▼
Wednesday, March 20, 2019
Gagal Tapis Video Tragedi Christchurch, Zuckerberg Diminta Perjelas.
Mark Zuckerberg diminta bagi pihak Facebook menjelaskan bagaimana video kekejaman itu boleh tersiar di platform medianya. -Gambar fail
'Mana tanggungjawab kamu?' - Zuckerberg diminta perjelas kegagalan tapis video tragedi Christchurch
KERAJAAN New Zealand meminta penjelasan daripada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) tiga platform media sosial ternama dunia berhubung penyiaran insiden tragis serangan dua masjid di Christchurch pada Jumaat.
CEO Facebook, Mark Zuckerberg, CEO Twitter, Jack Dorsey, dan CEO Google, Sundar Pichai digesa menjelaskan bagaimana cara mereka mengawal kandungan siaran di platform media sosial masing-masing.
Tiga syarikat berteknologi Amerika Syarikat itu dihujani dengan kritikan bertubi-tubi dari pelbagai pihak serata dunia selepas mereka didakwa gagal mengenal pasti dan menghentikan siaran serta penyebaran rakaman insiden serangan yang berlaku pada Jumaat.
Tragedi yang mengorbankan 50 jemaah ketika solat Jumaat itu disiarkan secara langsung menerusi media sosial Facebook milik suspek pengganas Brenton Tarrant.
Ketua Pegawai Eksekutif Vodafone New Zealand, Spark dan 2degrees berkata mereka telah mengambil langkah yang sebelum ini belum pernah dilakukan untuk mengenal pasti dan menangguhkan akses yang menyiarkan rakaman video serangan berkenaan.
Mereka turut menyeru syarikat teknologi tinggi untuk menyekat atau memadamkan kandungan yang berkaitan dengan keganasan.
"Walaupun pengendali rangkaian sosial telah berusaha memadamkan video kejadian pada Jumaat itu sejurus mengetahuinya, ia masih tersebar luas dan tidak sepatutnya disiarkan di internet,” menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan syarikat berkenaan di laman web mereka.
Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern pada Selasa menegaskan bahawa kerajaan negara itu akan menyiasat peranan media sosial yang dimainkan dalam serangan berdarah tersebut.
“Kita tidak boleh hanya berdiam diri dan menerima kenyataan bahawa platform ini hanya wujud begitu sahaja dan apa yang dikatakan atau disiarkan bukanlah tanggungjawab mereka!” tegas Ardern dalam ucapannya di Parlimen pada Selasa.
"Mereka adalah penerbit, bukan hanya penyiar. Mana mungkin mengaut keuntungan tanpa mengambil kira tanggungjawab."
Terdahulu, Persatuan Pengiklan New Zealand dan Majlis Komunikasi Komersial menarik balik iklan di platform media sosial tersebut yang didakwa gagal menapis siaran rakaman insiden tragis itu dan mengeluarkan satu kenyataan bersama mempertikaikannya.
"Jika pemilik laman web dapat menyasarkan iklan kepada pengunjung dalam kurang sesaat, kenapa teknologi sama tidak dapat digunakan untuk mencegah kandungan negatif yang disiar secara langsung?" menurut kenyataan bersama itu.
BACA: Syarikat ternama boikot, tarik iklan daripada Facebook, Google
Francais makanan segera Burger King, ASB Bank, Kiwibank, ANZ Bank New Zealand, Bank of New Zealand dan Lotto New Zealand dilapor turut bertindak memboikot platform media sosial itu.
(AA)
No comments:
Post a Comment