CALON Barisan Nasional (BN), Ramli Mohd. Nor (dua dari kanan) bersama M. Manogaran (dua dari kiri) dan calon bebas Sallehudin Ab. Talib (kiri) dan Wong Seng Yee selepas penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ahmad Shah di Tanah Rata hari ini. - UTUSAN ONLINE
CAMERON HIGHLANDS 12 Jan. - Calon Barisan Nasional (BN), Ramli Mohd. Nor berdepan dengan tiga lawan dalam saingan empat penjuru pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands setelah bekas Presiden MyPPP, Tan Sri M. Kayveas mengumumkan menarik diri daripada bertanding sebentar tadi.
Ramli ditentang oleh calon Pakatan Harapan (PH) yang juga bekas calon Parlimen itu pada pilihan raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, M. Manogaran serta dua calon bebas iaitu Sallehudin Ab. Talib dan Wong Seng Yee.
Kesemua nama tersebut disahkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Cameron Highlands, Datuk Ishak Md. Napis pada pukul 10.36 pagi di pusat penamaan calon di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ahmad Shah di Tanah Rata dekat sini.
Sebelum ini, Kayveas menyatakan hasratnya untuk bertanding pada PRK Cameron Highlands dan menyifatkan keputusan itu merupakan yang pertama selepas mereka keluar dari BN pada 19 Mei 2018, selepas BN kalah dalam PRU14.
Bagaimanapun, Presiden MyPPP, Datuk Seri Maglin Dennis D’Cruz dalam sidang akhbarnya berkata, keputusan yang dibuat Kayveas itu tidak mendapat persetujuan majlis tertinggi parti selain mendakwa beliau bukan lagi ahli serta presiden parti.
Malah Kayveas juga dilarang untuk menggunakan logo parti tersebut jika tetap mahu bertanding pada pilihan raya kecil berkenaan. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment