Wednesday, January 23, 2019

Kisahku, 1 Bulan Mengembara Di Bhutan. Oleh Zahariz Khuzaimah

kembara-di-bhutan-00 cover image
TIGER’S NEST MONASTERY DI TAKSANG

8 Perkara Unik Yang Saya Temui Sewaktu Mengembara Sebulan Di Bhutan 
Oleh Zahariz Khuzaimah 

SEMENJAK saya kecil saya selalu terfikir setiap kali melihat peta dunia, apakah yang terkandung di dalam sebuah negara kecil yang bernama Bhutan, yang terletak di antara 2 kuasa besar dunia, India dan Cina.
Bagaimanakah rupa penduduk-penduduk di sana, bagaimanakah mereka menjalani kehidupan mereka, bunyi bahasa yang mereka tuturkan dan bentuk muka bumi di sana.
Saya tidak pernah terfikir untuk menjejakkan kaki di sana. Tetapi di awal tahun ini, saya tergerak hati untuk cuba mengembara ke negara unik itu dan mula berhubung dengan agensi-agensi yang mengendalikan industri pelancongan di Bhutan melalui emel. 
kembara-di-bhutan-07
SAYA BERSAMA SALAH SEORANG PEMANDU PELANCONG SAYA.
kembara-di-bhutan-01
JURUTERBANG ROYAL BHUTAN AIRLINES MELAKUKAN PENDARATAN DI PARO.
kembara-di-bhutan-02
SENIBINA RUMAH BIASA DI PARO, BHUTAN.
kembara-di-bhutan-04
TIGER’S NEST MONASTERY.
kembara-di-bhutan-05
SALAH SATU KUIL DI TIGER’S NEST MONASTERY.
kembara-di-bhutan-06
DALAM PERJALANAN MERENTASI PERGUNUNGAN JUMOLHARI.
Alhamdulillah, perancangan saya untuk menerokai Bhutan berjaya dan saya akhirnya ditaja sendiri oleh syarikat pelancongan yang terkemuka di Bhutan iaitu DrukAsia, DrukAir dan Kementerian Pelancongan Bhutan sendiri sepenuhnya dari tiket penerbangan business class hinggalah ke secawan kopi.

Visa pelancong untuk ke Bhutan amat mahal dan ditetapkan hanya sah selama 2 minggu maksimum sahaja tetapi saya bertuah kerana visa saya juga ditaja sepenuhnya oleh kerajaan Bhutan.
Paling mengembirakan saya dibenarkan untuk berada di negara itu selama sebulan.

Sebenarnya, penjelajahan saya selama sebulan di Bhutan hanyalah sebahagian kecil daripada pengembaraan utama saya iaitu menjelajah ke seluruh banjaran Himalaya yang kebanyakannya akan saya lalui dengan basikal.
Jangkamasa yang akan diambil untuk saya menjelajah ke seluruh banjaran pergunungan Himalaya adalah tidak diketahui.
Saya ke Bhutan menggunakan penerbangan syarikat Royal Bhutan Airlines yang terbang ke Paro, Bhutan dari Singapura pada awal bulan April 2016.
Dalam penerbangan tersebut, saya diberi peluang untuk masuk sendiri ke bahagian ‘cockpit’ untuk menyaksikan sendiri dan merekodkan dalam bentuk filem bagaimana juruterbang Royal Bhutan Airlines yang dikatakan antara terhebat di dunia mengawal pesawat untuk terbang melalui kawasan pergunungan di Himalaya dan mendarat di lapangan terbang Paro, Bhutan.
Lapangan terbang ini merupakan antara lapangan terbang yang paling sukar untuk mendarat di dunia.
Daripada pemerhatian saya, memang sukar untuk mendarat di lapangan terbang Paro dan cuma juruterbang terpilih sahaja yang boleh mengendalikan pendaratan tersebut.
Apabila pesawat yang saya naiki hampir mendarat dan terbang di altitud yang rendah, lapangan terbang tersebut masih lagi tidak kelihatan kerana dilindungi oleh gunung-ganang yang tinggi menjulang.
Kadang kala pesawat yang kami naiki terbang amat dekat dengan bumbung rumah-rumah penduduk tempatan yang dibina di puncak-pucak dan lereng-lereng gunung berhampiran Paro.
Setelah melalui sebuah gunung, pesawat kami tiba-tiba membelok tajam ke kiri dan akhirnya saya melihat landasan lapangan terbang Paro yang kelihatan amat dekat sebelum pendaratan dilakukan.
Walaupun pengembaraan saya ditaja, saya tetap datang ke Bhutan sebagai seorang pelancong biasa di mana saya disediakan 2 orang pemandu pelancong yang akan menemani saya ke mana sahaja saya pergi mengikut jadual perjalanan yang telah ditetapkan.
Saya menjadi sedikit kekok kerana ini merupakan kali pertama saya tidak mengembara berseorangan tetapi bersama pemandu pelancong yang ditetapkan.
Saya merasakan pergerakan saya menjadi sedikit kurang bebas dengan keadaan ini tetapi memudahkan perjalanan saya kerana mereka adalah pemandu pelancong yang berpengalaman dan mempunyai pengetahuan yang cukup mendalam.
Ini juga menjadi satu peluang bagi saya untuk saya mempelajari budaya orang-orang tempatan di sini.
Pemandu pelancong saya telah dimaklumkan bahawa saya amat berminat untuk menerokai kawasan pergunungan di Bhutan dan melihat kehidupan masyarakat nomad yang tinggal di kawasan pergunungan.
Jadi tanpa melengahkan masa, saya cuma menghabiskan masa selama sehari di Paro dengan mendaki ke Taksang.
Tujuan utama pendakian ini adalah untuk melihat keindahan sebuah kuil Buddha yang amat terkenal dan indah iaitu ‘Tiger’s Nest Temple’ yang dibina di celah-celah lereng gunung berbatu di Taksang, berhampiran Paro.
Pendakian di Taksang mengambil masa lebih kurang 2 hingga ke 4 jam bergantung kepada fizikal masing-masing yang bermula dari 2200m hinggalah ke sekitar 3000m altitud.
Pada keesokan harinya, saya terus ke kawasan pergunungan di bahagian utara Bhutan untuk ke kawasan pergunungan Jumolhari.
Sekali lagi saya terkejut bila dapat tahu saya akan ditemani oleh 2 pemandu pelancong, seorang tukang masak dan 10 ekor keldai untuk membawa segala peralatan memasak, makanan dan peralatan berkhemah.
Bagi saya, ini adalah sesuatu yang cukup mewah kerana selama ini saya selalunya berseorangan.
Perjalanan merentasi pergunungan Jumolhari ini mengambil masa 5 hari melalui jalan-jalan yang sukar dan merentasi jalan yang mempunyai altitud setinggi 5000m dari paras laut.
Puncak Jumolhari adalah antara puncak yang tertinggi di Bhutan iaitu melebihi 7300m.
Semua puncak gunung yang ketinggiannya 6000m ke atas dari paras laut tidak dibenarkan sama sekali untuk dipanjat kerana ianya dianggap suci oleh penganut agama Buddha di sini.
kembara-di-bhutan-08 HUBUNGAN ANTARA SEORANG WANITA DAN CUCUNYA DI KAWASAN PEDALAMAN DI BHUTAN.
kembara-di-bhutan-09 HUBUNGAN RAPAT ANTARA ADIK BERADIK DI KAWASAN PEDALAMAN DI BHUTAN.
kembara-di-bhutan-10
KHEMAH SAYA DILITUPI SALJI DI PERTENGAHAN MUSIM PANAS DI PERGUNUNGAN JUMOLHARI.
kembara-di-bhutan-11
SEBUAH TASIK BERKEDUDUKAN 4600M ALTITUD DAN PUNCAK JUMOLHARI DI BELAKANGNYA.
kembara-di-bhutan-12
MOUNTAIN PASS PADA KETINGGIAN 5000M ALTITUD.
kembara-di-bhutan-13
SAYA BERDIRI DI MOUNTAIN PASS PADA KETINGGIAN 5000M ALTITUD.
kembara-di-bhutan-14
ORANG TEMPATAN DI BHUTAN BERLATIH MEMANAH DI KAWASAN PERGUNUNGAN.
kembara-di-bhutan-15.
PENGEMBALA YAK DI KAWASAN PERGUNUNGAN.

kembara-di-bhutan-16
PENGEMBALA YAK DI KAWASAN PERGUNUNGAN.

Setelah menghabiskan masa 5 hari di pergunungan Jumolhari, saya kemudiannya meneruskan lagi perjalanan ke kawasan pergunungan di Laya, sebuah tempat terpencil yang terletak di utara Bhutan.
Lokasinya amat hampir dengan sempadan Tibet. Saya habiskan masa selama 12 hari di sini.
Selama saya menghabiskan masa di kawasan pergunungan di Lower Himalaya di Bhutan, banyak yang saya pelajari tentang kehidupan masyarakat tempatan di sini.
Berikut saya senaraikan secara ringkas:
1. Kualiti hidup yang tinggi
Walaupun kebanyakan orang-orang yang tinggal di kawasan pergunungan di sini hidup secara berpindah randah mengikut musim (nomad) tetapi mereka mempunyai kualiti hidup yang tinggi.
2. Kerajaan amat menekankan aspek kegembiraan rakyat
Kerajaan Bhutan amat terkenal dari segi menekankan aspek kegembiraan rakyatnya berbanding negara-negara lain di dunia.
Mereka tidak begitu menekankan GDP (Gross Domestic Product) tetapi amat menekankan GNH (Gross National Happiness) untuk menaikkan tahap kegembiraan seluruh rakyatnya.
Mereka tidak menggunakan harta kekayaan sebagai alat pengukur, tetapi mereka mengukur dengan kegembiraan rohani.
Kesannya amat mudah dilihat dengan air muka setiap warga Bhutan yang saya temui. Kebanyakkan mereka amat ramah, mudah memberikan senyuman dan mempunyai budi pekerti yang amat baik.
3. Mementingkan keluarga
Mereka amat mementingkan aspek kekeluargaan. Saya terkejut apabila mengetahui bahawa secara purata, rakyatnya mempunyai pendapatan sebanyak USD1600 sebulan.
Amat jauh bezanya jika dibandingkan cuma dengan 7 tahun yang lepas di mana purata pendapatan rakyatnya cuma USD400 sebulan.
Amat memeranjatkan lagi apabila orang-orang nomad yang tinggal di kawasan pergunungan juga mempunyai pendapatan bulanan yang amat tinggi dan dijaga baik oleh kerajaannya.
Jika tanaman atau haiwan ternakan mereka hancur atau mati disebabkan bencana alam, setiap mereka akan diberi pampasan oleh kerajaan Bhutan.
Ini amat memeranjatkan kerana jumlah GDP negara ini amat kecil, cuma lebih kurang USD2 bilion setahun, tetapi kerajaannya menjalankan tugas yang amat cekap dalam membahagikan kekayaan negaranya kepada setiap warganya secara adil.
4. Raja Bhutan dikenali sebagai seorang yang bijak
Raja yang memerintah negara ini juga dilihat sebagai seorang yang amat bijaksana dan amat dihormati oleh setiap warga Bhutan. Baginda dan kerajaannya memerintah negara ini berdasarkan prinsip fahaman agama Buddha.
Baru-baru ini raja mereka mengarahkan rakyatnya untuk menanam 100,000 pokok di seluruh negara bagi menyambut kelahiran puteranya yang pertama.
Baginda juga melarang semua warganya untuk melakukan pencemaran alam di Bhutan. Hasilnya, Bhutan adalah satu-satunya negara yang langsung tidak menghasilkan karbon.
Negara ini juga mempunyai kualiti udara terbaik di dunia walaupun ia terletak di antara 2 negara yang mempunyai populasi terbanyak di dunia, iaitu Cina dan India.
5. Rakyat Bhutan kuat agama
Selain itu, rakyatnya juga adalah penganut agama Buddha yang amat serius. Rata-rata mereka amat mendalami agama mereka jika dibandingkan dengan penganut agama Buddha di negara lain.
6. Rakyat Bhutan tidak makan daging
Kebanyakan mereka tidak memakan daging. Jadi nasi, buah-buahan dan sayur-sayuran adalah makanan utama disini.
Ada juga di antara mereka yang tidak memetik buah dari pokok tetapi cuma akan menunggu hingga buah itu gugur sendiri sebelum mengambil dan memakannya.
Seperti masyarakat kita di Malaysia, mereka juga gemar memakan makanan yang pedas.
7. Rokok diharamkan di Bhutan
Merokok diharamkan di Bhutan. Penjualan rokok tidak dibenarkan sama sekali di mana-mana di Bhutan.
Pelancong asing cuma boleh membawa masuk maksimum sebanyak 200 batang rokok sahaja ke Bhutan dan akan dikenakan cukai bagi setiap batang rokok yang dibawa masuk.
Pelancong asing yang datang ke Bhutan cuma boleh merokok di tempat-tempat yang ditetapkan sahaja.
8. Memanah dijadikan sukan nasional di Bhutan
Memanah adalah sukan nasional di Bhutan. Hampir semua lelaki dewasa di Bhutan boleh memanah.
Jaraknya adalah 150m, mereka selalunya akan memakai pakaian tradisional dan mereka akan menari apabila pihak lawan berjaya memanah ke sasaran sebagai menaikkan semangat pihak lawan untuk memanah dengan lebih baik.
Mereka juga akan melihat bagaimana bendera berkibar untuk mengetahui arah dan kekuatan angin supaya mereka boleh memanah dengan lebih tepat.
kembara-di-bhutan-17
PALACE OF HAPPINESS DI PUNAKHA.
kembara-di-bhutan-18tHIMPU, IBU NEGARA BHUTAN.


kembara-di-bhutan-19
TRAFIK DI PERTENGAHAN BANDARAYA THIMPU BUKAN DIKAWAL OLEH LAMPU ISYARAT TETAPI OLEH POLIS YANG BERTUGAS.
kembara-di-bhutan-20
UDARA SEGAR DAN PEMANDANGAN MENAKJUBKAN SEPANJANG PENGEMBARAAN DI KAWASAN PERGUNUNGAN DI SEMPADAN BHUTAN-TIBET.
kembara-di-bhutan-21
SENIBINA MENARIK DI KAWASAN PERUMAHAN DI LAYA, SEBUAH KAMPUNG TERPENCIL DI UTARA BHUTAN.
kembara-di-bhutan-22
KANAK-KANAK YANG SENTIASA RIANG DI SEKOLAH DI LAYA.
kembara-di-bhutan-23
MURID-MURID MENGENAKAN PAKAIAN TRADISIONAL DI SEKOLAH DI LAYA.
kembara-di-bhutan-24
ORANG TEMPATAN DI LAYA BERCUCUK TANAM DENGAN MENGGUNAKAN TANGAN MEREKA SENDIRI.
kembara-di-bhutan-25
MEREKODKAN KEHIDUPAN NOMAD DI PERGUNUNGAN BHUTAN HIMALAYA DALAM BENTUK FILEM.
kembara-di-bhutan-26
ORANG-ORANG NOMAD YANG HIDUP DI PERGUNUNGAN TINGGI DI SEMPADAN BHUTAN-TIBET.
kembara-di-bhutan-27
SEBUAH PUNCAK GUNUNG YANG MENCECAH HAMPIR 8000M ALTITUD DI SEMPADAN BHUTAN-TIBET.

Secara amnya, setelah sebulan saya menghabiskan masa di Bhutan, saya melihat negara ini sebagai sebuah negara yang amat unik dan lain daripada kebanyakan negara yang telah saya lawati.
Sebulan tentunya amat pendek untuk saya benar-benar memahami negara di pergunungan Himalaya ini.
Saya berhajat untuk kembali ke negara ini semula mungkin dalam jangkamasa 5 tahun lagi kerana saya mahu melihat bagaimana keadaan negara ini dalam jangkamasa 5 tahun akan datang.
Sekarang, mereka baru mula untuk membangun dan ia kelihatan amat positif. Sepanjang saya disini, saya lihat jalanraya mula dibina untuk menghubungkan seluruh negara ini dari hujung ke hujung.
Purata pendapatan rakyatnya mula meningkat ke USD1600 sebulan, yang amat jauh bezanya dalam jangkamasa yang begitu singkat. Hampir setiap warga Bhutan termasuklah kanak-kanak di kawasan pedalaman boleh berbahasa Inggeris dengan lancar.
Setiap warga Bhutan amat memahami agama mereka iaitu Buddhism dan amat mementingkan kekeluargaan dan pelajaran anak-anak mereka.
Saya tidak terperanjat jika Bhutan bakal menjadi negara maju seperti Jepun dan Korea Selatan dalam jangkamasa yang begitu singkat, mungkin dalam 5-10 tahun lagi.
Di sini saya ingin turut berkongsi dari segi visual melalui video sebahagian daripada rakaman sewaktu pengembaraan saya di Bhutan.
Catatan lebih terperinci tentang pengembaraan di Bhutan turut saya kongsikan di website saya zahariz.com. Saya turut berkongsi gambar-gambar di sepanjang pengembaraan ini di akaun Instagram Zahariz.



(www.thevocket.com/kembara-zahariz-khuzaimah-di-pergunungan-bhutan)

No comments:

Post a Comment