Press TV melaporkan, Netanyahu menerusi satu temu bual menyatakan beliau ‘tidak berasa malu’ untuk meluaskan jajahan Zionis di Tebing Barat yang ketika ini semakin dipenuhi dengan penduduk Yahudi.
Tindakan itu dilihat sama seperti Israel menjajah sepenuhnya Bukit Golan yang terletak dalam wilayah Syria dan timur Baitulmuqaddis.
“Siapa kata kita tidak akan melakukannya? Langkah itu (meluaskan jajahan) sedang dirancang dan kami giat me­lakukan banyak perbincangan.
“Anda tanya adakah kami akan mengambil langkah yang seterusnya? Jawapannya adalah ya, kami akan bergerak ke langkah seterusnya. Saya tidak membezakan blok penempatan dengan blok penempatan terpencil,” katanya.
Netanyahu mengeluarkan kenyataan itu tiga hari sebelum pilihan raya Israel yang dijangka berlangsung pada 9 April ini dan beliau mengharapkan penduduk akan memilihnya untuk menjadi Perdana Menteri Israel sekali lagi.
Beliau juga menegaskan Israel tidak akan ‘mengeluarkan walaupun seorang penduduk­nya’ dari Tebing Barat.
Kenyataan itu adalah reaksi Netanyahu terhadap pelan run­dingan damai yang dilakukan oleh Amerika Syarikat (AS).
Washington dijangka mendedahkan butiran rundingan tersebut pada minggu depan selepas Israel mengadakan pilihan raya.

PALESTIN SEMAKIN LENYAP
Dalam pada itu, Nabil Abu Rudeineh yang juga jurucakap Presiden Palestin, Mahmoud Abbas memaklumkan ranca­ngan Netanyahu itu tidak akan ‘memberi kesan’ terhadap pembinaan penempatan haram Israel di Tebing Barat yang kini dianggarkan mempunyai seba­nyak 400,000 unit kediaman.
Seperti dilaporkan agensi berita Wafa, beliau berkata, sebarang langkah atau pengumuman yang dibuat tidak akan mengubah apa-apa fakta dan penduduk Palestin semakin kehilangan tanah mereka.
Kenyataan Nabil dibuktikan apabila pihak berkuasa Israel semalam meluluskan pembinaan 770 unit kediaman haram baharu di Baitulaham, Tebing Barat.
Kelulusan itu dibuat dalam tempoh beberapa hari selepas Israel meluluskan satu lagi projek pembinaan kediaman haram berhampiran Maksad.

PENGAKUAN TRUMP
Dalam per­kembangan ber­kaitan, Pre­siden AS, Donald Trump mendedahkan persetujuannya untuk mengiktiraf jajahan Israel di Bukit Golan dibuat selepas beliau dimaklumkan mengenai ‘sejarah kawasan itu’.
Jelas Trump, beliau membuat keputusan berkenaan ketika mengadakan perbincangan de­ngan para penasihat rundingan damai Asia Barat termasuk Duta AS ke Israel, David Friedman dan menantunya, Jared Kushner.
Dalam kunjungan ke White House bulan lalu, Netanyahu diberikan proklamasi oleh Trump yang secara rasmi jaminan Washington mengiktiraf Bukit Golan sebagai milik Israel.

AFRIKA SELATAN BERTINDAK 'turunkan tahap hubungan'
Sementara itu, Afrika Selatan ‘menurunkan tahap hubungan’ dengan Israel apabila menukarkan pejabat misi diplomatiknya kepada pejabat perhubungan, selain tidak menghantar Duta baharu ke Tel Aviv.
Perkara itu diumumkan oleh Menteri Hal Ehwal Antarabangsa dan Kerjasamanya, Lindiwe Sisulu sebagai protes terhadap tindakan rejim Zionis di Gaza. (Utusan)