Monday, May 13, 2019

23 Gadis Rohingya Nyaris Jadi Mangsa Dagang Di M'sia

23 gadis Rohingya nyaris jadi mangsa pemerdagangan manusia di Malaysia
Menurut polis, gadis-gadis berkenaan ditemui sedang bersembunyi di dalam bilik sebuah kedai jahit selepas pihak berkuasa menyerbu sebuah kediaman di utara bandar itu.

DHAKA: Seramai 23 remaja perempuan Rohingya telah diselamatkan oleh polis Bangladesh selepas dibawa dari kem pelarian ke Dhaka sebelum dihantar ke Malaysia melalui udara, lapor AFP pada Ahad.

Menurut jurucakap polis, Mokhlesur Rahman, gadis-gadis berkenaan ditemui sedang bersembunyi di dalam bilik sebuah kedai jahit selepas pihak berkuasa menyerbu sebuah kediaman di utara bandar itu.

“Mereka (gadis-gadis itu) dijanjikan pekerjaan di Malaysia dan dibawa dari kem pelarian di Cox’s Bazar,” katanya kepada AFP.


Tambah Rahman, kesemua remaja terbabit yang berusia di antara 15 hingga 19 tahun itu juga berkemungkinan dipaksa menjadi pelacur.

“Kami sudah memfailkan kes terhadap empat suspek yang ditahan dan menghantar gadis-gadis itu pulang ke kem di Cox’s Bazar,” katanya.

Terdesak untuk menjalani kehidupan yang lebih baik, ramai gadis remaja mudah menjadi mangsa sindiket pemerdangan manusia yang dikatakan berkeliaran di kem-kem pelarian berkenaan.

Pihak berkuasa Bangladesh, pada tahun ini sahaja telah menghalang lebih 300 etnik Rohingya daripada cubaan melarikan diri menggunakan bot nelayan buruk.

Ramai juga yang telah cuba terbang ke negara-negara termasuk Malaysia dan Timur Tengah dengan mendapatkan pasport dan dokumen perjalanan Bangladesh. (AA)

No comments:

Post a Comment