Wednesday, May 01, 2019

31 Bukti Islam Terancam Bawah PH? -Abdul Muein Abadi (UKM)


Banyak bukti pemimpin Pakatan Harapan terpesona dengan ‘kuasa lunak’ asing


1. HANYA dalam tempoh seminggu, Mufti Perlis isytiharkan Islam terancam di bawah Pakatan, Menteri Belia dan Sukan sibuk berusaha anjurkan konsert besar-besaran artis K-POP Korea, Menteri Pertahanan tidak habis-habis dengan isu Syiah, Senator DAP pula gesa kerajaan buka Kedutaan di Israel dan jalinkan hubungan diplomatik dengan negara haram itu. Semua ini hanya dalam tempoh seminggu.
2. Sesungguhnya, Rasulullah ﷺ pernah memberi ingatan keras mengenai kuasa dan tanggungjawab mencegah kemungkaran: “Sesiapa dalam kalangan kamu yang melihat kemungkaran hendaklah dia mengubah dengan tangan, sekiranya dia tidak mampu hendaklah mengubahnya dengan lidah, sekiranya tidak mampu mengubah dengan lidah hendaklah dia mengubah dengan hati, dan mengubah dengan hati adalah selemah-lemah iman” (Hadis riwayat Imam Muslim).
3. Dalam satu lagi hadis, Rasulullah ﷺ juga bersabda “Tolonglah saudaramu yang berbuat zalim (aniaya) dan yang dizalimi”. Mereka bertanya: “Wahai Rasulullah ﷺ, jelas kami faham menolong orang yang dizalimi, tetapi bagaimana kami harus menolong orang yang berbuat zalim?” Beliau bersabda: “Pegang tangannya (agar tidak berbuat zalim)” (Sahih Bukhari).
4. Di mana suara Menteri dan alim ulama dalam Pakatan apabila Menteri Belia dan Sukan dengan bangganya menganjurkan konsert mungkar K-POP Sempena Tahun Melawat Malaysia 2020?
5. Mengapa dulu Menteri Agama YB Dr Mujahid Yusuf Rawa boleh mengarang surat panjang lebar ‘warkah kekanda-adinda’ dengan YB Nurul Izzah tetapi kini diam tidak bertegas dengan rancangan mungkar konsert K-POP Sempena Tahun Melawat Malaysia 2020?
6. Di mana suara Menteri dan alim ulama dalam Pakatan apabila Menteri Pertahanan berkali-kali secara tersurat dan tersirat menunjukkan dukungan kepada Syiah – terbaharu solat di belakang Imam Syiah dengan sujud di atas Turbah (batu Karbala)?
7. Mengapa dulu Menteri Agama YB Dr Mujahid Yusuf Rawa boleh mengarang surat panjang lebar ‘warkah kekanda-adinda’ dengan YB Nurul Izzah tetapi kini diam tidak bertegas dengan tindak-tanduk Menteri Pertahanan yang jelas sujud di atas turbah dan menunjukkan kekaguman dengan Syiah?
8. Di mana suara Menteri dan alim ulama dalam Pakatan apabila Senator DAP menyeru supaya kita mengadakan hubungan diplomatik dengan negara haram Israel dan seterusnya membuka kedutaan di negara penjajah dan penjenayah itu? Meskipun rancangan itu sudah ditarik balik, namun kesungguhan di sebalik cadangan itu – yang hanya ditarik selepas mendapat kecaman – tidak harus dipandang remeh sama sekali.
9. Mengapa dulu Menteri Agama YB Dr Mujahid Yusuf Rawa boleh mengarang surat panjang lebar ‘warkah kekanda-adinda’ dengan YB Nurul Izzah tetapi kini diam tidak bertegas dengan cadangan mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel oleh DAP ini?
10. Maka janganlah salahkan Mufti Perlis apabila beliau isytiharkan ‘Islam terancam’ di bawah kerajaan Pakatan hari ini sekiranya alim ulama dalam Pakatan sendiri yang diam dan reda dengan rancangan Menteri Belia untuk menganjurkan konsert besar-besaran, diam dan reda dengan tindakan Menteri Pertahanan yang solat dan sujud di atas turbah, diam dan reda dengan rancangan DAP untuk mewujudkan hubungan diplomatik dengan negara haram Israel.
11. Hakikatnya, dari sudut pandang ‘kuasa lunak’ (Soft Power) dalam perspektif politik hubungan antarabangsa (International Relations), tindak-tanduk ketiga-tiga pemimpin Pakatan ini juga mengundang seribu satu permasalahan.
12. Apakah itu ‘Soft Power’? Apa bezanya dengan ‘Hard Power’? Mengapa hujah yang disandarkan oleh Syed Saddiq dan Nga Hock Cheh dalam mempertahankan BTS Korea dan Israel tertolak sama sekali dari perspektif ini? Mengapa kekaguman Mat Sabu dengan Iran dan perjuangan Syiah juga menjadi masalah dari perspektif ini?
13. Konsep ‘Soft Power’ ini dikemukakan oleh Sarjana dari Harvard University, iaitu Profesor Joseph Nye melalui dua karya beliau berjudul ‘Bound to Lead: The Changing Nature of American Power’ (1990) dan ‘Soft Power: The Means to Success in World Politics’ (2004).
14. Kuasa Lunak dimaksudkan sebagai ‘keupayaan untuk memujuk dan menundukkan pihak lain agar mengubah dasar dan kehendak mereka dengan cara yang memikat dan menarik’. Konsep ‘Kuasa Lunak’ ini berbeza dengan ‘Kuasa Keras’ (Hard Power) yang mengutamakan penggunaan tekanan politik, diplomatik, dan ketenteraan untuk mencapai objektif yang sama.
15. Terdapat banyak bukti yang menunjukkan bahawa pemimpin Pakatan saat ini yang ramai terpesona dengan ‘kuasa lunak’ asing – dalam kes ini, Syed Saddiq terpana dengan K-POP Korea, Mat Sabu dengan Iran, dan Hock Cheh dengan Israel.
16. Dalam kes Mat Sabu, sejak tahun 2013 lagi Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri pada ketika itu iaitu Datuk Abdul Rahim Mohamad Radzi mengesahkan sepuluh bukti Mohamad Sabu cenderung pengikut fahaman Syiah.
17. Mat Sabu pernah menggesa supaya umat Islam mencontohi kepimpinan Islam berdasarkan kaedah Imam Khomeni melalui tulisannya bertajuk “Teladan Pemerintahan Nabi Yusof, Khomeni” yang diterbitkan dalam akhbar pada 5 hingga 15 Julai 2008.
18. Mat Sabu pernah melafazkan selawat sebagaimana yang diamalkan penganut Syiah pada satu sesi ceramah PAS di Madrasah Diniah, Arau Perlis pada tahun 2005.
19. Mat Sabu menyatakan kekaguman dengan kepimpinan dan perjuangan pemimpin Revolusi Iran 1979, Imam Ruhollah Khomeini yang mana banyak mencorak pemikiran beliau dalam ucapan pada 13 Julai 2011.
20. Mat Sabu juga terang-terangan memuji Setiausaha Agung Syiah Lubnan, Sayyid Hassan Nasrallah dan mengaku beliau dan isteri kerap bertemu dengan pemimpin berkenaan lebih daripada empat hingga lima kali.
21. Mat Sabu juga didapati membuat lawatan ke sebuah masjid Syiah di Kampung Aluar Wilayah Satun Selatan Thailand serta melakukan kunjungan ke atas pemimpin Syiah di sana pada tahun 2011.
22. Mat Sabu turut didapati beberapa kali menghadiri kelas pengajian yang dikendalikan ustaz fahaman Syiah pada 2011 di Bukit Merah, Semanggol, Perak.
23. Deretan bukti sejak dahulu hingga kini menimbulkan persoalan mengenai tindak-tanduk Mat Sabu yang terpengaruh dengan ‘Kuasa Lunak’ Syiah. Tidak salah untuk beliau mengadakan hubungan strategik bagi kepentingan pertahanan negara – seperti mana kunjungan beliau ke Turki bertemu Presiden Erdogan sebelum ini – namun kekaguman beliau terhadap Imam Khomeini, hubungan dengan Hassan Nasrallah, dan amalan ibadat beliau yang terlalu kerap menyamai amalan Syiah menunjukkan bahawa beliau tidak memiliki jati diri yang teguh.
24. Dalam kes Syed Saddiq pula, beliau memberi alasan bahawa jemputan BTS ‘bukan bertujuan untuk melalaikan generasi muda, sebaliknya ia perlu dilihat sebagai satu pelaburan yang menguntungkan buat negara’ di mana matlamat beliau ialah supaya ‘industri hiburan Malaysia tidak berada di belakang Singapura memandangkan ramai peminat muzik telah beralih ke negara itu bagi menyaksikan konsert’.
25. Kenyataan Syed Saddiq ini jelas tidak mengambil kira impak jangka panjang dan terlalu terpana dengan keuntungan segera yang tidak seberapa.
26. Fokus konsert BTS ini tentulah generasi muda, yang bakal menjadi pemimpin masa hadapan. Apakah ini acuan utama yang ingin kita ketengahkan kepada anak muda kita? Di mana jati diri kita? Mengapa harus kita terikut-ikut dengan pihak lain yang ‘tunduk’ dengan pesona K-POP seperti di negara-negara Asia, Eropah, dan Amerika yang lain?
27. Sedarkah Syed Saddiq akan impak ‘Kuasa Lunak’ Korea ini kepada kepentingan negara kita pada masa hadapan? Mengapa tidak program pemerkasaan remaja dengan menjemput anak muda yang berjaya dari seluruh dunia – khususnya dari Dunia Islam – untuk dikongsi bersama dengan anak muda kita menjadi usaha KBS sempena Tahun Melawat Malaysia 2020?
28. Sebagai sebuah negara dengan warisan peradaban Melayu-Islam yang agung, tidak seharusnya kita – terutama sekali pemimpin belia seperti Syed Saddiq – terpana dengan tarikan dan pujukan material serta prestij artis luaran seperti BTS untuk mengangkat Tahun Melawat Malaysia 2020. Sebaliknya, banyak lagi program yang boleh menjana ‘Kuasa Lunak’ kita sendiri serta bersifat memperkasa jati diri anak muda dan membina jaringan keusahawanan, teknologi, dan keilmuan dengan pihak lain yang boleh direncanakan.
29. Demikian juga cetek dan dangkalnya Senator DAP, Nga Hock Cheh yang membuat kenyataan di Dewan Negara bahawa kita perlu mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel supaya diiktiraf sebagai ‘pendamai’ dan ‘anak Tuhan’ (Children of God) seperti mana dalam Kitab Injil.
30. Hock Cheh juga mengatakan hubungan diplomatik dengan Israel akan memberi manfaat kepada industri pertanian kita kerana teknologi Israel yang maju. Jelas, seperti mana Syed Saddiq yang terperangkap dengan fahaman untung-rugi semata-mata tanpa implikasi ‘Kuasa Lunak’ dan jati diri jangka panjang, demikian juga Hock Cheh yang jelas terpesona dengan kemajuan material Israel tanpa kefahaman jenayah politik Zionis sejak dulu hingga kini.
31. Kepada para pemimpin, Menteri dan alim ulama Pakatan, janganlah diam dengan kemungkaran-kemungkaran yang cuba direncanakan ini. Janganlah diam dengan rancangan menganjurkan konsert K-POP di saat sedang beban hidup rakyat masih gagal ditangani. Dengarlah rintihan Mufti Perlis dan rakyat jelata saat ini.
Ingatlah pesan Buya Hamka, ‘Jika diam saat agamamu dihina, gantilah bajumu dengan kain kafan’.
Abdul Muein Abadi
Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)


Penafian: Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net. Artikel ini pertama kali disiarkan dalam Facebook penulis.

2 comments:

Anonymous said...

Habis pemimpin agongnya pun tak habis habis gadohnya. Dengan sultan nak gadoh, dengan mufti nak gadoh. Apakah orang lain semuanya tak betul. Kalau pendatang, tentulah tak nak taat sultan tempatan. Kalau kafir pulak tentulah panas dengan mufti. Mereka ada reason untuk derhaka dan ingkar atas alasan pendatang dan non muslim.

Anonymous said...

Perihal keselematan Agama Islam , Adat & Budaya tertakluk kebawah DYMM Yg DiPertuan Agong mahupun Sultan. Apakah Islam terancam tunggu titah kebawah DYMM Yg Dipertuan Agong atau Sultan.

Profesor ni fahamkah pasal perihal risikan atau tugasan khas berkaitan sebarang ancaman keselamatan terhadap negara mahupun agama.

Kalau setakat mengomel politik menggunakan media sosiol untuk tujuan untung kantung baik hentikan. Setiap tugas biar selesai pada ahlinya. Prof buatlah keje hakiki yang patutnya diselesaikan.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails