Penduduk terutama di Taman Kota Masai mendakwa, bau busuk dapat dihidu pada malam tadi dan pagi ini terutama dalam keadaan cuaca panas dan berangin.
Tinjauan Utusan Online di pekan Taman Kota Masai sebentar tadi mendapati, ramai penjaja kecil tidak meniaga dan penduduk menghadkan pergerakan malah ada yang berpindah sementara.
Di samping sekatan jalan raya dilakukan di beberapa jalan masuk utama ke pekan tersebut dipercayai sedang mengesan dalang yang melakukan pembuangan terbaharu itu.
Persoalan dalam kalangan penduduk timbul apabila mereka mula tertanya-tanya keadaan dan kualiti udara di kawasan itu yang dikategorikan zon merah sebelum ini adakah masih selamat?

Norizan Abd. Rashid, 55, dari taman tersebut mengakui bimbang dengan situasi terbaharu itu tetapi tidak berpindah kerana tiada kediaman sementara untuk dituju bersama-sama anaknya.
“Saya bukan orang senang, tidak tahu hendak pergi mana kalau keadaan makin buruk walaupun ramai penduduk di Taman Kota Masai sudah pulang ke kampung atau pergi ke tempat lain.
“Kami yang masih tinggal berharap usaha segera dilakukan bagi memulihkan keadaan. Keadaan di sini bertukar sunyi sepi dan seperti ‘pekan mat’,” katanya ketika ditemui.
Kelmarin tular dalam media sosial berkenaan penemuan tong-tong di Sungai Masai Utama dipercayai mengandungi bahan buangan toksik dan dibuang baru-baru ini.
Berikutan itu, Menteri Besar, Datuk Osman Sapian dalam satu kenyataan malam tadi mengarahkan Jabatan Alam Sekitar Johor (JAS) menyiasat kejadian tersebut dengan segera.
Belum reda dengan penemuan itu, petang semalam beberapa tong juga dipercayai berisi sisa buangan bahan toksik ditemukan dalam semak berhampiran Taman Tanjung Puteri Resort di sini.
Dua penemuan baharu itu adalah susulan daripada pencemaran toksik di Sungai Kim Kim di sini pada 7 Mac lalu yang mengakibatkan lebih 4,000 menjadi mangsa pencemaran tersebut.

Aina Afiqah Imran, 16, juga dari taman yang sama, tertanya-tanya adakah pencemaran terbaharu sudah berlaku dan dia sekeluarga kini menghadkan aktiviti di luar rumah.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Masai itu 2 itu memakai penutup mulut dan hidung semasa berada dalam rumah bagi mengelak daripada terkena mudarat pencemaran toksik.
“Bau busuk yang sangat kuat malam tadi, tidak pasti adakah berpunca daripada pembuangan toksik lama atau yang baharu di Sungai Masai Utama,” katanya. - UTUSAN ONLINE