Hukuman mati gagal banteras dadah
Oleh
SUBKY LATIF
SAYA tonton Forum Perdana Hal Ehwal Islam TV1 malam Khamis 21 Februari 2019 tentang cegah dadah di Malaysia sekalipun hukumnya, mati mandatori bagi pengedar.
Kedua-dua panelis – seorang ustazah, seorang ustaz datuk – masyghul meskipun banyak yang kerajaan buat termasuk hukuman mati, wabak dadah tidak berkurangan bahkan bertambah puluhan ribu setahun.
Maka siapa salah? Apa patut dibuat?
Semua akan Tuhan tanya atas gara-gara itu. Ulama, guru, pentadbir dan paling dibebankan ialah ibu bapa. Maka akhirnya ibu bapalah dilonggokkan semuanya, sedang semuanya ahli pendidik dan masa mereka dengan anak-anak terhad, malah kuasa mengawal anak-anak hanya di rumah dan kuasa yang masyarakat moden beri kepada ibu bapa amat terhad.
Saya menunggu apa saranan bagi membanterasnya? Banyak cadangan akademik oleh Pak Ustaz. Ia tidak lebih dari teori. Jika polis dan mahkamah dengan kuasa dan undang-undang yang ada tidak dapat buat apa-apa, apa ibu bapa yang amat lemah itu dapat buat?
Peri peranan ibu bapa dan masyarakat itu telah ada sejak sebelum zaman Nabi Nuh lagi, sedang anggota masyarakat berjenayah juga. Sejak itu mereka membinasakan diri sendiri dan sejak itu kita ketahui sampah masyarakat itu Allah binasakan.
Demi membanteras gejala pemusnah itu Allah kirim nabi dan rasul membawa ubatnya, peraturan Allah yang dinamakan syariah. Perundangan yang sekalian nabi bawa itu bukan sekadar rukun terbaik menyelamatkan manusia, bahkan ia membawa nikmat penggerun. Orang takut melanggar peraturan. Gerun dan takut itu menyelamatkan manusia. Kebanyakannya ingkar juga, maka Allah binasakan hingga tidak berbenih.
Dadah zaman ini adalah gejala pemusnah kemanusiaan. Ubatnya sudah disampai melalui al-Quran. Nabi dan ulama saja tidak dapat mencegahnya melainkan ditegakkan syariah. Bani Israil ramai nabi dan ulama. Bila ajaran Taurat dan Injil dibakulsampahkan ia dilaknat.
Al-Quran dan hadis bukan sekadar untuk dihafal tetapi dilaksanakan. Tiada berguna alim ilmu solat tapi tidak sembahayang. Para orientalis mahir semua ilmu Islam tetapi bukan untuk beriman. Sedunia manusia disesatkannya termasuk semua kerajaan Islam, memakai peraturan tidak Islam seperti pencegahan dadah, hanya membawa kebinasaan.
Saya tunggu panelis sebutkan ubatnya iaitu kuat kuasakan syariah. Meraka tidak sebut, puji semua yang kerajaan sudah buat, tetapi kerajaan dengan ulamanya yang tidak sedikit, ditempelak Allah.
Kerajaan sejak merdeka ajak qari/qariah dari seluruh dunia bertilawah al-Quran di sini, cetak al-Quran banyak-banyak, baca pagi dan petang, bina masjid banyak dan indah, tapi peraturan Islam dibakul sampahkan.
Al-Quran suruh murtad dibunuh. Bunuh atas dadah tiada jelas nasnya. Diqiaskan ia boleh membunuh ramai, maka diperaturankan mereka dihukum bunuh. Campur murtad dan dadah hukum bunuh tidak menakutkan sesiapa dan tidak menjadi rahmat sedang kedatangan Rasulullah SAW itu memberi rahmat kepada alam.
Patutnya ustaz sebut, mengaji syariah bukan untuk alim dan pakar, tapi untuk dilaksana seperti ngaji fekah sembahyang untuk solat. Mengajar Islam dan syariat di universiti demi mendaulatkannya.
Suruh PAS saja perjuang RUU355 tidak memadai. Bagitahu wajib kerajaan daulatkan ia. Peranan ibu bapa besar, tapi jadi kecil dibandingkan tanggungjawab kerajaan.
Bila kerajaan perkecil syariah, hukum bunuh atas kesalahan dadah jadi sia-sia.
Jangan tipu kerajaan betapa ia telah buat semua. Ibu bapa berperanan tapi kerajaan yang tidak berperanan, menyediakan kemusnahan untuk semua. Tunggulah! – HARAKAHDAILY 9/3/2019
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Arak terkenal sebagai 'kencing syaitan', adik beradik dadah. Maka wajar dadah disebut 'berak syaitan'. Nampaknya hukuman mati gubahan manusia itu gagal banteras dadah berak syaitan itu!
Oleh itu, negara umat Islam kena pilih perundangan ini..
Hudud paling praktikal cegah jenayah – Zakir Naik
April 20, 2016 12:17 PM
NILAI: Hudud adalah undang-undang pencegahan jenayah yang paling praktikal di muka bumi ini, kata pendakwah antarabangsa, Dr Zakir Naik.
Dr Zakir berkata, Arab Saudi yang melaksanakan hukum hudud terbukti lebih berjaya menangani jenayah berbanding Amerika Syarikat (AS) yang tidak melaksanakan undang-undang sedemikian.
Katanya, perkara itu dibuktikan menerusi statistik yang dikeluarkan pihak berkuasa AS sendiri, yang mana menunjukkan kadar rogol dan jenayah di negara kuasa besar itu adalah tertinggi di dunia.
“3,000 jenayah direkodkan berlaku setiap saat di AS ketika ini. Bayangkan jika sistem zakat dibuat dan disusuli undang-undang Islam (hudud) di AS. Adakah ia akan menambah atau mengurangkan jenayah?
“Sudah tentu ia mengurangkan jenayah. Undang-undang syariah adalah undang-undang paling praktikal untuk dilaksanakan di mana-mana tempat di muka bumi ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramahnya di Kolej Permata Insan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini, hari ini.
Ceramah itu dihadiri Naib Canselor USIM, Prof Datuk Dr Musa Ahmad dan kira-kira 1,000 pelajar dan kakitangan universiti itu.
Agenda pelaksanaan hukum hudud sering dibangkit di negara ini dan menjadi wadah utama perjuangan PAS bagi memperoleh mandat daripada pengundi.
Terbaru, PAS cuba untuk meminda Akta Mahkamah Syariah 1965, bagi membolehkan hudud boleh dilaksanakan di Kelantan.
Agenda hudud menjadi punca kepada perbezaan pendapat antara PAS dan DAP sehingga menyebabkan Pakatan Rakyat berkubur tahun lalu.
No comments:
Post a Comment