Palestin, nasib masyarakat Rohingya.
Namun, PAS turut memperingatkan Kerajaan agar lebih teliti dan berhati-hati dalam hal meratifikasi konvensyen antarabangsa agar ianya tidak bercanggah dengan Perlembagaan dan norma budaya masyarakat di negara ini.
YB Sik sempat juga bangun mencelah untuk memberikan cadangan dan seruan agar Malaysia lebih aktif dalam membantu menyelesaikan konflik masyakat Rohingya dengan menjadikan Malaysia sebagai hub pusat dialog kemanusiaan.
Minggu hadapan bermulanya sesi perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 diikuti dengan Belanjawan 2019. Pastinya, YB Tuan Guru Presiden PAS dan sekalian Ahli Parlimen PAS akan bangun menyampaikan ucapan perbahasan masing-masing bagi menyuarakan isu permasalahan dan luahan hati rakyat yang mengharapkan perubahan lebih baik dalam suasana Malaysia Baru ini.
Walaupun bermacam fitnah, gelaran dan tuduhan jahat dilemparkan terhadap PAS, tetapi hakikatnya ianya tidak sesekali dapat melemahkan semangat juang pemimpin dan penyokong parti yang sudah berusia mencecah 67 tahun ini. Matlamat tertinggi PAS ialah menegakkan Islam bukannya merebut puncak kuasa sehingga sanggup menggadaikan dasar dan prinsip perjuangan.
Apa guna ada kuasa tetapi takut hendak menyebut berkenaan Islam dan pelaksanaan syariat Islam. 
Apa guna ada kuasa tetapi tunduk akur kepada desakan dan tuntutan pihak yang mahu melemahkan Islam. 
Inilah yang membezakan PAS dengan parti lain.

Catatan Parlimen oleh:

SYED AHMAD FADHLI
Pegawai Lajnah Hal Ehwal Parlimen dan Dun PAS
18 Oktober 2018 – HARAKAHDAILY 18/10/2018


Rahmatan Lil ‘Alamin -Presiden PAS


FIRMAN Allah:
وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ (107)
“Dan tiadalah Kami mengutuskan Engkau (wahai Muhammad S.A.W), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam”. (Surah Al-Anbiya': 107)

Islam dan kerasulan Nabi Muhammad S.A.W. pada akhir zaman adalah rahmat Allah kepada seluruh alam (manusia dan makhluk yang lain). Ia telah dibuktikan betapa hebat dan sempurnanya rahmat Allah yang terkandung dalam ajaran Islam yang sempurna.


Baginda S.A.W. dilantik menjadi Rasul pada akhir zaman dunia yang termaju. Dengan sedikit ilmu kurniaan Allah kepada manusia, dicapainya kemajuan sehingga menjadikan muka bumi yang dahulunya dikira sangat luas, kini dirasakan sempit bagi musafir dan mendapat maklumat pantas sehingga mereka meneroka ke angkasa lepas.
Maka perkataan ‘Allah’ paling agung yang pertama disebut, menunjukkan ketuhanan Maha Esa yang wajib diperhambakan diri kepada-Nya dengan beribadat dan melaksanakan hukum syariat semuanya secara sempurna. Diikuti nama ‘Ar-Rahman’ dan ‘Ar-Rahim’ yang menunjukkan Allah Maha Rahmat. Dua nama Allah yang paling utama dan teragung disebut selepas kalimah Allah itu menunjukkan betapa melimpah ruah rahmat-Nya. 


Adapun rahmat itu dihuraikan lagi oleh ayat-ayat Al-Quran dan Hadis Rasulullah S.A.W. yang mentafsirkan rahmat Allah kepada seluruh ajaran Islam, merangkumi aspek keimanan dan pelaksanaan syariat, bahkan meliputi semua kurniaan Allah yang melimpah tidak terhingga kepada seluruh alam, bukan sahaja aspek rezeki jasad dan roh.
Firman Allah:
وَآتَاكُم مِّن كُلِّ مَا سَأَلْتُمُوهُ وَإِن تَعُدُّوا نِعْمَتَ اللَّهِ لَا تُحْصُوهَا إِنَّ الْإِنسَانَ لَظَلُومٌ كَفَّارٌ (34)
“Dan Dia telah memberi kepada kamu sebahagian daripada tiap-tiap apa jua yang kamu minta. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (daripada rahmat-Nya), nescaya kamu tidak dapat membilangnya. Sesungguhnya manusia itu sangat zalim (suka meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya), lagi sangat kufur (tidak menghargai nikmat Tuhannya(”. (Surah Ibrahim: 34)
Firman Allah:
وَآيَةٌ لَّهُمْ أَنَّا حَمَلْنَا ذُرِّيَّتَهُمْ فِي الْفُلْكِ الْمَشْحُونِ (41) وَخَلَقْنَا لَهُم مِّن مِّثْلِهِ مَا يَرْكَبُونَ (42) وَإِن نَّشَأْ نُغْرِقْهُمْ فَلَا صَرِيخَ لَهُمْ وَلَا هُمْ يُنقَذُونَ (43) إِلَّا رَحْمَةً مِّنَّا وَمَتَاعًا إِلَىٰ حِينٍ (44)
“Dan satu dalil lagi untuk mereka (insaf) ialah, Kami membawa berlayar zuriat mereka dalam bahtera yang penuh muatan dan baik, serta menyelamatkannya. (41); Dan Kami ciptakan untuk mereka, jenis-jenis kenderaan yang sepertinya, yang mereka dapat mengenderainya. (42); Dan jika Kami kehendaki, Kami boleh tenggelamkan mereka; (kiranya Kami lakukan yang demikian) maka tidak dapat diselamatkan mereka. (43); Kecuali dengan rahmat dari pihak Kami dan menjadi kesenangan hidup kepada mereka hingga ke suatu masa yang ditetapkan ajalnya. (44)”. (Surah Yasin: 41-44)
Ini menunjukkan wujudnya pelbagai jenis kenderaan sama ada darat, laut dan udara yang dilimpahi rahmat Allah dengan akal dan ilmu diciptanya, serta diselamatkan perjalanannya.
Sabda Rasulullah S.A.W.:
إن لله مائة رحمة أنزل منها رحمة واحدة بين الجن والإنس والبهائم والهوام، فبها يتعاطفون، وبها يتراحمون، وبها تعطف الوحش على ولدها، وأخر الله تسعا وتسعين رحمة يرحم بها عباده يوم القيامة (مُتَّفَقٌ عَلَيهِ)
“Sesungguhnya Allah S.W.T. mempunyai seratus rahmat (dalam riwayat yang lain membahagikan rahmat-Nya kepada seratus), satu sahaja yang diturunkan (di alam dunia ini) kepada (hamba-Nya) dari kalangan manusia, jin dan binatang. Dengan yang satu itulah, mereka berkasih sayang di antara satu sama lain. Dengannya juga menjadikan binatang liar, ganas dan buas, berperasaan sayang kepada anaknya. Allah menangguhkan sembilan puluh sembilan lagi daripada rahmat-Nya itu, untuk dikurniakan kepada hamba-Nya pada Hari Kiamat nanti”. (Muttafaq ‘Alaih)
Seluruh ajaran Islam adalah rahmat, merangkumi segala nikmat roh dan jasad. Pelaksanaan perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya mengikut kemampuan adalah rahmat jua. Bahkan, mencegah larangan sehingga menghukum mereka yang melakukan larangan juga adalah rahmat.
Umat Nabi Muhammad S.A.W. merangkumi seluruh manusia sama ada penganut Islam dinamakan umat ijabah dan bukan Islam dinamakan umat dakwah. Para ulama mentafsirkan rahmat itu meliputi seluruh manusia dan alam yang lain termasuk mereka yang beriman, kafir, munafik, zalim dan fasiq dalam kehidupan dunia ini.
Rahmat Allah terhadap yang kafir, munafik, zalim dan fasiq adalah diberi rezeki jasad dan akal kepada semua dalam kehidupan dunia.
Rahmat Allah juga ditangguhkan bala bencana yang pernah memusnahkan semua umat yang terdahulu daripada ditimpa ke atas umat Nabi Muhammad S.A.W. dengan sebab maksiat.
Rahmat juga dibuka pintu taubat seluas-luasnya kepada mereka yang berdosa sama ada besar atau kecil.
Rahmat Allah bukan sahaja dalam perkara nikmat kehidupan jasad dan akal, bahkan termasuk perkara rohani (dosa dan pahala) daripada semua perintah dan larangan Allah yang menjadi sempadan kehidupan manusia dalam segala aspeknya.
Rahmat Allah juga dinyatakan dalam aspek pencegahan terhadap kemungkaran dan dosa, kerana semua yang diharamkan itu membawa mudarat. Pencegahannya melalui pelbagai pendekatan seperti nasihat, amaran dan hukuman terhadap pelakunya kerana rahmat Allah menyelamatkan orang yang baik dengan cegahan sehinggalah menghukum dengan sekeras-kerasnya.
Selain itu, menyelamatkan orang yang jahat dan penjenayah dengan menghalang dan mendidik mereka melalui hukuman Qisas, Hudud dan Takzir, yang dikatakan sangat keras tetapi dengan syarat-syarat yang sukar dijatuhkan. Menunjukkan kehebatannya menakutkan dan mendidik.
Rahmat Allah juga menggalakkan taubat dan kemaafan daripada dosa-dosa, hanya sedikit sahaja yang tidak boleh dimaafkan iaitu syirik kerana sangat besar mudaratnya yang menjadi punca segala kejahatan dan jenayah moral yang dihukum dengan Hudud yang menjadi hak Allah S.W.T. setelah dihukum di mahkamah.
Sehinggalah rahmat Allah bertindak perang terhadap kalangan yang melampaui batas, sama ada kalangan bukan Islam atau penganut Islam sendiri.
Firman Allah:
وَلَوْلَا دَفْعُ اللَّهِ النَّاسَ بَعْضَهُم بِبَعْضٍ لَّهُدِّمَتْ صَوَامِعُ وَبِيَعٌ وَصَلَوَاتٌ وَمَسَاجِدُ يُذْكَرُ فِيهَا اسْمُ اللَّهِ كَثِيرًا وَلَيَنصُرَنَّ اللَّهُ مَن يَنصُرُهُ إِنَّ اللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ (40)
“Dan kalaulah Allah tidak mendorong sesetengah manusia menentang pencerobohan dengan sesetengahnya yang lain, nescaya diruntuhkan tempat-tempat ibadat, serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya. Dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agama-Nya (Islam). Sesungguhnya Allah Maha Kuat Lagi Maha Kuasa”. (Surah Al-Hajj: 40)
Menunjukkan betapa rahmat Allah itu berperang menentang musuh agama dan kemanusiaan yang melampau terhadap Islam dan umatnya serta penganut bukan Islam yang berada di bawah naungan kerajaannya, dengan syarat tidak melampaui batas kemanusiaan dan keadilan.
Menentang pelampau pelbagai agama dan tidak beragama, sehingga melindungi hak penganut pelbagai agama. Tegas menolak teori menghapuskan semua jenis peperangan atau falsafah matlamat menghalalkan cara, seperti menggunakan senjata pemusnah secara melampau yang diharamkan oleh syariat Islam. Ini semua merupakan rahmat Allah.
Allah menyuruh supaya memerangi kalangan yang melampau daripada umat Islam sendiri terhadap saudara seagamanya:
وَإِن طَائِفَتَانِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ اقْتَتَلُوا فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا فَإِن بَغَتْ إِحْدَاهُمَا عَلَى الْأُخْرَىٰ فَقَاتِلُوا الَّتِي تَبْغِي حَتَّىٰ تَفِيءَ إِلَىٰ أَمْرِ اللَّهِ فَإِن فَاءَتْ فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا بِالْعَدْلِ وَأَقْسِطُوا إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ (9) إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ (10)
“Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya. Jika salah satunya berlaku melampau terhadap yang lain, maka lawanlah (berperang) menghadapi puak yang melampau itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah. Jika ia kembali patuh, maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara). Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. (9); Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu. Dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat” (10). (Surah Al-Hujuraat: 9-10)
Namun Islam tetap mendahulukan perdamaian kerana rahmat melaksanakan perintah Allah:
وَإِن جَنَحُوا لِلسَّلْمِ فَاجْنَحْ لَهَا وَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ (61)
“Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka Engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”. (Surah Al-Anfaal:61)
Allah juga berfirman supaya melaksanakan hukuman terhadap individu yang melampau sehingga melakukan jenayah dengan menjatuhkan hukuman Qisas, Hudud dan Takzir terhadap kecederaan dan pembunuhan serta yang merosakkan akhlak. Maka semuanya adalah rahmat. 
Firman Allah:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الْقِصَاصُ فِي الْقَتْلَى
“Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman "Qisas" balasan (yang seimbang) hukuman kesalahan jenayah membunuh dan kecederaan”. (Surah Al-Baqarah: 178)
Selain itu, Allah menegaskan adanya rahmat dalam konsep pengampunan kepada hukuman jenayah Qisas tersebut:
فَمَنْ عُفِيَ لَهُ مِنْ أَخِيهِ شَيْءٌ فَاتِّبَاعٌ بِالْمَعْرُوفِ وَأَدَاءٌ إِلَيْهِ بِإِحْسَانٍ ۗ ذَٰلِكَ تَخْفِيفٌ مِّن رَّبِّكُمْ وَرَحْمَةٌ ۗ فَمَنِ اعْتَدَىٰ بَعْدَ ذَٰلِكَ فَلَهُ عَذَابٌ أَلِيمٌ (178) وَلَكُمْ فِي الْقِصَاصِ حَيَاةٌ يَا أُولِي الْأَلْبَابِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ (179)
“Maka sesiapa (penjenayah tersebut) yang mendapat keampunan dari saudaranya (mangsa jenayah yang berhak memberi keampunan), maka hendaklah orang yang mengampunkan itu) mengikut cara yang baik (dalam menuntut ganti hukuman denda pampasan). Dan (si penjenayah pula) hendaklah menunaikan bayaran itu dengan sebaik-baiknya. Oleh yang demikian itu adalah suatu keringanan dari Tuhan kamu serta suatu rahmat. Sesudah itu sesiapa yang melampaui batas (untuk membalas dendam pula) maka baginya azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (178); Dan di dalam hukuman Qisas itu adalah jaminan hidup bagi kamu, wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu bertaqwa” (179). (Surah Al-Baqarah: 178-179)
Sepatutnya dibuat perbandingan di antara hukum Islam dan hukum lain. Seperti hukuman sebatan mengikut hukum Islam dan pengampunan daripada mangsa atau walinya.
Dalam hukuman Qisas, sebatan dengan syarat dan cara yang bersopan dan mendidik serta tidak menyeksakan. Sangat berbeza dengan hukuman undang-undang ciptaan manusia Barat yang sangat kejam kerana menyeksa dan boleh mencacatkan. Hukuman sebatan itu keras, manakala hukuman mati di tali gantung menyeksakan.
Ini menunjukkan kebijaksanaan Islam itu membawa rahmat Allah dengan teguh dan tegas beristiqamah di atas dasarnya dan tidak jumud kerana berkonsepkan tetap dan teguh dalam perkara dasar yang besar, bahkan ada fleksibel dan ‘possible’ dalam menghadapi perubahan mengikut keperluan tanpa menyerah kalah sehingga menjadi hanyut dan terpesong.
Ada kalangan yang salah mentafsirkan konsep Rahmatan Lil ‘Alaminsejak zaman dahulu lagi. Contohnya di kalangan mereka yang dinamakan Muktazilah yang menggunakan akal kononnya berfalsafah, tetapi sebenarnya tanpa tafaqquh dalam syariat Islam dan tidak berpandukan Siasah Syar’iyyah dan Maqasid Syariah (polisi, pendekatan dan tujuan) dengan istiqamah, kerana adanya hukum yang berpandukan nas telah ditetapkan Allah, serta panduan akal dan kajian yang diizinkan Allah.
Tujuan sebenar mereka itu ke arah menafikan hukum syariat dan menghalang pelaksanaannya, dengan terus membiarkan undang-undang ciptaan bukan Islam yang telah gagal dilaksanakan dan meraikan perkara yang salah dan sesat.
Selain itu, kefahaman yang tidak sempurna sekadar membaca buku sahaja yang bersurat (Fiqh Al-Awraq), tanpa mengkaji banyak yang tersirat dengan bertafaqquh fi Deen.
Adalah salah dari segi fiqh atau pertimbangannya mengikut akal dan syara’, seperti dianggap zalim lagi tiada rahmat apabila doktor pakar perubatan membuat keputusan memotong kaki terhadap seorang pesakit kronik, tanpa mengambil kira keutamaan diselamatkan jasadnya yang lain yang lebih besar dan banyak keutamaannya (Fiqh Al-Aulawiyyat dan Fiqh Al-Ma’alaat).
Maka salah jika kalangan yang menganggap hukum Allah untuk mencegah kemungkaran penjenayah adalah kemungkaran terhadap nyawa, sedangkan moral yang merosakkan masyarakat lebih besar dan lebih bahaya daripada penyakit seorang individu, seperti ancaman terhadap nyawa, maruah, keamanan dan keselamatan negara.
Selain itu, pendekatan dan cara mengharamkan anggota polis yang menembak penjenayah bersenjata bahaya kerana kononnya berhujah berkonsepkan rahmat yang sesat sehingga dibiarkan sahaja polis itu dibunuh (Fiqh Al-Ma’alaat). Adakah boleh dibiarkan sahaja dengan menyalah gunakan konsep Rahmatan Lil ‘Alamin?
Begitulah juga bodoh kalau ada orang yang membiarkan beras dan padinya dimakan ayam dan tikus atau ikannya dimakan kucing, walaupun terpaksa keluarganya berlapar kerana hujah Rahmatan Lil ‘Alamin.
Begitulah lebih sesatnya kalangan yang meninggalkan kemungkaran yang tidak dicegah dan jenayah dibiarkan bebas atau dihukum ringan dengan yang tidak setimpal, kerana kononnya mengamalkan konsepRahmatan Lil ‘Alamin terhadap penjenayah yang merosakkan keluarga dan masyarakat yang besar dari kalangan manusia.
Adakah dibolehkan perkara haram seperti riba, menipu, rasuah dan salah laku tidak dihalang kerana merahmati penyangak ekonomi negara?
Lebih malang juga apabila rahmat Allah disalah gunakan di atas bumi yang melimpah ruah hasil kekayaan dan tenaga manusia daripada rakyat, kerana beramalkan konsep pepatah Melayu yang bijak:
Ayam di kepuk mati kelaparan, 
Itik di air mati kehausan, 
Kera di hutan disusukan, 
Anak di riba dilemparkan.
Janganlah sehingga kita menerima gejala kehilangan nilai manusia ala Barat yang dijadikan rujukan, apabila menjadikan hak asasi binatang (animal rights) didahulukan daripada hak asasi manusia (human rights), sehingga terkini adanya berita daripada Barat yang dipandang sangat maju dan bertamadun. Orang yang kaya raya mewasiatkan harta kepada anjing peliharaannya, kerana anak sudah tidak peduli terhadap ibu bapa, begitu juga keluarga dan jiran tetangga.
Rasulullah S.A.W. telah menghuraikan petunjuk Al-Quran, menyatakan adab hidup bermasyarakat yang membawa Rahmatan Lil ‘Aalamin yang sebenarnya ialah melaksanakan tanggungjawab berkasih sayang pada tempatnya, menyebarkan ilmu Islam, sehinggalah pendekatan hukuman yang mendidik pesalah jenayah individu dalam masyarakat umum yang boleh membawa keamanan yang merupakan rahmat daripada Allah kepada hamba-Nya.
Inilah di antara sebab Islam dikenali dan diterima dengan mudah pada zaman awalnya apabila dilaksanakan dengan sempurna. Maka fahamlah betapa Islam susah diterima pada zaman kini, kerana rahmatnya tidak dirasai dan tidak disaksikan tanpa kuasa pemerintahan Islam yang kuat dan berani melaksanakan petunjuk Allah.
Malangnya lagi pihak yang sepatutnya mempunyai kekuatan kerana berkuasa memerintah negara, tidak diizinkan menyebut jenama Islam secara jelas dan terbuka. Sepatutnya ditegaskan jenama Islam yang asal, bukannya Islam yang disembunyikan oleh manusia yang paling lemah imannya terhadap kemungkaran kerana penakut, berjiwa lemah atau bebal di hadapan musuh Islam, lalu patuh kepada kehendak bukan Islam atau terpengaruh kepada teori yang sesat dan menyesatkan.
Sabda Rasulullah S.A.W.:
من رأى منكم منكراً فليغيره بيده، فإن لم يستطع فبلسانه فإن لم يستطع فبقلبه وذلك أضعف الإيمان) رواه مسلم(.
“Sesiapa dari kalangan kamu yang melihat perkara yang mungkar hendaklah mencegah dengan tangannya (khususnya kerajaan yang memerintah). Maka jika tidak mampu cegah dengan lidahnya (lisan dan tulisan). Maka jika tidak mampu bencilah dari hatinya. Inilah selemah-lemah iman”. (Riwayat Muslim)
Maka yang lemah imannya tidak layak memimpin. Hanya kalangan yang memerintah bersama Islam sebenarnya membawa rahmat kepada seluruh alam.
Jangan ada pula dalam kalangan umat Islam yang menjadi alat meruntuhkan Islam dan umatnya, laksana gunting dalam lipatan atau laksana kapak yang boleh digunakan menebang pokok apabila digunakan kayu sebagai hulu bersamanya.
Rasulullah S.A.W. telah memberi amaran munculnya di kalangan umat Islam sendiri menjadi makhluk perosak Islam yang menjadi tanda-tanda akhir zaman dengan sabdanya:
وهم من جلدتنا ويتكلمون بألسنتنا (رواه البخاري)
“Mereka daripada kalangan kulit dan lidah kita (satu agama, satu bangsa dan satu bahasa) bersama kita juga”. (Riwayat Al-Bukhari)
“Islam Memimpin”
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 17 Oktober 2018 / 7 Safar 1440 - HARAKAHDAILY 17/10/2018

Lihat juga.. 
E-Buku IH-118: Siri Politik Islam Masakini -Presiden PAS
E-Buku IH-118: Siri Politik Islam Masakini -Presiden PAS