Terap teknik dakwah dekati golongan LGBT
PERRMATANG PAUH: Golongan LGBT antara kumpulan masyarakat harus didekati dan dibimbing ke jalan hidayah sebagaimana dakwah disampaikan kepada golongan lain.
Demikian mesej dari penganjuran forum "LGBT: Ancaman kepada akidah Islam" anjuran bersama Lajnah Dakwah PAS Pulau Pinang dan Muslimat PAS di Masjid Seberang Jaya, di sini kelmarin.
Pengerusi Persatuan Insaf Pahang, Mohamed Bakri Abu Bakar selaku ahli panel mengakui, memang sukar mendekati mereka ini yang begitu sensitif terutama terhadap cacian berkenaan imej diri.
Pun demikian serunya, perbezaan golongan itu dari anggota masyarakat lain tidak harus menjadi penafian untuk dilaksanakan tanggungjawab dakwah secara berhikmah dan menyantuni.
Beliau turut menekankan kepentingan peranan institusi keluarga dalam pembentukan anak-anak dan mengesan masalah luar biasa yang ada sedari usia mereka masih muda untuk pembetulan.
Tegasnya, kepincangan institusi keluarga menyebabkan anak-anak mencari kasih sayang di luar lingkungan anggota keluarga dan berkongsi masalah diri bersama pihak lain.
Pengarah Pembangunan Mahasiswa Luar Negara Pemuda PAS Malaysia, Prof Madya Dr Muhammad Ibrahim pula berkongsi pendekatan ilmu dalam menangani isu golongan berkenaan.
Serunya, pendakwah mesti menggunakan pendekatan 'reach out community' kerana golongan tersebut juga perlu dipimpin, sedangkan dakwah rutin di masjid melibatkan golongan sedia baik.
Kemukanya, antara pengalaman beliau bersama sahabat lain adalah mewujudkan kelas al-Quran, solat fardu dan kem ibadah yang menjadi perubatan holistik membawa mereka kembali ke pangkal jalan.
Golongan tersebut katanya, turut dilatih dengan kursus jenazah bertujuan menguruskan jenazah maknyah memandangkan sering kali timbul polemik untuk menanganinya apabila berlaku kematian.
Begitu juga ujarnya, golongan ini turut ditugaskan dengan kajian berkaitan penyakit merbahaya dan diminta mengadakan pembentangan mengenainya demi manfaat dan kesedaran sesama mereka.
Ketika sama maklum Dr Muhammad, kebajikan golongan tersebut turut dijaga menerusi pemeriksaan kesihatan memandangkan mereka sentiasa dalam risiko penyakit berjangkit.
Beliau turut menyeru masyarakat untuk menawarkan peluang pekerjaan halal kepada golongan tersebut supaya mereka dapat membebaskan diri dari 'lorong-lorong', sekali gus mengatasi masalah.
Mengakui cabaran, pensyarah muda ini mengajak pendakwah mendekati golongan tersebut dengan ikhlas, sabar dan istiqamah, selain menaja umrah sebagai usaha memandu mereka ke jalan hidayah.
Moderator forum, Dr Norazlina Zakaria pula mengaitkan kepentingan menyelamatkan golongan ini dari terikut perjuangan kebebasan tanpa batas yang dibawa golongan fikrah Liberal. - HARAKAHDAILY 28/4/2019
No comments:
Post a Comment