Provokasi Syariat: Apa tindakan selepas JAIS siasat?
PELUNCURAN buku yang mencetuskan kecaman dan kemarahan ramai oleh penulis Unveiling Choice, Maryam Lee telah diwacanakan dalam satu forum ‘Malay Woman and Dehijabbing’ membuka mata tentang sejauh manakah Kerajaan serius menangani tindakan golongan yang ekstrem melakukan provokasi terhadap syariat Islam.
Dalam tulisannya, penulis telah menguar-uarkan harapannya agar wanita Islam mendapat keberanian untuk berhadapan dengan ‘paksaan’ bertudung, tanpa penulis mampu menukilkan fakta jumlah kes sebenar dan tepat tentang wanita Malaysia mahupun luar Malaysia yang bertudung kerana dipaksa. Menyebut andaian tanpa fakta sememangnya mudah.
Selain itu, penulis jelas mempersoalkan perintah Allah dalam syariat Islam yang mengambil berat tentang maruah dan keselamatan wanita, lalu diterjemahkan perlindungan itu melalui syariat menjaga aurat, malah lelaki juga mempunyai aurat yang wajib dijaga bukan hanya wanita.
Penulis malah menjadikan kata-kata Amina Wadud sebagai sandaran apabila menyebut sebaik-baik pakaian adalah ‘khairul takwa’, mencerminkan salah faham, salah tanggap dan stereotaip terhadap Islam.
Salah faham ini nampaknya disokong Latheefa Koya yang mengaitkan ayat Al-Quran “La ikraaha fiddin”, tiada paksaan dalam Islam dengan kewajipan menutup aurat. Sedangkan tafsiran ayat tersebut telah diketahui merujuk kepada tiada paksaan dalam memeluk agama Islam.
Namun apabila seseorang itu telah memilih Islam sebagai agamanya, maka sudah pasti dia terikat dengan peraturan-peraturan Islam. Sama seperti warganegara Malaysia yang terikat dengan semua undang-undang negara ini tanpa boleh mengatakan “tiada paksaan dalam mematuhi undang-undang negara”.
Sewajarnya penulisan ini harus diambil tindakan di bawah Perkara 7 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301) di bawah kuasa Menteri kerana jelas tindakan penulis ini dianggap sebagai perbuatan yang tidak disenangi dan menggemparkan fikiran orang ramai.
Saya sedia maklum akan tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa meminta Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) membuat siasatan terhadap perkara ini.
Namun keprihatinan saya adalah tentang “Apa selepas siasatan tersebut?” Apakah tindakan Menteri Dalam Negeri terhadap cetakan buku tersebut? Asasnya, rakyat mempersoalkan keseriusan Kerajaan menangani insiden seperti ini atau sekadar mengambil tindakan untuk meredakan ‘mood’ orang ramai.
Kerajaan perlu dilihat serius dan komited untuk menjaga rakyat. Rakyat bersuara dan menzahirkan keresahan kerana Kerajaan gagal dilihat berperanan adil, bijak dan pantas dalam menangani kontroversi yang mencabar amalan majoriti rakyat Muslim, sedangkan Islam adalah agama persekutuan seperti termaktub dalam Perlembagaan.
Apatah lagi, rakyat turut terbawa sensiviti berhubung tindakan-tindakan Kerajaan kebelakangan ini yang dibuat tanpa mengambil kira pandangan pemegang taruh yang berkaitan. Hal ini jelas mewujudkan bibit sangsi dan krisis kepercayaan dalam kalangan rakyat.
Ya, apabila membuka hijab, bumi tidak bergoncang. Akan tetapi Malaikat ‘Atid dan Raqib tidak memejam penglihatannya daripada dosa-dosa yang dibanggakan.
Jangan semberono menghalalkan tindakan salah dengan menyalahgunakan nama hak asasi. Sedangkan hak asasi yang sebenar menjamin hak seseorang untuk menjunjung peraturan agamanya. Dan Islam yang syumul itu ada haknya ke atas setiap Muslim.
“Islam Memimpin”
“Islam Memimpin”
YB SENATOR NURIDAH MOHD SALLEH
Ahli Dewan Negara – HARAKAHDAILY 19/4/2019
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Tahniah senator Nuridah kerana membongkar puak 'ektream'is Aminah Wadud melalui forum ‘Malay Woman and Dehijabbing’ yang diadakan baru-baru ini di KL..
Lgbt ni menentang aqidah yg betul utk menegak aqidah songsang. Aminah wadud adalah contoh pengguna aqal secara total. Apa disebalik kematian tiada dlm kamus pemikirannya. Islam berpegang kepada sumber agama utk memahami alam selepas dunia. Pasti pengikut aminah wadud ada, dan mereka itu senang dan selesa menggunakan sumber aqal semata. Logiknya sumber aqal dan sumber agama lebih baik kerana ada dua sumber berbanding satu.
ReplyDelete