Saturday, May 04, 2019

20 ‘anak Chow Kit’ Sudah Ada Pusat Ilmu.



KUALA LUMPUR: Jika dahulu mereka belajar di lorong yang hanya diterangi cahaya lampu jalan, namun kini lebih 20 ‘anak Chow Kit’ dapat menikmati suasana pembelajaran di sebuah pusat yang baru dibuka dalam keadaan lebih selesa.
Pusat Pembelajaran Komuniti Jalan Chow Kit yang dibuka pada 29 April lalu dikelolakan Jabatan Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Bandar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu mempunyai pelbagai kemudahan fasiliti.
Terletak di Jalan Chow Kit, di sini, pusat berkenaan mempunyai empat aras dengan setiap aras akan dilaksanakan pelbagai jenis program pembelajaran kepada anak jalanan itu, malah turut menawarkan pelbagai aktiviti kepada remaja dan ibu tunggal selain turut dijadikan transit.
Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun, berkata dia sangat teruja dapat belajar di tempat baru yang lebih selamat dan bersih selain turut diterangi dengan lampu bagi memudahkannya belajar.

Dia yang belajar di Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) berkata, tiga lagi adiknya berusia lapan, 10 dan 12 tahun turut tidak melepaskan peluang untuk menimba ilmu di pusat yang baru dibuka itu.
“Sangat seronok belajar di sini kerana keadaan sekitarnya lebih bersih, terang dan selamat. Saya boleh belajar dengan selesa, malah pekerja di pusat ini juga sangat baik dan mesra.
“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada DBKL dan semua NGO (badan bukan kerajaan) kerana mengadakan pusat belajar ini untuk anak-anak di Chow Kit,” katanya pada majlis kesyukuran Pusat Pembelajaran Komuniti Jalan Chow Kit, kelmarin.
 NOR Hisham (dua dari kanan) hadir pada Majlis Kesyukuran Pusat Pembelajaran Komuniti Jalan Chow Kit, kelmarin.

Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, beliau mahu melihat imej Chow Kit berubah pada masa akan datang dan tidak mustahil bakal akan digelar Serambi Mekah.
Dengan mengambil contoh Kota Mekah suatu ketika dahulu pada asalnya bukanlah kota bagi kaum Muslimin, namun mampu bertukar wajah menjadi tempat suci bagi penganut Islam.
“Saya berhasrat untuk memperluaskan lagi pusat pembelajaran seperti ini di seluruh Kuala Lumpur dalam usaha membantu golongan gelandangan, ibu tunggal dan anak jalanan, bukan setakat di Chow Kit.
“Pusat ini akan memberi lebih tumpuan terhadap aspek pendidikan agama Islam dan kita juga membukanya kepada bukan Islam bagi menerapkan kefahaman mereka terhadap Islam,” katanya. (HMetro)


No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails