Rabiatuladawiyah Ayub, 32, yang berpisah dengan suaminya sejak enam bulan lalu memilih reban ayam yang dibaiki dengan dinding zink terbuang sebagai kediaman mereka empat beranak kerana enggan membebankan ibunya yang juga hidup susah.
Reban tersebut tidak mempunyai dapur dan bilik tidur, selain hanya diterangi sebiji mentol yang disambung dari rumah ibunya. Reban itu tidak mempunyai lantai dan setiap malam, mereka berempat tidur beralas tikar.
“Saya juga mendapat bekalan air dari rumah ibu dan tidak dapat memasak kerana tiada dapur.
“Ibu saya juga pernah menjadi seorang ibu tunggal dan baru sahaja berkahwin semula. dua bulan lalu. Rumah dia yang kecil dan hanya ada satu bilik sahaja sememangnya tidak sesuai untuk kami tinggal di situ.
Rabiatuladawiyah berkata, kerana tidak mampu membeli beras dan barang dapur, anak-anaknya iaitu Wan Nurdhia Irdina Wan Rubuan, 7; Wan Mohd. Aniq Anaqi, 6, dan Wan Mohd Firas Irfan, 1, hanya makan nasi sekali sehari.
 Keadaan ruang dalam rumah Rabiatuladawiyah Ayub yang memilih reban ayam sebagai tempat tinggal di Kampung Banggol Tiga Daerah, Bukit Abal, Pasir Puteh, Kelantan.
“Saya tidak mampu memberi wang saku kepada Wan Nurdhia Irdina untuk dia belanja di sekolah. Sekarang saya guna wang sumbangan jiran untuk beli nasi sekali sehari untuk mengalas perut,” katanya.
Kisah keluarga ini mendapat perhatian gabungan 12 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diketuai Mohd. Asri Abdullah dan tular di media sosial baru-baru ini.
Menurut Mohd. Asri gabungan NGO tersebut bertekad untuk melaksanakan pelbagai pendekatan bagi membela nasib ibu tunggal berkenaan termasuk berusaha mendapatkan dana untuk membina rumah sempurna bagi menggantikan reban ayam terbabit
Sementara itu, Ketua Jajahan Pasir Puteh, Abd. Pattah Hasbullah berkata, kisah keluarga berkenaan juga mendapat perhatian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang telah menghulurkan bantuan segera bagi meringankan beban mereka.
 Mohd. Asri Abdullah menghulurkan sumbangan kepada ibu tunggal miskin di Kampung Banggol Tiga Daerah, Bukit Abal, Pasir Puteh, Kelantan.
“Kita sedang mengurus bantuan bulanan untuk anaknya sebanyak RM300 sebulan. Buat masa ini siasatan terperinci sedang dilakukan oleh pemimpin penduduk di kawasan tersebut,” katanya. - UTUSAN ONLINE
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Mari kita lihat dalam sejarah Islam, bagaimana Khalifah Umar Al-Khattab dan prihatinnya pada rakyat miskin.
Khalifah Umar Al-Khattab yang prihatin pada rakyat miskin. 

-Umar r.a adalah Khalifah yang kedua selepas Abu Bakar r.a.  Umar r.a menjadi Khalifah selama 10 tahun 6 bulan 4 hari.
- Mula-mula Umar r.a jadi khalifah dia buat undang-undang yang berbunyi "dari mana kamu dapat harta ini?"  Kerana dia tidak mahu rakyatnya, terutamanya gabenor-gabenor (menteri) memperolehi harta dari sumber yang haram.




Dia tidak mahu gabenor-gabenor yang dilantik mengumpulkan kekayaan. Sebagai contoh, jika seorang gabenor itu masa dilantik mempunyai 2 helai pakaian, maka setelah berhenti jawatan gabenor nanti pun mesti mempunyai 2 helai pakaian itu juga dan tidak lebih. Dan lebih baik lagi jika ada sehelai saja sewaktu berhenti (bermakna lebih kurang harta lebih bagus).  


- Ramai para sahabat , terutamanya yang menjadi gabenor seperti Abu Hurairah, Saad bin Abi Waqas, Muadz bin Jabal, Amru bin Al-As dan sebagainya, kena 'tarik harta' di zaman Umar memerintah ini. Harta-harta mereka digunakan untuk Islam dan membantu rakyat-rakyat yang miskin.

Khalifah Umar Al-Khattab r.a tidak akan makan daging sehingga semua rakyat miskin di bawah pemerintahannya makan terlebih dahulu.  Ini baru namanya 'pemimpin mendahulukan rakyat' 

- Umar r.a yang mula memberikan duit kepada bayi yang baru lahir.

- Umar r.a tiada istana atau rumah besar seperti layaknya seorang pemimpin zaman sekarang. Beliau tidak kisah hanya tidur di bawah pokok kurma di siang hari untuk berehat, tanpa perlu katil-katil yang nyenyak.


- Beliau merupakan orang pertama yang menetapkan kalendar Hijriyyah / Hijrah.



- Beliau yang mula-mula perintahkan agar masjid-masjid di bulan Ramadhan, waktu malamnya semua buka lampu, agar orang ramai dapat qiamullail di masjid.

- Cukai hanya dikenakan kepada rakyat yang kaya dan mewah, dan tidak dikenakan kepada mereka-mereka yang miskin.

- Memberikan sumbangan kepada orang-orang yang hafaz AlQuran.

- Sayyidina Umar r.a membuat pembangunan juga, tetapi pembangunannya bukan untuk kepentingan diri dan kroni, tetapi semata-mata untuk kemaslahatan rakyat.  

- Antara yang dibina oleh Umar r.a ialah taliair, jalanraya, empangan, mengadakan matawang sendiri yang dibuat dari logam, mewujudkan sistem pos, menyusun Undang-undang tanah negara, menubuhkan pasukan polis (untuk menjaga keselamatan dan ketenteraman awam, serta membantu rakyat yang miskin termasuk mereka yang bukan Islam) dan tentera laut dan sebagainya.

-Umar r.a tidak membahagikan harta Ghanimah (rampasan perang) kepada tentera seperti yang dilakukan dalam zaman Rasulullah S.a.w. Ini kerana Umar r.a lebih mementingkan maslahah untuk umum, bukan untuk puak atau kroni tertentu.  Lagi pun tentera-tentera Umar r.a sudah pun diberikan gaji yang tetap. Ia berbeza dengan keadaan di zaman Rasulullah S.a.w kerana waktu itu, keadaan orang Muhajirin yang rata-ratanya miskin kerana dihalau sebelum itu, perlu diperbaiki.

-Krisis itu masih melanda Madinah. Korban sudah banyak berjatuhan. Jumlah orang-orang miskin terus bertambah. Khalifah Umar Bin Al-Khattab yang merasa paling bertanggung jawab terhadap musibah itu, memerintahkan menyembelih haiwan ternakan untuk dibahagi-bahagikan kepada penduduk.

-Ketika tiba waktu makan, para petugas memilih untuk Umar bahagian yang menjadi kegemarannya, iaitu bonggol dan hati unta. Ini merupakan kegemaran Umar sebelum masuk islam. "Dari mana ini?"  Tanya Umar.
"Dari haiwan yang baru disembelih hari ini," jawab mereka.
"Tidak! Tidak!" Kata Umar seraya menjauhkan hidangan lazat itu dari hadapannya. "Saya akan menjadi pemimpin paling buruk seandainya saya memakan daging lazat ini dan meninggalkan tulang-tulangnya untuk rakyat."

-Kemudian Umar menyuruh salah seorang sahabatnya, "Angkatlah makanan ini, dan ambilkan saya roti dan minyak biasa!" Beberapa ketika kemudian, Umar menyantap yang dimintanya. [Petikan dari buku Ar-Rijal Haula Ar-Rasul oleh Khalid Muhammad Khalid]

-Umar r.a pernah melawat pegawai-pegawainya di Syria, dan kemudian Yazid Bin Abi Sufyan menjemputnya datang ke rumah, ketika Umar r.a memasuki rumah lalu dilihatnya penuh dengan hiasan dinding bergantungan. Umar r.a mula mengambilnya sambil berkata,  "barang-barang ini boleh digunakan oleh rakyat jelata untuk melindungi diri mereka dari kesejukan dan panas." [Al-Wilayah ‘ala al-Buldan, 2/128]

-Pakaian Umar r.a tidak pernah berubah dari sebelum menjadi Khalifah hingga menjadi Khalifah dan sehingga wafat. Beliau hanya memakai pakaian dari kain yang kasar dan bertampal-tampal pada tempat yang koyak sehingga berbelas tampalan kesemuanya.

Keprihatinan Umar r.a terhadap rakyat miskin inilah yang diulangi dan digemilangkan kembali oleh Khalifah Umar bin A al-Aziz. Masya Allah ....... 

Sekian, secara ringkas.