SEBAHAGIAN gadis asing yang ditahan polis di pusat hiburan dan rumah urut di sekitar Damansara Perdana, Petaling Jaya, tahun lalu. UTUSAN
Pelacuran subur di rumah urut.
SPRM kenal pasti rasuah, kelemahan penguatkuasaan jadi punca
MUKADIMAH
KEWUJUDAN pusat-pusat urut refleksologi bersimbolkan tapak kaki dilihat umpama cendawan yang tumbuh melata selepas hujan.
KEWUJUDAN pusat-pusat urut refleksologi bersimbolkan tapak kaki dilihat umpama cendawan yang tumbuh melata selepas hujan.
Di bandar-bandar seperti di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Johor, Melaka, Sabah dan Sarawak perniagaan rumah urut ini berkembang pesat namun tidak diketahui tujuan sebenar kewujudannya.
Adakah kerana boleh meningkatkan jumlah pelancong ke negara ini? Atau mungkin rakyat Malaysia secara umumnya menghadapi masalah kesihatan sehinggakan perniagaan ini menjadi industri besar.
Ikuti temubual wartawan Utusan Malaysia, AZIAN AZIZ, NURAINA HANIS ABDUL HALIM dan NURFARAHIN HUSSIN dengan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), DATUK SERI AZAM BAKI mengenai masalah di sebalik perkembangan tidak sihat ini.
UTUSAN MALAYSIA: Apakah pembukaan pusat-pusat urut secara berleluasa di bandar-bandar termasuk dalam perancangan pihak berkuasa tempatan sebagai perkhidmatan yang mampu menarik pelancong?
AZAM BAKI: Sememangnya tidak kerana pekerja di pusat-pusat urut sebahagian besarnya adalah warga asing yang pada mulanya datang sebagai pelancong. Jadi memang tidak banyak faedah dari segi menjana ekonomi melalui kutipan cukai.
Apa yang dikesalkan terdapat pusat-pusat urut ini menawarkan perkhidmatan pelacuran yang menimbulkan pelbagai masalah sosial dalam masyarakat.
Siapa di belakang industri rumah urut ini sebenarnya?
Inilah yang dikatakan black economy yang mana industri ini dikawal oleh sindiket dan keseluruhan transaksi dibuat secara tunai bagi mengelak dikesan.
Bukit Bintang misalnya yang menjadi tumpuan pelancong dan rakyat tempatan, di sebelah malamnya bertukar wajah dengan dipenuhi deretan pusat-pusat urut berlogo tapak kaki.
Kebanyakan premis mempunyai ‘ulat kedai’ yang akan memujuk pelanggan untuk berurut dan sebahagiannya menawarkan perkhidmatan tambahan dengan menjadikan gadis-gadis sebagai umpan.
Terdapat kata-kata sinis mengatakan Bukit Bintang, Kuala Lumpur seolah-olah telah mengambil alih gelaran sebagai pusat pelacuran Asia Tenggara dari negara jiran yang dahulunya terkenal dengan imej tersebut. Jadi bagaimanakah seriusnya dakwaan itu dan kaitannya dengan kewujudan pusat urut?
Di sebalik kemeriahan kewujudan pusat-pusat urut ini sebenarnya memberi gambaran sejauh mana rancaknya aktiviti pelacuran di negara ini. Sebut apa sahaja kerakyatan yang anda mahu, China, Vietnam, Thailand, Indonesia, Filipina malah Rusia pun ada.
Berbanding bandar-bandar di Eropah, logo tapak kaki sebagai simbol pusat urut ini amat jarang dilihat, tetapi di Asia Tenggara seolah-olah satu industri besar.
Ada tempat-tempat di negara kita seolah-olah sama dengan satu tempat di Thailand, namanya Patpong. Bukan di Bukit Bintang sahaja malah ada beberapa tempat di negeri seperti Selangor, Pulau Pinang, Johor, Melaka, Sabah dan Sarawak. Bila malam jadi meriah.
Apakah sebenarnya punca kepada lambakan pusat-pusat urut yang menawarkan khidmat pelacuran?
Pembayaran rasuah kepada penguat kuasa bagi melindungi kesalahan-kesalahan pusat urut. Bagi pusat urut haram, bayaran perlindungan menjadi wajib. Jika enggan membayar maka serbuan akan dijalankan manakala bagi yang beroperasi secara sah terpaksa membayar kerana tidak mahu premis diperiksa dan diganggu.
Taktik menangkap pekerja walaupun yang sah dengan alasan menyemak dokumen sebelum menyumbat mereka ke dalam lokap beberapa hari sengaja dibuat untuk memberi tekanan kepada pemilik premis. Elemen ugutan ‘ala mafia’ oleh penguat kuasa ini semakin menjadi-jadi dan perlu diambil tindakan sewajarnya.
Kalau dilihat, banyak serbuan dilakukan oleh penguat kuasa, namun mengapa premis ini masih berani beroperasi?
Penguatkuasaan yang lemah. Ini menyebabkan tindakan serbuan ke atas premis-premis urut tidak mendatangkan kesan kerana yang ditangkap kebanyakannya hanyalah wanita pekerja asing dan penjaga premis.
Tindakan susulan untuk mengesan pemilik sebenar perniagaan juga seolah-olah tidak berjalan lancar. Ada juga keadaan yang mana operasi yang ingin dilaksanakan gagal akibat kebocoran maklumat. Bagi premis-premis yang membayar rasuah, maklumat operasi akan mudah bertebaran.
Satu lagi, tiadanya tindakan pendakwaan yang berkesan ke atas gadis pelayan pelanggan (GRO) dan penjaga premis. Kebanyakan GRO yang ditangkap akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen atas kesalahan salah guna pas lawatan sosial dan tindakan pendakwaan atas kesalahan melacur atau lain-lain kesalahan serius jarang dilaksanakan.
Di pihak Jabatan Imigresen, amat jarang kita mendengar wanita-wanita ini dihadapkan ke mahkamah. Di manakah silapnya? Adakah wujud kelemahan dari segi undang-undang sedia ada?
Pertindihan kuasa antara pelbagai agensi. Pihak berkuasa tempatan dari segi pengeluaran lesen dan penguatkuasaan syarat-syarat lesen. Polis pula fokus kepada aktiviti maksiat manakala Jabatan Imigresen berkaitan penyalahgunaan pas lawatan sosial dan perihal permit pekerja asing.
Justeru, kesan pertindihan kuasa ini membuatkan pemilik premis langsung tidak takut untuk terus beroperasi kerana mereka tahu betapa sukarnya pihak-pihak berkuasa mengambil tindakan. Dalam bahasa lebih mudah, kalau kena pun boleh ‘kawtim’ dan tindakan tidak ke mana.
Cadangan SPRM bagi mengatasi isu rumah urut haram?
Menggunakan Akta Pengubahan Wang Haram secara menyeluruh ke atas pemilik, orang tengah dan syarikat dengan membekukan semua akaun bagi menghentikan aktiviti syarikat, mewujudkan undang-undang atau memperbaiki yang sedia ada agar tidak membuka ruang dan peluang untuk kegiatan ini terus berlaku.
Menjadikan integrity testing sebagai teknik untuk menguji tahap integriti pegawai penguat kuasa, selain mengadakan lawatan mengejut dan membuat pemantauan rapi serta menyenaraihitamkan semua GRO yang telah didakwa di mahkamah atas pelbagai kesalahan jenayah.
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Terdapat 3 perkara antara penyebab kegagalan penghapusan pelacuran dan rumah urut.
- Tiada undang-undang melarang perlakuan najis zina. Bahkan kerja maksiat itu disebut juga 'perkhidmatan'. Seseorang mengakui dia pelacur, tiada undang yang boleh menangkapnya.
- Dikatakan industri black economy ini dikawal oleh sindiket kapitalis yang berkuasa dari bawah hingga ke atas, seolah-olah melebihi kuasa jabatan dan menteri?
- Apakah benar kerajaan PH sudah tidak berkuasa?
Bagi aje kuasa memeriksa pusat urut kaki kpd sprm...pusat urut di bukit bintang sudah berkembang masa BN lagi yg disokong kuat oleh Pas atas nama ketuanan melayu.....
ReplyDeleteDi Kelate dan Ganu tak de pelacur sbb bawah PAS.....
ReplyDelete