KHAMIS lalu saya hubungi seorang sahabat lama (warga kerja Mahkamah Syariah Brunei Darussalam). Saya tanya khabar mengenai dirinya serta perkembangan terkini mahkamah tempat dia bertugas, dan mengenai pelaksanaan undang-undang jenayah Islamnya baharu yang kini menjadi sasaran serangan oleh puak-puak pro LGBT. Beliau menjawab segalanya berjalan dengan baik.
Beliau ambil maklum bahawa Michelle Bachelet (seorang pesuruhjaya tinggi hak asasi manusia PBB) mahu Brunei menghentikan pelaksaan hukuman rejam ke atas puak LGBT.
Beliau juga tahu tentang pendirian Human Rights Campaign (sebuah NGO Barat) yang menuduh kerajaan Brunei bertindak “tidak bertamadun dengan menjadikan golongan LGBT sebagai sasaran”.
Semua kritikan itu tidak melemahkan semangat kerajaannya meneruskan langkahnya melaksanakan undang-undang jenayah syariah di negara itu.
Beliau juga tahu bahawa ada beberapa artis Barat yang menentang undang-undang itu, termasuklah George Clooney. Pelakon Hollywood ini menyeru orang ramai memboikot sembilan hotel milik keluarga diraja Brunei, termasuklah Hotel Beverly Hills dan Hotel Bel-Air (kedua-duanya di Los Angeles).
Tujuh hotel lain adalah The Dorchester (London), 45 Park Lane (London), Coworth Park (Ascot, UK), Le Meurice (Paris), Hotel Plaza Athenee (Paris), Hotel Eden (Rome) dan Hotel Principi (Savoia, Milan).
Bagaimanapun, Clooney segera dibidas pelbagai pihak lain yang menyifatkannya sebagai “seorang hipokrit” kerana tidak membuat saranan sama terhadap Arab Saudi yang turut melaksanakan undang-undang jenayah syariah.
Antara celebrity lain yang menyokong Clooney adalah pemuzik Elton John, yang orang ramai tahu adalah seorang homoseksual.
Soalnya kenapakah Clooney, artis-artis lain serta NGO antarabangsa begitu berminat menyerang Brunei tetapi sunyi sepi, terkunci mulut dan tidak berani menentang keganasan puak zionis Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza?
Kenapa tidak bantah tindakan Israel menduduki secara haram lebih 85 % tanah asal penduduk Palestin?
Akhbar Daily Telegraph menyatakan bahawa tindakan memboikot hotel milik Sultan Brunei seperti yang disaran oleh Clooney itu tidak akan memberi apa-apa kesan.
Mengikut akhbar itu, sebagai salah seorang individu terkaya dunia, baginda sultan boleh “dengan mudah menangani masalah ini”.
Pada Oktober 2013 lalu, Sultan Brunei mengisytiharkan hasrat baginda melaksanakan undang-undang jenayah syariah di negaranya. Selaras dengan perisytiharan itu, Perintah Kanun Jenayah Syariah 2013 (PKJS) diluluskan.
Undang-undang baru ini mengandungi 254 seksyen, dimuatkan dalam 5 Bahagian (iaitu Bahagian I hingga V) dan lima Jadual.
Dalam Bahagian I (Preliminary), terdapat peruntukan mengenai tafsiran, pemakaian dan kriteria seorang Muslim. Dalam Bahagian II (Exceptions) terdapat peruntukan mengenai, antara lain, kanak-kanak, orang tidak siuman, hak membela diri, manakala dalam Bahagian III (Abetment) terdapat peruntukan mengenai subahat, niat bersama.
Yang penting sekali adalah Bahagian IV Bab I, yang menghuraikan pelbagai kesalahan berat seperti sariqah, hirabah, zina, zina bil-jabar, liwat, qazaf, mengambil minuman yang memabukkan, dan irtidad.
Hukuman bagi kesalahan zina disebutkan dalam Seksyen 69, iaitu setelah tertuduh disabitkan oleh mahkamah.
Sabitan akan hanya dibuat oleh mahkamah sekiranya ada ikrar (pengakuan) oleh tertuduh sendiri, atau ada keterangan daripada sekurang-kurangnya empat syahid mengikut hukum syarak selepas mahkamah puas hati kehendak tazkiyah al syuhud.
Jika tertuduh yang disabitkan itu muhshan, hukumannya adalah rejam sehingga mati; andainya tertuduh bukan muhshan, hukumannya adalah 100 kali sebat dan penjara satu tahun.
Hukuman bagi kesalahan liwat adalah sama bagi kesalahan zina (Seksyen 82), dan kesalahan liwat ini juga perlu dibuktikan sama seperti kesalahan zina (Seksyen 83). Di bawah Seksyen 86, ikrar zina dan ikrar liwat boleh ditarik balik oleh tertuduh.
Hukuman bagi kesalahan musahaqah (hubungan seks antara wanita) disebutkan dalam Seksyen 96, iaitu denda sehingga B$40,000, penjara 10 tahun, 40 sebat atau kombinasi mana-mana dua hukuman itu.
Pelaksanaan undang-undang baru ini secara berperingkat-peringkat ditekankan oleh Sultan Brunei sejak awal lagi.
Sewaktu baginda bertitah di majlis Deklarasi Perintah Kanun Keseksaan Jenayah Syariah 2013 Fasa Satu di Pusat Konvensyen Antarabangsa, Bandar Seri Bagawan pada 30 April, 2014, baginda menyatakan “Beta reda dengan takdir dan bersyukur kepada Allah untuk mengumuman bahawa esok, Khamis 1 Mei 2014 akan menyaksikan penguatkuasaan undang-undang syariah fasa satu yang akan diikuti fasa-fasa berikutnya”.
Baginda menambah “Ingatlah fokus kita hanyalah kepada Allah jua, untuk mencari reda-Nya… bukan melihat ke kiri dan ke kanan untuk mencari-cari siapa yang suka atau tidak”
Dalam fasa satu, hanya kesalahan di bawah Bahagaian IV Bab IV (Kesalahan Am) dilaksanakan.
Antara kesalahan di bawah bahagian ini adalah enggan melakukan solat Jumaat, tidak menghormati bulan Ramadan, khalwat, berkelakuan kurang sopan, menuduh orang Islam itu kafir, menghina Nabi, enggan bayar zakat dan sebagainya, yang kesemuanya membawa hukuman ta ‘zir (denda dan penjara).
Dalam fasa dua pula, hukuman yang akan dikenakan adalah bagi kesalahan yang lebih serius seperti dinyatakan dalam Bahagian IV, Bab I (sudah dihuraikan di atas tadi), II (qatl dan menyebabkan kecederaan) dan III (menarik balik syahadah), iaitu hukuman hadd dan qisas, tetapi tidak melibatkan hukuman mati.
Dalam fasa tiga, iaitu selepas 24 bulan undang-undang ini diperkenalkan, Perintah Kanun Jenayah Syariah 2013 akan dilaksana sepenuhnya, termasuklah hukuman mati.
Pada 17 Disember 2015 lalu, Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali Brunei, Dr. Norarfan Zainal berkata bahawa seluruh rakyat negara itu menerima baik pelaksanaan hukum hudud sejak ia dilaksanakan pada Mei 2014.
“Namun setakat ini (Disember 2015), belum ada mana-mana rakyat Islam Brunei yang dikenakan dan menjalani hukuman hudud,” tambahnya lagi.
Pada 3 April 2019 lalu, Brunei mengumumkan hukuman rejam sampai mati akan dikenakan bagi kesalahan homoseksual (hubungan seks sejenis).
Hukuman inilah yang ditentang hebat kumpulan LBGT sebagai bertentangan dengan hak asasi manusia.
DATUK SALLEH BUANG ialah dan bekas Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor. (Utusan)
Amnesty International menggesa Brunei ‘menghentikan segera’ pelaksanaan hukuman rejam sampai mati terhadap pesalah zina dan hubungan sejenis.
Brunei akan rejam hingga mati pesalah zina, gay
KUALA LUMPUR: Pesalah zina dan hubungan sejenis di Brunei akan direjam hingga mati mulai minggu depan, di bawah undang-undang syariah yang ditangguh selama 4 tahun kerana mendapat kritikan hebat, kata pihak berkuasa.
Negara kesultanan kecil itu akan melaksanakan kanun keseksaan baru yang tegas, yang turut menetapkan hukuman potong tangan dan kaki bagi kesalahan mencuri mulai Rabu depan.
Homoseksual dilarang di Brunei tetapi kini akan menjadi kesalahan yang membawa hukuman mati. Undang-undang itu hanya terpakai kepada orang Islam.
Penalti baru bagi kesalahan mencuri adalah potong tangan kanan untuk kesalahan pertama, dan kaki kiri bagi kesalahan ke-2.
Amnesty International pada Rabu menggesa Brunei “menghentikan segera” pelaksanaan hukuman baru itu.
“Untuk menghalalkan hukuman kejam dan tidak berperikemanusiaan ini amat mengejutkan,” kata penyelidik Brunei, Rachel Chhoa-Howard dalam satu kenyataan.
Satu notis terhadap Jabatan Peguam Negara bertarikh 29 Disember tahun lepas berkata pelaksanaan hukuman itu akan berkuatkuasa pada 3 April.
Brunei pertama kali mengumumkan langkah itu pada 2013 tetapi pelaksanaannya ditangguhkan kerana para pegawai mengkaji amalan tersebut dan mendapat kritikan daripada kumpulan hak asasi manusia.
Bagaimanapun, jurucakap Kementerian Hal Ehwal Agama Brunei pada Rabu berkata hanya Sultan Hassanal Bolkiah dijangka membuat pengumuman pada 3 April mengenai pelaksanaan undang-undang syariah yang baru tersebut. (FMT)
1 comment:
Apakah hukum Jahiliah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin?
Apabila dikatakan kepada mereka: "Marilah kamu (tunduk) kepada hukum yang Allah telah turunkan dan kepada hukum Rasul", niscaya kamu lihat orang-orang munafik menghalangi (manusia) dengan sekuat-kuatnya dari (mendekati) kamu.
rejam sebat jangan takut nak buat
biarkan anjing menyalak bukit takkan runtoh
kapir murtad munapik kuat menentang
Post a Comment