Wednesday, January 16, 2019

Bahaya Politik 'halalkan cara' -Presiden PAS.


 1.0  MUQADDIMAH
Niccolò Machiavelli (1469-1527) merupakan seorang ahli falsafah berbangsa Itali. Beliau telah berkhidmat selama 14 tahun dengan Kerajaan Itali sebagai Setiausaha Kerajaan. Terkenal dengan bukunya yang masyhur ‘The Prince’ (Pemimpin atau Penguasa), sebuah buku yang membicarakan tentang ideologi dan falsafah politik menurut sisi pandang akal, ilmu dan pengalamannya yang sesat tanpa hidayah. Bahkan beliau pernah dipenjarakan kerana menyebabkan kerosakan negara.
Majoriti ahli politik dunia berfahaman sekularisme yang berpolitik tanpa hidayah agama termasuk di negara kita, menggunakan ideologi dan falsafah politik Machiavelli yang terang dan jelas bertentangan dengan roh Islam dan adab-adabnya.


Kaedah ‘Matlamat Menghalalkan Cara’ (الغاية تبرر الوسيلة / The Ends Justifies The Means) kerap dikaitkan dengan cetusan oleh Machiavelli di dalam ‘The Prince’, karyanya mengenai pentadbiran negara, bahawa kesesuaian sepatutnya menjadi asas apa sahaja tindakan, walaupun ia salah dan berdosa. Apa sahaja boleh dilakukan sama ada ia dari dosa kecil sehingga sebesar-besarnya, demi mencapai matlamat dan cita-citanya.
Adapun Islam yang sempurna ajarannya menjadikan amalan dunia termasuk politik adalah jambatan ke akhirat seperti juga amalan lain. Ia ada kaitan dengan dosa dan pahala, sama ada ke syurga atau ke neraka. Firman Allah Taala:
يَوْمَئِذٍ يَصْدُرُ النَّاسُ أَشْتَاتًا لِّيُرَوْا أَعْمَالَهُمْ (6) فَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ (7) وَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُ (8)
“Pada hari itu (Hari Kiamat) manusia akan keluar berselerak (dari kubur masing-masing), untuk diperlihatkan kepada mereka (balasan) amal-amal mereka. (6); Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya). (7); Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya). (8) (Surah Az-Zalzalah: 6-8)
2.0 POLITIK DAN ISLAM TIADA BERPISAH
Amal politik adalah kewajipan besar dalam ajaran Islam yang disebut dengan istilah khilafah, menjadi salah satu daripada hikmah manusia diciptakan mengikut ketetapan Allah Tuhan Pencipta Alam Semesta, selain untuk beribadah dan menunaikan amanah.
Besarnya cabaran yang dihadapi, maka besarlah pahala yang dihayatinya dengan akidah yang benar, amalan yang menepati syariat dan niat ikhlas kerana Allah. Begitulah juga besar dosanya apabila bercanggah dengan hukum Allah. Ini menunjukkan adanya sempadan Allah yang tidak boleh dilangkaui demi kebaikan dunia dan akhirat.
Islam membenarkan ijtihad dalam perkara yang tiada nas dengan izin Allah, bukannya boleh mencipta sesuatu mengikut akal semata-mata. Sangat besar dosanya mencipta hukum dan bertindak tanpa keizinan Allah. Firman Allah:
أَمْ لَهُمْ شُرَكَاءُ شَرَعُوا لَهُم مِّنَ الدِّينِ مَا لَمْ يَأْذَن بِهِ اللَّهُ وَلَوْلَا كَلِمَةُ الْفَصْلِ لَقُضِيَ بَيْنَهُمْ وَإِنَّ الظَّالِمِينَ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ (21)
“Adakah mereka mempunyai sekutu-sekutu (selain Allah) yang mengadakan hukum syariat dalam perkara yang tidak diizinkan oleh Allah. Dan kalaulah kerana tiada kenyataan berlakunya keputusan (hukuman di Hari Akhirat) nescaya mereka dihukum (di dunia) ini dari kalangan mereka itu, dan sesungguhnya bagi orang yang zalim itu disediakan azab yang sangat menyakitkan”. (Surah As-Syura: 21)
Sama ada menang atau kalah, fadilatnya sangat besar dan mulia. Maka ada rukun, syarat dan adab untuk mencapai fadilat itu sehingga matlamatnya tidak mungkin menghalalkan caranya. Amalan yang tidak berdasarkan tauhid ditolak, kerana firman Allah:
وَلَقَدْ أُوحِيَ إِلَيْكَ وَإِلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكَ لَئِنْ أَشْرَكْتَ لَيَحْبَطَنَّ عَمَلُكَ وَلَتَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ (65)
“Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad S.A.W.) dan kepada Nabi-nabi yang terdahulu daripadamu: "Demi sesungguhnya! Jika engkau (dan pengikut-pengikutmu) mempersekutukan (sesuatu yang lain dengan Allah) tentulah akan gugur amalmu, dan engkau akan tetap menjadi dari orang-orang yang rugi”. (Surah Az-Zumar: 65)
Cara Islam ini hanya boleh diteruskan oleh mereka daripada kalangan yang dipilih oleh Allah. Firman Allah:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا مَن يَرْتَدَّ مِنكُمْ عَن دِينِهِ فَسَوْفَ يَأْتِي اللَّهُ بِقَوْمٍ يُحِبُّهُمْ وَيُحِبُّونَهُ أَذِلَّةٍ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى الْكَافِرِينَ يُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلَا يَخَافُونَ لَوْمَةَ لَائِمٍ ذَٰلِكَ فَضْلُ اللَّهِ يُؤْتِيهِ مَن يَشَاءُ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ (54) إِنَّمَا وَلِيُّكُمُ اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَالَّذِينَ آمَنُوا الَّذِينَ يُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَهُمْ رَاكِعُونَ (55) وَمَن يَتَوَلَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَالَّذِينَ آمَنُوا فَإِنَّ حِزْبَ اللَّهِ هُمُ الْغَالِبُونَ (56)
“Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu yang berpaling tadah dari agamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Dia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan-Nya; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya; kerana Allah Maha Luas limpah kurnia-Nya, lagi meliputi pengetahuan-Nya. (54); Sesungguhnya penolong kamu hanyalah Allah, dan Rasul-Nya, serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan sembahyang, dan menunaikan zakat, sedang mereka ruku’ (tunduk menjunjung perintah Allah). (55); Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman itu penolongnya (maka berjayalah dia), kerana sesungguhnya golongan (parti yang berpegang kepada agama) Allah, itulah yang tetap menang”. (56) (Surah Al-Maa’idah: 54-56)
Firman Allah:
وَجَعَلْنَا مِنْهُمْ أَئِمَّةً يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا لَمَّا صَبَرُوا وَكَانُوا بِآيَاتِنَا يُوقِنُونَ (24) إِنَّ رَبَّكَ هُوَ يَفْصِلُ بَيْنَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ (25)
“Dan Kami jadikan dari kalangan mereka (Bani Israel) beberapa pemimpin yang membimbing kaum masing-masing mengikut hukum agama kami (Islam), selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan kami. (24); (Pertentangan di antara satu golongan dengan yang lain itu) Sesungguhnya Tuhanmu sahajalah yang akan memutuskan hukumNya di antara mereka pada hari Kiamat, mengenai apa yang mereka berselisih padanya”. (25) (Surah As-Sajdah: 24-25)
Firman Allah:
وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ (104)
“Dan hendaklah ada di antara kamu umat (satu puak atau jamaah atau parti) yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya”. (Surah ‘Aali Imraan: 104)
Mereka yang berlagak sahaja tanpa pilihan Allah akan gugur dalam perjalanan dunia sebelum akhirat.
3.0 PERBEZAAN DI ANTARA MAQASID SYARIAH DAN KAEDAH MATLAMAT MENGHALALKAN CARA
Maqasid Syariah berlandaskan akidah beriman kepada Allah dan Hari Akhirat serta moral kemanusiaan yang dihormati mengikut nilaian agama (Islam). Adapun kaedah 'Matlamat Menghalalkan Cara' tanpa nilai agama dan akhlak yang mulia.
Maqasid Syariah berlandaskan lima ad-dharuriyyat iaitu memelihara agama, nyawa, akal, keturunan atau maruah dan harta mengikut neraca agama dan akal yang berpandukan hidayah. Perkara yang tidak diambil kira dalam kaedah 'Matlamat Menghalalkan Cara' yang berkonsepkan political animal.
Maqasid Syariah berkonsepkan kaedah maslahah yang ditetapkan oleh hukum syara’ iaitu:
1- Maslahah Mu’tabarah (معتبرة), walaupun mengorbankan harta jiwa raga seperti perintah puasa, zakat, haji, hukum Qisas, Hudud dan jihad.
2- Maslahah Mulghah (ملغاة) mengikut cara yang diharamkan secara mutlak, seperti diharamkan riba, arak, judi, merompak, mencuri, berperang secara melampau dan lain-lain.
3- Maslahah Mursalah (مرسلة) yang diizinkan oleh syara’ seperti dalam keadaan darurat, atau memilih yang lebih bermanfaat atau yang lebih ringan mudaratnya dalam keadaan terpaksa. Walaupun ada titik persamaannya tetapi berbeza prinsip, konsep dan matlamatnya.
Adapun konsep ‘Matlamat Menghalalkan Cara’ tidak ada sempadan agama dan akhlak tersebut. Maka berlakunya krisis nilai kemanusiaan dalam aspek politik, ekonomi dan sosial dunia hari ini yang cukup menjadi iktibar kepada semua.
4.0 YAHUDI PELOPOR KONSEP MATLAMAT MENGHALALKAN CARA
Firman Allah:
اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ (6) صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ (7)
“Tunjukilah kami jalan yang lurus. (6); Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat”. (7) (Surah Al-Fatihah: 6-7)
Mereka itu dimurkai Allah kerana mengetahui kedatangan Rasul akhir zaman Muhammad S.A.W. dan mukjizatnya Al-Quran yang menunjukkan banyak titik persamaan mewajibkan mereka beriman, tetapi mereka bermusuh dan bersekongkol dengan kaum yang jahil dan sesat. Mereka melakukan segala cara yang diharamkan bagi menentang Rasulullah S.A.W., umat Islam dan agamanya seperti peperangan, racun, sihir dan lain-lain.
Cukuplah amaran Allah menjadi peringatan:
وَمَن يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَن يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ (85) كَيْفَ يَهْدِي اللَّهُ قَوْمًا كَفَرُوا بَعْدَ إِيمَانِهِمْ وَشَهِدُوا أَنَّ الرَّسُولَ حَقٌّ وَجَاءَهُمُ الْبَيِّنَاتُ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ (86) أُولَٰئِكَ جَزَاؤُهُمْ أَنَّ عَلَيْهِمْ لَعْنَةَ اللَّهِ وَالْمَلَائِكَةِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ (87) خَالِدِينَ فِيهَا لَا يُخَفَّفُ عَنْهُمُ الْعَذَابُ وَلَا هُمْ يُنظَرُونَ (88) إِلَّا الَّذِينَ تَابُوا مِن بَعْدِ ذَٰلِكَ وَأَصْلَحُوا فَإِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ (89)
“Dan sesiapa yang mencari selain Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada Hari Akhirat kelak mereka daripada kalangan orang-orang yang rugi. (85); Bagaimana Allah akan memberi petunjuk hidayah kepada sesuatu kaum yang kufur ingkar sesudah mereka beriman, dan juga sesudah mereka menyaksikan bahawa Rasulullah (Nabi Muhammad) itu adalah benar, dan telah datang pula kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata. Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberikan petunjuk hidayah-Nya kepada kaum yang zalim. (86); Mereka itu balasannya ialah mereka ditimpa laknat Allah dan malaikat-Nya serta sekalian orang-orang (yang beriman). (87); Mereka kekal di dalamnya, tidak diringankan azab seksa kepada mereka dan mereka pula tidak diberi tempoh atau perhatian. (88); Kecuali orang-orang yang bertaubat sesudah (ingkar) itu, serta memperbaiki keburukan mereka, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”. (Surah ‘Aali Imraan: 85-89)
“Islam Memimpin”
ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS - HARAKAHDAILY 13/1/2019
*Kertas Kerja ini dibentangkan dalam Liqa Fikri PAS Pusat pada 7 Jamadil Awwal 1440 / 12 Januari 2019 di KUIZM, Taman Melewar, Gombak.

No comments:

Post a Comment