ISU kuota matrikulasi sebenarnya hanya bermula dari satu isu mudah yang membabitkan seorang individu sahaja, iaitu seorang pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia 2018 (SPM) berbangsa India yang mendapat 10A namun tidak berjaya mendapat tempat di matrikulasi.
Begitupun, isu ini telah dimainkan sebegitu rupa oleh pemimpin DAP yang mahu kerajaan menamatkan amalan mengutamakan pelajar Bumiputera dengan mendakwa ia adalah bertentangan dengan jaminan mengenai tiada diskriminasi dalam Perlembagaan Persekutuan.
Desakan pemimpin DAP ini bercanggah dengan Perjanjian dan Manifesto Pakatan Harapan (PH) yang mahu mempertahankan Perkara 153 yang melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain.
Tidak logik jika pemimpin DAP ini naif dalam memahami Perlembagaan Persekutuan kerana ramai pakar undang-undang menyebut bahawa diskriminasi dalam bentuk kuota pendidikan ini adalah satu bentuk diskriminasi yang dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan.
Bukan setakat pemberian kuota ini dibenarkan dalam Perkara 153 (2), malah, mengikut Perkara 153 (8A), perizaban tempat pengajian ini turut boleh diluaskan ke mana-mana universiti, kolej dan institusi pendidikan lain yang memberikan pendidikan selepas MCE.
Isu ini dikira selesai bila Mesyuarat Jemaah Menteri pada 24 April 2019 memutuskan untuk menambah bilangan kemasukan pelajar matrikulasi kepada 40 ribu tempat, berbanding 25,000 sebelum ini dengan mengekalkan kuota 90 peratus Bumiputera dan 10 peratus bukan Bumiputera.
Bagaimanapun, sebaik sahaja keputusan ini diumumkan terus sahaja seorang pemimpin tinggi DAP membidasnya dengan menyebut beliau dan penyokong-penyokong bukan Melayu PH kecewa kerana Kabinet tidak bersedia untuk mengambil keputusan yang berani.
Keadaan menjadi lebih buruk bila Ketua Umum PH yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, Dato' Seri Anwar Ibrahim, yang tidak berada dalam Kabinet, walaupun memberi jaminan tidak akan campur tangan, menyebut keputusan ini adalah langkah sementara sahaja.
Menyusuli kenyataan Dato' Seri Anwar ini adalah kenyataan media bersama 20 pemimpin DAP, sebahagiannya adalah Ahli Jawatankuasa Pusat, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri DAP, yang menyatakan rasa tidak puas hati dengan keputusan ini.
Kata mereka, jika keputusan ini mahu dilaksanakan maka, dalam jangka masa pendek, mereka mahu Kabinet mengarahkan Unit Pusat Universiti (UPU) untuk menggunapakai kaedah pengambilan nisbah iaitu 50 peratus pelajar matrikulasi dan 50 peratus pelajar STPM.
Dalam jangka masa panjang pula, mereka mahu Kabinet secara beransur-ansur menggantikan peperiksaan program matrikulasi dengan peperiksaan STPM yang diiktiraf dan diterima seluruh dunia kerana kredibiliti dan tahap akademik STPM didakwa cukup tinggi.
Inilah antara masalah PH sekarang: Keputusan Kabinet boleh tidak dihormati menjadikan timbul keraguan ke atas kebolehlaksanaan keputusan ini manakala DAP pula, walau mungkin bersetuju dalam Kabinet, menggunakan saluran luar Kabinet untuk terus menekan.
Kenapa agaknya seperti susah sangat untuk DAP mengawal pemimpin mereka? - HARAKAHDAILY 26/4/2019
No comments:
Post a Comment