BUKIT MERTAJAM: Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang, Norazman Ishak telah membuat tinjauan ke lokasi penemuan sisa buangan bahan kimia dalam ladang kelapa sawit di Bukit Teh, di sini semalam.
Pemerhatian bersama Ketua Penerangan Pemuda PAS Pulau Pinang, Ahmad Safuan Ujar itu mendapati sisa berkenaan masih belum dibersihkan sepenuhnya di mana tidak dilupuskan mengikut prosedur.
Penduduk tempatan mendakwa perkara tersebut telah lama berlaku dan menimbulkan kebimbangan, namun laporan yang dibuat kepada pihak berkuasa tidak diambil tindakan.
Hinggalah difahamkan, apabila berlakunya tragedi pencemaran kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang baru perkara berkenaan menjadi buah mulut hingga memaksa pihak berkaitan mengambil tindakan.
Oleh itu, para penduduk berharap pihak berkuasa segera memantau segala kemungkinan boleh berlaku, termasuk aktiviti kilang-kilang yang beroperasi di sekitar dengan meningkatkan kawalan yang lebih ketat.
Norazman dan Safuan ketika tinjauan tersebut turut menemui kawasan berhampiran yang dijadikan tempat pembuangan sampah sarap dan pelupusan plastik di mana giat beroperasi dipercayai secara haram.
Operasi dijalankan di situ disifatkan Norazman dan Safuan boleh memudaratkan alam sekitar dan kesihatan berikutan dijalankan dengan tidak mengikut piawaian sepatutnya ditepati.
Gesa Norazman, kerajaan mesti bertindak tegas terhadap kilang-kilang yang melanggar peraturan dengan menutup terus operasi kerana tidak mematuhi piawaian yang tetapkan.
Tegas beliau, kilang bertanggungjawab ke atas pencemaran yang berlaku disebabkan kecuaian mereka juga perlu menanggung sepenuhnya kos pembersihan terutama jika melibatkan penduduk.
“Diharap perkara yang berlaku di Sungai Kim Kim hingga menjejaskan keselamatan dan kesihatan penduduk dengan tindakan tidak beretika ini tidak berlaku di sini dan kita berharap tindakan tegas dikenakan kepada individu atau kilang-kilang yang melakukan pembuangan secara haram ini.
“Kerajaan perlu memastikan kilang-kilang yang beroperasi di setiap negeri menepati syarat-syarat dan peraturan yang ditetapkan terutamanya dalam pengurusan dan pelupusan sisa kimia,” desak beliau.
Beliau juga meminta Parlimen meminda Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 supaya hukuman lebih berat dikenakan ke atas pesalah yang melakukan pencemaran sisa kimia.
Usaha tersebut jelasnya amat perlu selaras dengan dasar dilancarkan Kerajaan Negeri menjadikan Pulau Pinang bersih dan mempunyai alam sekitar hijau dan mampan, serta selamat untuk didiami dan mempunyai masyarakat serta persekitaran yang sihat. - HARAKAHDAILY 21/3/2019
1 comment:
Tahniah PAS. Teruskan usaha.
Post a Comment