KL: Pusat Bantuan dan Kemanusiaan PAS (PASRelief) telah menerima sokongan padu daripada Kerajaan Negeri Terengganu untuk Misi Bantuan Kemanusiaan Gaza.
Sehubungan itu sebanyak RM156,000 telah disampaikan kepada PASRelief dalam Majlis Penyerahan Sumbangan yang dilangsungkan di Wisma Darul Aman, Kuala Terengganu, semalam.
Sumbangan mewakili NGO, GLC, individu dan syarikat swasta dari negeri itu telah diserahkan Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar kepada Pengarah PASRelief, Muhammad Sanusi Md Nor.
Dr Samsuri dalam ucapannya berkata, sungguhpun pihak penyumbang tidak dapat ke bumi Palestin bagi 'mengubati' derita kekejaman ke atas mereka, namun sumbangan diberi mewakilinya.
Jelas beliau, pemberian ikhlas mereka itu adalah salah satu cara meringankan beban mangsa yang juga adalah saudara seagama menghadapi keperitan atas penindasan ke atas mereka.
"Walaupun kita tidak boleh buat banyak, tapi sebenarnya di mata, hati dan perasaan mereka (sumbangan) ini besar ertinya," ujar beliau.
Sementara itu, Sanusi memaklumkan pihaknya masih menunggu kebenaran masuk dari pihak Kerajaan Mesir yang kini hal tersebut sedang diuruskan oleh Kedutaan Malaysia di Kaherah.
Orang ramai boleh terus menyumbang menerusi akaun Maybank 5640 7061 2333 PASRelief atau 5640 7061 1352 Tabung Kemanusiaan Antarabangsa dan sebarang pertanyaan hubungi 013-384 5555 (Mohd Adram Musa). - HARAKAHDAILY 25/4/2019
No comments:
Post a Comment