Monday, February 04, 2019

Misi Bantu Rohingya PASRelief - Januari 2019



SETAHUN berlalu
Sepanjang tahun 2018, PASRelief mengirimkan belanja pengurusan sekolah, mengadakan sembelihan korban dan bantuan iftar bulan Ramadhan kepada Muslim Rohingya di Arakan dan Cox's Bazaar melalui rangkaian kerjasama di sini. Alhamdulillah, semuanya sampai dengan selamat dan diuruskan dengan cermat.
Jumlah sumbangan sepanjang tahun 2018 sekitar RM120,000. Banyak? Oh tidak! Jumlah pelarian Muslim Rohingya di Cox's Bazaar sahaja sekitar 1.3 juta orang. Di mana 400,000 lagi berada di Internal Displacement People (IDP) Camps dan perkampungan terpencil di Arakan (Rakhine), Myanmar.
Setahun lima bulan selepas tragedi pembantaian besar-besaran pada Ogos 2017, Arakan bukan lagi tanah kampung halaman Rohingya yang boleh didiami lagi. Empat keluarga yang menyahut tawaran pulang semula ke kampung halaman di Arakan, diperosok ke kem IDP di Sittwe.
Tanah kampung mereka telah dibangunkan jajaran paip minyak dan laluan kereta api dari pantai Arakan terus ke Tanah Besar China. Pembangunan milik negara super power telah mengambil kampung halaman mereka.
Ke mana mahu pulang? 
Setahun lima bulan selepas tragedi pembantaian besar-besaran pada Ogos 2017, Arakan bukan lagi tanah kampung halaman Rohingya yang boleh didiami lagi. Empat keluarga yang menyahut tawaran pulang semula ke kampung halaman di Arakan, diperosok ke kem IDP di Sittwe.
Tanah kampung mereka telah dibangunkan jajaran paip minyak dan laluan kereta api dari pantai Arakan terus ke Tanah Besar China. Pembangunan milik negara super power telah mengambil kampung halaman mereka.
Sebahagian besar tanah Muslim Rohingya kini menjadi lombong batu permata dan galian berharga. Arakan sendiri memiliki deposit minyak dan gas yang akan menjadi sumber kekayaan baharu Myanmar dan China. Pengambilan tanah mereka dilakukan dengan tumpahan darah dan pengusiran paksa (genocide).
Apa yang sedang dilakukan oleh komuniti antarabangsa? India baru saja mengusir 137 keluarga Rohingya yang berlindung di Jammu. Masyarakat tempatan yang beragama Hindu tidak dapat menerima kehadiran pelarian Muslim Rohingya, nyawa mereka diancam. Mereka terpaksa mencari negara baharu untuk terus hidup yakni Bangladesh.
Mereka menempuh perjalanan lebih 3000 kilometer, berjalan kaki, menumpang lori dan kereta api. Awal bulan ini mereka tiba di sempadan Bangladesh. Sebahagian telah dapat membolosi sempadan, menumpang di kem pelarian di Cox's Bazaar.
Arab Saudi juga dilaporkan sedang mengusir keluar sebahagian Muslim Rohingya yang menumpang di negara itu. Saudi mendakwa jumlah pelarian Rohingya sebelum Ogos 2017 di negara mereka ialah 175,000 orang. Jumlah mereka semakin bertambah selepas krisis Ogos 2017. Ke manakah mereka akan pulang?
Kediaman sesak
Di kem pelarian terbesar dunia iaitu di Kutupalong dan Balukhali Cox's Bazaar, Kerajaan Bangladesh terpaksa menerima kemasukan besar-besaran.
Seluas 763 hektar tanah dibuka untuk kediaman sementara pelarian, dibahagikan kepada beberapa sektor. Setiap sektor dipecahkan kepada blok, ditanda dengan angka dan huruf. Blok khemah kediaman dihubungkan dengan jalan dari bata merah yang didirikan oleh tentera Bangladesh.
Van, pacuan empat roda dan CNG kini telah boleh masuk jauh ke dalam kem. Sebelum ini mereka terpaksa mendaki dan melungsur tebing, melalui celah lorong khemah berjalan kaki berkilometer jauhnya untuk menghantar atau keluar mengambil bekalan makanan.
Hari ini, kem tersebut telahpun mendapat perhatian agensi-agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, pertubuhan antarabangsa dan NGO dari serata dunia. Terdapat pejabat dan depot berpagar kawat duri agensi PBB didirikan seperti World Health Organisation, World Food Programme, Unicef dan lain-lain. Kenderaan agensi-agensi itu dilihat mundar mandir setiap hari dari hotel-hotel di Cox's Bazaar ke dalam kem.
Terdapat juga sekolah, madrasah, klinik, pusat kesihatan dan farmasi, selain masjid, musolla, dan infrastruktur asas lain sumbangan NGO tempatan dan antarabangsa. Kondisi kemudahan yang ada di dalam kem pelarian tidak ada bandingan di negara kita.
Sumbangan Malaysia 
Malaysia adalah satu-satunya negara yang menyediakan khidmat Hospital Medan dengan khidmat doktor pakar dan kelengkapan terbaik. Sejak November 2017, hospital Malaysia telah beroperasi lebih setahun walaupun rancangan asal hanya akan beroperasi selama tiga bulan.
Keperluan mendesak terhadap kepakaran rawatan kesihatan pelarian dan masyarakat tempatan tidak mengizinkan hospital Malaysia dibubarkan. Tahniah dan terima kasih Malaysia.
PASRelief telah menghulurkan sumbangan lebih RM2 juta sejak September 2017 ke kem pelarian ini. Sebahagian besar adalah untuk pakej makanan, pam air (tube well) dan khemah kediaman (shelter home) pada empat bulan terakhir tahun 2017. Program penting lain ialah sekolah dan madrasah untuk pendidikan anak-anak pelarian. Masjid dan musolla turut didirikan.
Alhamdulillah semua sumbangan PASRelief didirikan di kawasan yang dibenarkan. Hanya beberapa sekolah rosak melungsur tebing pada musim hujan lebat. Ia akan dibaiki nanti.
Khemah kediaman yang didirikan hasil sumbangan pelbagai pihak pada 2017 tanpa izin Kerajaan Bangladesh telah dirobohkan. Mereka diarah berpindah ke lokasi yang ditetapkan lebih jauh dari jalan raya utama.
Binaan tidak lagi boleh menggunakan kanvas sebagai dinding. Ia diperbuat daripada buluh sebagai struktur utama dan berlantai simen. Lebih kukuh dan kebih selesa. Semua pelarian telah memiliki 'rumah' mereka.
2019: Misi kelangsungan

Misi kali ini membawa sumbangan gaji kepada guru-guru sekolah PASRelief berjumlah RM50,000. Cukup untuk berjimat cermat selama 5-6 bulan operasi. Pelajar di beberapa sekolah yang rosak digabungkan dengan sekolah berdekatan, pengajian siang dan malam. Sekolah PASRelief sedang memberi manfaat kepada 1,750 orang pelajar.
PASRelief ditawarkan untuk mengambil alih 13 sekolah dan madrasah yang disumbangkan oleh beberapa NGO sebelum ini, termasuk NGO dari China yang menghadapi masalah dalaman di negara mereka.Setiap sekolah memiliki kemudahan empat bilik darjah. Ia termasuk juga madrasah sumbangan NGO dari Malaysia yang hanya membekalkan kos pembinaan, tetapi tidak membekalkan kos operasi, terutama gaji guru.

Demi meneruskan kehidupan, guru-guru terpaksa mencari kerja lain, terutama menjadi buruh membina infrastruktur kem, jalan dan parit. Tiada guru tiadalah pendidikan. Semua 13 sekolah itu memberi manfaat kepada 2,500 pelajar. Kos operasi semua sekolah itu sekitar RM18,000 setiap bulan.Beberapa NGO luar negara termasuk mubaligh Kristian dari Eropah turut mendirikan sekolah di sekitar kem. 

Kami dimaklumkan mereka mengambil idea PASRelief mendirikan sekolah dengan saiz kecil di banyak lokasi berhampiran kediaman pelarian. Ia lebih mudah bagi kanak-kanak hadir ke sekolah. Sekolah mereka lebih lengkap dan cantik, tetapi anak-anak lebih banyak bermain daripada belajar.Sebuah sekolah yang lebih besar dan kukuh akan didirikan oleh PASRelief bagi menggantikan sekolah yang rosak hasil sumbangan PAS Negeri Terengganu. 

Proses pembinaan telah dimulakan pada 29 Januari 2019 sebaik sahaja persetujuan dicapai. Bangunan itu akan menempatkan 4 bilik darjah untuk 200 murid pada setiap sesi.PASRelief turut menyumbangkan 10 mesin dan peralatan menjahit kepada 10 balu dan anak yatim yang dipilih oleh CHA. Ketika ditanya jumlah keperluan mesin jahit untuk wanita tanpa suami dan ayah dapat berdikari di dalam kem pelarian, sahabat kami Salimullah dari CHA menjawab ringkas. 

"Unlimited!" Kos sebuah mesin dan kelengkapan menjahit adalah sekitar USD200.Sebanyak RM20,000 juga diserahkan kepada CHA untuk bantuan segera membina kediaman dan kemudahan lain kepada 137 keluarga yang baharu tiba dari Jammu, India.

Hidupkan sekolah 

CHA dan pertubuhan mahasiswa tempatan - Ittihad Al-Tullab Islami Arakan (ITM) terus komited memastikan proses pendidikan anak-anak pelarian terus berjalan. Mereka membina sekolah dan membekalkan guru-guru dari kalangan graduan universiti tempatan dan bekas guru sekolah di Myanmar yang kini menjadi pelarian.

Sumbangan kewangan daripada masyarakat antarabangsa sangat diperlukan untuk memastikan proses pendidikan ini dapat diteruskan. Purata gaji guru sekarang di kem pelarian hanya RM250 sebulan. Teruskan menyumbang melalui Tabung Kemanusiaan Antarabangsa 5640 7061 1352 atau akaun PASRELIEF 5640 7061 2333 (Maybank).

MUHAMMAD SANUSI MD NOR 
Pengarah PASRelief
Misi 27 - 31 Januari 2019
Cox's Bazaar Bangladesh - HARAKAHDAILY 2/2/2019

IMG 20190202 WA0026
IMG 20190202 WA0024
IMG 20190202 WA0027

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails