Monday, April 15, 2019

Ini, Amy Searchj Jadi ‘pengamen’ Atau Pemuzik Jalanan Di Jakarta.


HALAMAN HIBURAN

PENYANYI rock terkenal Amy Search membuat kejutan kepada peminatnya di negara jiran apabila tampil menyanyi di stesen MRT Bundaran HI, Jakarta Pusat, petang kelmarin.
Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, 60, berpakaian seperti ‘pengamen’ atau pemuzik jalanan dengan memakai jambang dan misai palsu.
Pada awalnya peminat menyaksikan persembahan itu tidak menyedari kehadirannya hinggalah dia memperkenalkan diri.

Pada persembahan itu, Amy turut menyanyikan lagu popular Isabella.
“Saya rasa sangat terharu kerana lagu ini masih diingati hingga ke hari ini dan tidak pernah luput. Tidak dinafikan impak lagu Isabella sangat besar dalam kerjaya saya dan Search.
“Isabella adalah lagu yang saya anggap menjadi lambang cinta dua negara antara Malaysia dan Indonesia yang teguh hingga kini.
“Teguhnya hubungan itu seperti mana kuatnya lagu ini hingga diterima ramai malah negara kita dan Indonesia juga bagaikan bersaudara,” katanya.
Berkongsi aksi penyamaran itu, Amy tidak menyangka ramai terkejut.
“Saya memang tidak sangka ramai terkejut malah ada yang teruja. Mereka turut mengambil kesempatan mendekati saya.
“Sebenarnya penyamaran itu sebahagian daripada rancangan mempromosikan MRT Jakarta yang dilancarkan sejak minggu lalu kepada masyarakat awam di sana,” katanya.
Amy berkata, kehadirannya di Jakarta bagi menghadiri program pelancaran kolaborasi Instagrammers Indonesia-Malaysia.
“Alang-alang berada di Jakarta saya berbesar hati dijemput sebagai artis pertama membuat persembahan di MRT Jakarta,” katanya.
Amy turut menghiburkan pengguna dalam MRT dan kehadirannya mendapat maklum balas luar biasa.
Amy menjadi artis pertama mengadakan persembahan busking di MRT, mercu baharu pengangkutan Jakarta yang mula beroperasi secara rasmi pada 24 Mac lalu. (MyMetro)

Video: 

Amy Search busking di MRT Jakarta

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails