Thursday, May 09, 2019

Hadirlah Mahkamah Selesai Kes Royalti



KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan berharap wakil kerajaan pusat dan Petronas hadir di mahkamah pada 17 Mei ini bagi menyelesaikan kes menarik balik saman isu royalti.
Timbalan Menteri Besar Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, kehadiran wakil pihak terbabit penting bagi membolehkan mahkamah membuat keputusan kes berkenaan.
“Mereka hadirlah... kalau tidak hadir mahkamah tidak boleh buat keputusan penarikan balik saman,” katanya di sini semalam.
Sebelum ini mahkamah menetapkan 17 April lepas bagi prosiding kes menarik saman kerajaan Kelantan terhadap Petronas dan kerajaan pusat.
Bagaimanapun malangnya pada tarikh tersebut wakil Petronas dan kerajaan Persekutuan tidak hadir sehingga menyebabkan mahkamah menunda kes terbabit kepada 17 Mei ini.
Pada 30 Ogos 2010 Kelantan memfailkan saman bagi menuntut tunggakan royalti minyak yang tidak dibayar sejak 1998.
Saman itu difailkan Menteri Besar Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat di kaunter Pendaftaran Mahkamah Tinggi Dagang di Kuala Lumpur.
Kerajaan negeri melantik peguam Tommy Thomas mewakilinya bagi mengendalikan kes tersebut. - HARAKAHDAILY 9/5/2019

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails