JAKARTA 15 April - Menjelang tarikh pembuangan undi pada 17 April ini, lembaga kajian Australia, Institut Lowy menyifatkan pemilihan umum (Pemilu) di Indonesia adalah paling rumit dan menakjubkan di dunia kerana skalanya yang besar dan dijalankan dalam tempoh sehari sahaja.
Lapor BBC, jumlah pengundi di negara ini adalah sebanyak 193 juta pada tahun ini dan merupakan paling terbesar di dunia.
Jumlah berkenaan bertambah sebanyak 2.4 juta orang berbanding Pemilu pada 2014.
Pembuangan undi akan dilaksanakan di 809,500 pusat pengundian di mana setiap pusat boleh memuatkan sekitar 200 hingga 300 orang ketika hari pengundian.
Pada Pemilu 2014, jumlah pusat pengundian ketika itu adalah sebanyak 500,000 dan setiap pusat mempunyai 400 pengundi.
Sementara itu, jumlah calon legislatif (caleg) yang bersaing adalah sebanyak 245,000 orang bagi merebut 20,500 kerusi di 34 wilayah dan 500 daerah perbandaran.
Pada hari pengundian, para pengundi akan mendapat lima kertas undi dengan warna yang berbeza.
Pada Pemilu legislatif, sebanyak 575 anggota legislatif akan dipilih daripada 16 parti yang bertanding.
Selain itu, Pemilu akan dikelolakan oleh enam juta petugas Komisi Pemilihan Umum (KPU).
Dalam pada itu, satu perkara yang dianggap unik oleh Institut Lowy adalah penggunaan paku secara manual untuk membuang undi atau membuat lubang pada kertas undi.
Di beberapa negara, Pemilu dilakukan dengan menggunakan peralatan elektronik atau alat tulis seperti pen.
Malahan, pengiraan undi juga dilakukan secara manual.
“Mungkin Indonesia merupakan satu-satunya negara di dunia yang pengiraan undinya hanya boleh diketahui selepas 30 hari,” kata pensyarah di jabatan sains politik di Universiti Indonesia, Sri Budhi Eko Wardhani. - AGENSI
No comments:
Post a Comment