Saturday, May 04, 2019

Mari Bersedekah Kepada Pengemis Bermusim Di Kota Bharu..



KOTA BHARU: Pengemis warga asing dan rakyat tempatan termasuk golongan kanak-kanak mula membanjiri bandar ini menjelang Ramadan untuk mengambil kesempatan meminta sedekah serta simpati ramai.
Mereka mampu memperoleh lebih RM100 sehari dengan hanya minta derma dan ada juga menjual pelbagai jenis kerepek.
Tinjauan Harian Metro di bandar Kota Bharu mendapati beberapa pengemis termasuk kanak-kanak dan wanita yang membawa bayi meminta simpati ramai di sekitar Masjid Muhammadi dan bandar ini.

Mereka terdiri daripada rakyat tempatan, Thailand dan etnik Rohingya membawa bekas plastik. Ada juga beberapa kanak-kanak lelaki yang membawa kerepek dijual dengan harga RM2.50 sepeket.
Ketika ditanya kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang berasal dari Narathiwat, Thailand berkata, dia ke negara ini sejak dua minggu lalu bersama ibunya.
Katanya, dia masuk ke negara ini dengan menaiki van yang menghantarnya ke rumah sewa dan membawa bekalan kerepek untuk dijual.
“Saya menyewa rumah di bandar bersama ibu dan rakan ibu yang turut menjual kerepek di lokasi berdekatan.
“Setiap hari saya mampu memperoleh pendapatan lebih RM100 sehari kerana rakyat negeri ini bukan sahaja membeli kerepek yang dijual, malah ada yang memberi wang sebagai sedekah.
“Saya seronok datang ke sini kerana ramai yang pemurah dan saya memperoleh wang yang banyak bagi membantu ibu,” katanya ketika ditemui di Jalan Raja Hilir, di sini.
Menurutnya, walaupun perlu berpanas mencari pelanggan tetapi dia gembira kerana dapat wang yang boleh digunakan di sepanjang Ramadan ini.
Katanya, dia tidak bersekolah kerana kemiskinan hidup dan seronok dapat mencari wang sendiri.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Said Sidup berkata, pihaknya akan mengadakan 50 operasi bagi membanteras pengemis dan kutu rayau di sepanjang Ramadan ini.
Beliau berkata, operasi gempur itu akan diadakan di semua jajahan dengan membabitkan beberapa agensi kerajaan.
Katanya, kegiatan pengemis sukar dikawal kerana rakyat negara ini terkenal dengan sikap pemurah dan bersimpati dengan mereka.
“Menjelang Ramadan ramai pengemis membanjiri bandar ini kerana mereka mengambil kesempatan dengan kebaikan masyarakat yang memberi derma tanpa mengira masa.
“Mereka (pengemis) mampu memperoleh pendapatan purata RM100 sehari. Faktor ini disebabkan masyarakat kita yang terlalu pemurah.
“Jika masyarakat mahu membantu, saya nasihatkan mereka supaya menyalurkan ke badan tertentu termasuk masjid dan pusat zakat,” katanya ketika dihubungi, di sini.
Menurutnya, sumbangan yang diberikan itu akan diagihkan kepada golongan yang betul-betul memerlukan. (HMetro)

No comments:

Post a Comment