Tuesday, March 19, 2019

Urus Tadbir PH Banyak Masalah -HKU PP



KEPALA  BATAS: Pemerintahan Kerajaan PH biarpun belum berusia setahun tetapi telah menghadirkan banyak masalah kepada kehidupan rakyat, malah menggugat asas serta tonggak penting negara ini.
Mesej tersebut disuarakan para NGO dan parti politik yang bersolidariti pada Himpunan Kebangkitan Ummah Pulau Pinang di Markas Tarbiah PAS Negeri, Pongsu Seribu, di sini kelmarin.
Timbalan Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Kamaruzzaman Mohamad berkata, kuasa ekonomi Melayu kini semakin tenat yang menuntut kesatuan menerusi kempen membeli barangan Muslim.
Tegasnya, PH hanya dapat dikalahkan menerusi penyatuan ummah, sementara umat Melayu-Islam di negeri ini perlu meningkatkan kesedaran politik antaranya menggiatkan daftar undi kerana kuasa undi dapat 'menghumban' PH.
Pengerusi Gagasan Tiga, Azwanddin Hamzah menyentuh isu layanan Kerajaan PH ke atas golongan LGBT di negara ini serta perolehan dana dari agensi asing iaitu ILGA yang berpusat di Washington.
Mewakili generasi muda, Ketua Pemuda Umno Bahagian Nibong Tebal, Mohd Norhiesam Ismail pula menyatakan, rakyat saban hari telah dihadapkan dengan pelbagai peristiwa sejak negara diperintah PH.
Beliau menyenaraikan banyaknya isu sedang melingkari rakyat ketika ini antaranya kemelut berkaitan Tabung Haji, penghinaan atas Rasulullah, rancangan meratifikasi ICERD, selain PTPTN, tol lebuh raya dan minyak.
Kehadiran lebih 4,000 penduduk pada majlis tersebut telah disifatkan oleh Pengerusi Sekretariat Kebangkitan Ummah Pulau Pinang, Bukhari Ghazali sebagai manifestasi arus kebangkitan.
Hadir sama pada himpunan julung kali ini adalah Pengerusi UMMAH Pulau Pinang, Mohd Akhir Che Mat dan Pengerusi Penang Front, Dato' Patrick Oii. - HARAKAHDAILY 19/3/2019 

HKU PP bawa mesej pelihara aman damai.
Himpunan Kebangkitan Ummah (HKU) Pulau Pinang tegas membawa mesej kehidupan aman damai buat semua kaum di negeri ini sungguhpun tujuan program tersebut mengembleng kesatuan umat Melayu-Islam.
Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusof berkata, masyarakat bukan Islam tetap hidup aman secara bersama di kawasan penempatan majoriti Melayu kerana akhlak budi dari Islam yang diamalkan.
Oleh itu nasihatnya, PH jangan memulakan api perkauman sempit yang dihasutkan ke atas kaum bukan Islam, sedangkan umat Islam sentiasa membawa kedamaian di mana ia perlu dipertahankan demi nikmat kesejahteraan dinikmati semua.
Beliau juga mengingatkan umat Melayu untuk bersatu dengan meletakkan Islam sebagai keutamaan di mana dengan titik penyatuan yang bersambungan akan mencipta kebangkitan dan kekuatan untuk berjaya serta menggerunkan musuh.
Peringatan seumpama turut dilontarkan Pengerusi Perhubungan Umno Pulau Pinang, Dato' Musa Sheikh Fadzir terutamanya terhadap DAP yang cuba membina tembok persepsi kepada kaum bukan Melayu mengenai hubungan PAS dan Umno.
Bidas beliau, DAP cuba untuk melemahkan kesatuan ummah tersebut bahkan bertindak menyebabkan pembentukan pelbagai parti orang Melayu bertujuan memecah belahkan kuasa politik kaum majoriti negara ini.
Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang, Ustaz Mohd Yusni Mat Piah pula mengajak hadirin mengimbau 29 tahun pemerintahan PAS di Kelantan di mana masyarakat bukan Islam dari kalangan kaum Cina, India dan Siam mengecapi keamanan hidup.
Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden dalam pidatonya menyentuh dua aspek yang menjadi tujuan manusia berpolitik iaitu berbentuk 'what' dan 'who'.
Jelas beliau, politik 'what' ialah perihal penegakan prinsip dan matlamat perjuangan, manakala politik 'who' ialah soal memenangkan nama, individu yang menjurus agenda dan kepentingan peribadi semata.
Terangnya, hal tersebut berbeza dengan perjuangan PAS yang berteraskan politik Islam yakni beriman dibimbing dan dibantu Allah dengan membawa matlamat kebaikan di dunia hinggalah kehidupan selepas kematian.

Ahli Parlimen Kepala Batas, Dato' Seri Rizal Merican Naina Merican melahirkan penghargaan atas dukungan PAS yang telah dibuktikan oleh sikap ahli-ahli PAS memberi wala' kepada pimpinan mereka untuk membantu Umno dalam beberapa PRK sebelum ini. 


No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails