Saturday, May 04, 2019

Cabaran 16 Jam Aktivis Kemanusiaan Ke Gaza



GAZA: Seramai 41 sukarelawan dan aktivis kemanusiaan termasuk tujuh rakyat Malaysia selamat memasuki bumi Gaza, Palestin malam tadi selepas menempuhi perjalanan getir selama 16 jam dari Kaherah, Mesir.
Semua peserta yang menyertai misi dinamakan Miles of Smiles berjaya masuk ke Gaza tepat jam 11.20 malam pada Khamis. (5.20 pagi Jumaat waktu Malaysia) melalui pintu sempadan Rafah.
Selain Malaysia, peserta misi selama lapan hari itu turut membabitkan aktivis kemanusiaan dari Afrika Selatan, Kuwait, Jordan, United Kingdom, Algeria, Emeriah Arab Bersatu (UAE) dan Sweden.
Peserta dari Malaysia pula membabitkan anggota tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care), Viva Palestina dan Aman Palestin.
Presiden Muslim Care, Zulkifli Wahijan berkata, perjalanan dilaluinya kali ini paling mencabar berbanding empat misi ke Gaza yang pernah disertainya sebelum ini dengan kali terakhir pada 2013.

“Ketika saya datang ke Gaza sebelum ini perjalanan saya dari Kaherah ke Gaza cuma lima jam dan menaiki jambatan untuk menyeberangi Terusan Suez.
“Tapi kali ini kami menempuh perjalanan selama 16 jam dan menyeberangi Terusan Suez dengan feri di mana kami terpaksa menunggu hampir empat jam sebelum diberi pelepasan,” katanya.
Beliau berkata, biarpun misi ini mendapat kerjasama daripada kerajaan Mesir dan peserta misi diiringi kereta perisai polis serta tentera sepanjang perjalanan, cabaran tetap tinggi disebabkan urusan birokasi yang ketat.
“Sebagai contoh, urusan mengecap pasport saja di pejabat imigresen Mesir di Rafah kami terpaksa menunggu lebih empat jam,” katanya.
 KERETA perisai tentera Mesir yang mengiringi kenderaan peserta misi.
Menurutnya, misi kali ini Muslim Care membelanjakan RM210,000 hasil sumbangan rakyat Malaysia ang prihatin terhadap penduduk Palestin.
Zulkifli berkata, RM42,000 daripada jumlah itu digunakan untuk pembelian ubat-ubatan dan kesihatan, RM50,000 untuk pek berbuka puasa kepada 2,500 orang manakala bakinya untuk projek pembangunan termasuk panel tenaga solar untuk bekalan elektrik.
Katanya, orang ramai boleh terus menyumbang kepada Muslim Care melalui nombor akaun Maybank (564490413882), CIMB (14014010147470) dan Bank Muamalat (14010007654717).(HMetro)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails