Sunday, January 13, 2019

Saguhati Untuk Kelahiran Anak Pasangan Poligami. Al-hamdulillah T'ganu Kita!

 Haji Wan Sukairi (tiga dari kiri)  bersama anak Terengganu di Johor di Pasir Gudang malam semalam.


PASIR GUDANG,  13 Januari - Rakyat Terengganu termasuk yang berpoligami berhak mendapat saguhati kelahiran anak pertama sehingga seramai mungkin pada kadar RM100 hingga RM500 satu kelahiran kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri,  Haji Wan Sukairi Wan Abdullah.  

Katanya,  bagi kelahiran anak pertama sehingga keenam sama ada dari isteri pertama atau kedua,  mereka berhak mendapat saguhati  sebanyak RM100 seorang.  

Sementara anak ketujuh pula jelasnya, mendapat RM200, anak kelapan (RM300), anak kesembilan (RM400) dan anak ke 10 (RM500).
 Haji Wan Sukairi (kanan) bersalaman dengan Haji Abdullah di Bandar Seri Alam,  Pasir Gudang malan semalam. 
 Haji Wan Sukairi menyampaikan hadiah kepada seorang anak Terengganu di Johor di Pasir Gudang malam semalam.
 Haji Wan Sukairi (tengah)  bergambar bersama anak Terengganu-Johor di Pasir Gudang malam semalam.

"Setiap kelahiran selebihnya diberikan saguhati RM500 bagi menggalakkan rakyat Terengganu melahirkan ramai anak," katanya ketika menjawab soalan anak Terengganu di Johor di Majlis Ramah Mesra  Bersama Ustaz Wan Sukairi di sebuah restoran di Bandar Seri Alam,  di sini semalam.

Kira-kira 500 orang anak perantau Terengganu di Johor hadir di majlis berkenaan.  Turut hadir Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), Haji Mohd Soud Said,  Pesuruhjaya PAS Johor,  Haji Abdullah Husain dan Ketua Persatuan Anak Terengganu di Perantauan (PERANTAU), Haji Zulkifli Ibrahim.

Ustaz Wan Sukairi berkata,  setakat ini kerajaan negeri tidak mengambil kira jumlah keseluruhan kelahiran anak baharu dari pasangan berpoligami itu untuk diberi sagu hati berkenaan.

"Kita tidak mengira sekaligus jumlah anak yang lahir dari isteri pertama dan kedua tetapi kita mengambil kira jumlah kelahiran anak secara berasingan," ujarnya.  

Kerajaan negeri juga menerima beberapa cadangan termasuk sambungan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dari Kuantan ke Johor untuk kemudahan anak-anak Terengganu di negeri itu pulang ke kampung halaman mereka.  

Begitu juga dengan cadangan penerbangan sebuah syarikat penerbangan  dari Terengganu ke Johor perlu disambung semula setelah dihentikan tahun ini.

"Saya baru menerima maklumat mengenainya dan saya akan rujuk kepada Exco Pelancongan mengenai perkara ini," jelas beliau.  

Dalam pada itu rakyat Terengganu di perantauan turut mendapat hak untuk mendapat kemudahan yang hampir sama dengan anak negeri bermustautin dalam aspek mendapat lot tanah, peluang pekerjaan dan lain-lain.  

Ustaz Wan Sukairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam berkata,  anak negeri di perantauan juga berhak mendapat satu lot tanah untuk tapak rumah kediaman dari kerajaan negeri bagi mereka yang belum memiliki tanah berkenaan.  

Mereka juga berhak mendapat satu lot tanah pertanian bagi mereka yang bekerja sebagai petani.  

Di samping itu katanya,  anak perantau juga berpeluang mendapat pekerjaan di Terengganu dalam industri silika yang akan dibuka tidak lama lagi. (Teganukita)

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Al-hamdulillah, tindakan kerajaan Negeri Terangganu itu sesuai dengan kehendak Nabi SAW yang mahu dan bangga dengan umatnya yang ramai.

Laman web rasmi pejabat Mufti Wilayah Persekutuan ada menyiarkan jawapan pertanyaan mengenai hadith berkaitan galakan menikah dengan wanita yang subur atau peranak.. 

Ini jawabnya..

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Allah SWT menciptakan setiap makhluk itu secara berpasang-pasangan seperti lelaki dan wanita. Lalu Allah SWT mensyariatkan perkahwinan bagi mereka yang mampu sebagaimana firman Allah SWT:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً 
al-Rum:21
  • Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.”
Tambahan pula, agama kita amat menggalakkan setiap umatnya agar berkahwin berdasarkan hadith-hadith yang sahih. Akan tetapi, di sana terdapat beberapa ciri-ciri yang diberikan oleh Rasulullah SAW kepada kita sebagai panduan sebelum mendirikan rumahtangga.
Berdasarkan soalan di atas, terdapat sebuah hadith daripada Ma’qil bin Yasar berkata: Telah datang seorang lelaki kepada Nabi SAW lalu berkata:
إِنِّي أَصَبْتُ امْرَأَةً ذَاتَ حَسَبٍ وَجَمَالٍ، وَإِنَّهَا لَا تَلِدُ، أَفَأَتَزَوَّجُهَا، قَالَ: "لَا." ثُمَّ أَتَاهُ الثَّانِيَةَ فَنَهَاهُ، ثُمَّ أَتَاهُ الثَّالِثَةَ، فَقَالَ: "تَزَوَّجُوا الْوَدُودَ الْوَلُودَ فَإِنِّي مُكَاثِرٌ بِكُمُ الْأُمَمَ."
  • Maksudnya: “Sesungguhnya aku telah bertemu dengan seorang wanita yang mempunyai kedudukan dan cantik tetapi dia seorang yang tidak boleh melahirkan anak. Maka, apakah aku boleh menikahinya? Rasulullah SAW menjawab: “Jangan.” Kemudian lelaki itu datang buat kali yang kedua maka Baginda SAW juga melarangnya. Lalu lelaki itu datang buat kali yang ketiga, maka Nabi SAW bersabda: “Kahwinilah kamu akan wanita yang penyayang, subur kerana aku merasa bangga dengan memiliki umat yang banyak.” [Riwayat Abu Daud (1050)] [Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai sanad hadith adalah kuat]

Hadith ini menunjukkan bahawa anjuran Nabi SAW agar lelaki ini berkahwin dengan wanita yang penyayang supaya dia (isteri) dapat menyayangi suaminya dan yang subur pula adalah yang boleh melahirkan ramai anak. 
Hadith ini diikat dengan dua ciri ini kerana jika seorang wanita itu tidak bersifat dengan penyayang maka ia akan menjadikan tarikan suami kepadanya berkurangan. Adapun, jika wanita itu tidak bersifat subur maka ia tidak mencapai salah satu tuntutan iaitu meramaikan umat dengan melahirkan ramai anak. 
Selain itu, kedua ciri ini kebiasaannya terdapat pada wanita yang masih dara. Tambahan pula, hadith ini juga menunjukkan isyarat agar kekal dengan perkahwinan yang mana terdapat padanya (pada isteri) dua ciri atau sifat tersebut. [Lihat: ‘Aun al-Ma’bud, 33-34/6]
Justeru itu, hadith ini merupakan salah satu petunjuk atau hadyu nabawi dalam memilih pasangan hidup. Tuntutan ini bukanlah bersifat wajib, bahkan ia merupakan satu galakan kerana Nabi SAW berbangga melihat umatnya ramai di akhirat kelak. 
Seperkara lagi, anak merupakan rezeki daripada Allah SWT dan Allah SWT berhak untuk memberikan rezeki tersebut kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Untuk itu, janganlah kita bersedih jika Allah SWT belum lagi mengurniakan kita cahaya mata atau Allah SWT tidak mengurniakan kita cahaya mata. 
Tugas kita sebagai seorang hamba adalah sentiasa berdoa serta berusaha dengan bersungguh-sungguh dan selebihnya kita serah kepada Allah SWT.
Penutup
Kesimpulannya, antara kunci kebahagian rumahtangga adalah apabila mana-mana pasangan mendapatkan cahaya mata. Bahkan, ini akan menguatkan lagi hubungan di dalam perkahwinan tersebut. Untuk itu, menjadi tanggungjawab kita untuk mengikut setiap panduan yang telah diberikan oleh junjungan besar kita Nabi SAW. Akhirnya, semoga Allah SWT mengurniakan zuriat-zuriat yang soleh dan solehah serta penyejuk mata buat ibubapa. Amin.
Wallahua’lam.

1 comment:

Anonymous said...

Sokong pas kerana lakukan untuk islam. Bukan macam pan, ngaku islam tp bekerja utk dap.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails