Monday, April 22, 2019

Pakar akui kelebihan puasa kepada jasad manusia

 

KELEBIHAN puasa kepada jasad manusia diakui oleh ramai pakar perubatan Islam dan bukan Islam.  Menurut pakar, puasa dapat mengawal kesihatan, mencegah penyakit serta menyembuhkannya.

Kelebihan ini berlaku apabila individu itu berpuasa kerana bahan bahan yang mengundang penyakit tidak memasuki tubuh badan. Demikian itu kerana hampir keseluruhan bahan ini wujud dalam makanan.

Selain itu, ada penyakit yang berpunca daripada makanan yang berlebihan, tidak teratur dan menyebabkan keracunan atau bahan berisiko seperti lemak, gula, kolestrol dan lain-lain dalam anggota badan.

Bahan-bahan ini berisiko mengundang penyakit seperti sakit jantung, tekanan darah tinggi, kencing manis, sakit buat pinggang, berat badan yang berlebihan dan lain lain.

Apabila bahan ini berhenti daripada memasuki tubuh badan, ia memberikan peluang kepada sistem dalam badan bagi memperbaik sel yang rosak serta menyembuhkan.

Selama 11 bulan dalam setahun kita sentiasa mengisi perut kita dengan makanan. Makanan ini masuk ke dalam perut mengikut waktu ataupun mengikut hawa nafsu yang tidak menentu.

Apabila kita makan, antara organ yang tidak pernah berhenti berehat ialah perut, hati, limpa dan sebagainya. Anggota badan tersebut menerima dan memproses makanan bagi membekalkan tenaga kepada badan.

Malangnya organ ini disalahgunakan bagi memenuhi tuntutan nafsu makan. Apabila organ ini tidak mendapat rehat yang secukupnya, keupayaan sistem penghadamannya semakin menurun.

Oleh itu, Allah SWT memperuntukkan dalam setahun, hanya satu bulan dipilih bagi merehatkan sistem badan ini. la bagi merehatkan sistem ini dan mengembalikan kekuatannya.

Selain itu, ia juga dapat mengawal tekanan darah dan merehatkan pergerakan jantung, usus dan sebagainya serta memulihkan kecergasannya.

Hasilnya memberangsangkan setiap kali menjelang waktu berbuka dan selepas raya. Bapa ilmu perubatan moden, Ibn Sina menjadikan puasa salah satu kaedah rawatan bagi penyakit tertentu.

Antara kaedah itu adalah dengan meminta pesakit supaya berpuasa selama tiga minggu. Kaedah rawatan ini diikuti oleh beberapa orang tokoh perubatan Barat seperti Dr. Allan Cott dari Amerika bagi penghidap kencing manis dan lain-lain. Beliau menegaskan:

“Islam ialah agama terbaik kerana mewajibkan puasa dan menjaga kesihatan. Muhammad yang membawa ajaran ini membawa ajaran yang baik dengan menganjurkan supaya mengawal sebelum sakit melalui puasa dan sembahyang selepasnya. Ada pesakit yang saya nasihatkan supaya mencontohi orang Islam supaya berpuasa bukan kerana ibadat tetapi kerana rawatan. Ia menunjukkan kesan yang menyembuhkan.” (Allan Cott, Fasting as a Way of Life, 1975)

Ini ialah pengakuan pakar perubatan bukan Islam mengenai puasa. Kelebihan ini berlaku dengan syarat individu itu berpuasa dan menjaga adab ketika berbuka puasa. – HARAKAHDAILY 21/4/2021

No comments:

Post a Comment