Sunday, March 17, 2019

Lenyapkan Kependudukan Nelayan, Melalui Projek PSR..


BALIK PULAU: Warga nelayan menyifatkan terdapat muslihat untuk melenyapkan kependudukan golongan tersebut serta kegiatan dijalankan mereka oleh Kerajaan DAP menerusi pembangunan projek Penambakan Selatan Pulau Pinang (PSR).
Nelayan Teluk Kumbar, Bakri Bakar berkata, lokasi projek PSR bagi pembinaan tiga pulau buatan termasuk kawasan pengambilan pasir dan pelupusan sisa itu merupakan tempat nelayan mencari rezeki turun temurun.
“Sumber rezeki di situ sudah menjadi darah darah daging keturunan kami dan menyara kehidupan seharian. Jika projek ini diteruskan seolah-olah macam nak mematikan kami. Selama ini kami tidak pernah digugat, tetapi dengan projek ini, kami rasa macam ditindas dan seolah-olah mahu melenyapkan kami.
“Di mana kami nelayan pantai akan cari rezeki seterusnya? Ya, kami kerdil dan minoriti, tetapi sumbangan kami jangan dilupakan terutama dalam memberi protein kepada masyarakat,” bidasnya membantah keras PSR dilaksanakan.
Menurut beliau, kawasan perikanan nelayan kecil melibatkan antara 4 hingga 7 batu nautika dari pantai yang juga menjadi tempat pembiakan ikan akan hilang sekelip mata disebabkan oleh aktiviti-aktiviti projek tersebut.
Bagi veteran, Ali Mohamad, 82 tahun yang merupakan bekas nelayan juga berasal dari Teluk Kumbar, hasil tangkapan golongan itu telah terjejas dengan teruk oleh pencemaran yang sedia terjadi di sekitar pulau itu.
Apatah lagi katanya, jika projek tersebut dijalankan, ia bakal menyulitkan usaha para nelayan yang merupakan golongan daif kewangan untuk mencari makan serta menyara keluarga mereka menerusi pendapatan dari sumber laut.
Beliau yang telah menyara 10 anak sepanjang menjadi nelayan menyifatkan projek itu akan mengusir mereka menjadi pelarian di dalam negeri sendiri dan menyebabkan masa depan anak cucunya terumbang-ambing.
Kesalinya, Kerajaan DAP Pulau Pinang hanya dilihat mesra golongan kapitalis yang kononnya akan memajukan negeri itu tetapi bertindak seperti menghalau dan mensia-siakan penduduk sendiri serta keturunan bergenerasi mereka.
Tegas beliau, warga nelayan di negeri itu adalah peneroka laut yang hidup berikhtiar mencari rezeki sendiri dengan tidak memiliki skim seperti pencen, KWSP, SOCSO dan seumpamanya sebagaimana yang dinikmati pihak lain.
Manakala nelayan Teluk Bahang, Mohd Zabri Yusop, 64 tahun pula mempertikaikan projek tersebut yang disifatkannya mempunyai muslihat terhadap kependudukan golongan itu, sedangkan masih banyak tanah daratan terbuka untuk dibangunkan. - HARAKAHDAILY 16/3/2019
IMG 20190316 WA0014
IMG 20190316 WA0015
IMG 20190316 WA0017

No comments:

Post a Comment