Saturday, May 04, 2019

80 Asnaf Fakir Miskin Terima Bantuan Sambut Ramadan.



KUALA BERANG: Keceriaan jelas terpancar pada wajah 80 asnaf fakir dan miskin di Kampung Bukit Diman, Ajil selepas menerima bantuan keperluan harian sebagai persediaan menyambut Ramadan pada Isnin ini.
Bantuan keperluan harian seperti beras, gula dan bahan makanan lain bernilai RM150 itu diserahkan Terengganu Runner Comunity (TRC) hasil sumbangan orang ramai bagi meringankan beban mereka yang memerlukan.
Presiden TRC, Nor Azam Sidek berkata, bantuan itu adalah sumbangan orang ramai termasuk pelanggan yang menggunakan khidmat penghantaran 20 ahli TRC sebelum ini.

“Sumbangan ini dikumpulkan sejak bulan lalu dan kita berjaya mengumpul sebanyak RM7,000 namun kita hanya membelanjakan RM5,000 sahaja untuk program kali ini manakala selebihnya diserahkan pertengahan Ramadan melalui program sama,” katanya.
Nor Azam berkata, TRC teruja dapat membantu golongan memerlukan dan kawasan Kampung Bukit Diman dipilih sebagai lokasi penyerahan bantuan Ihya Ramadan yang pertama kerana difahamkan ada ramai asnaf fakir dan miskin di kawasan berkenaan.
“Program ini unik kerana peserta TRC menyampaikan sumbangan bermotosikal.
“Perjalanan kami dari rumah ke rumah lebih lancar dengan bermotosikal malah penerima sumbangan juga teruja menyambut kedatangan kami,” katanya.
Menurutnya, TRC berharap inisiatif dan sumbangan itu membantu asnaf fakir serta miskin membuat persiapan menyambut ketibaan Ramadan.
“TRC akan mengenal pasti lebih ramai golongan memerlukan sepanjang Ramadan ini dan menghulurkan bantuan sama hasil sumbangan orang ramai.
“Ramai orang berkemampuan mahu menghulurkan sumbangan namun tiada saluran boleh digunakan, justeru kami menggunakan peluang ini untuk membantu mereka,” katanya.
Bagi Mohamad Salim, 42, dia berterima kasih kepada TRC kerana bantuan itu sedikit sebanyak membantu dia dan keluarganya membuat persiapan menyambut Ramadan.
“Barang keperluan harian ini boleh digunakan untuk menyediakan juadah berbuka puasa untuk keluarga sepanjang Ramadan,” katanya. (HMetro)

No comments:

Post a Comment