SHAH ALAM 16 Mei - Misteri kehilangan Ketua Jururawat Hospital Serdang pada 8 Mei lalu terjawab apabila dia ditemukan mati di sebuah bilik di kondominium di Cyberjaya dekat sini petang semalam.


Siti Kharina Mohd. Kamarudin, 40, ditemukan kira-kira pukul 2.30 petang dalam keadaan terlentang di atas lantai dan tidak lengkap berpakaian selain terdapat kesan kelar di bahagian dada, leher serta kepala.
Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin ketika mengumumkan hal itu berkata, penemuan ibu kepada tiga anak tersebut terbongkar apabila seorang juruteknik datang untuk membaiki mesin basuh tetapi pintu kondominium tidak dapat dibuka.
Menurut Noor Azam, juruteknik itu telah memanggil pemilik rumah tersebut sebelum ternampak darah mengalir keluar daripada salah sebuah pintu bilik kondominium itu.
“Siasatan mendapati mangsa telah meninggal dunia lebih daripada empat hari di kondominium yang disewanya. Kita juga telah menemukan beberapa barang bukti seperti pisau dan baju.
“Kita juga tidak menemukan kesan pecah masuk pada kediaman tersebut dan menolak kes ini berkaitan samun berikutan barangan peribadi mangsa termasuk kad pengenalan serta barang kemas masih ada selain keretanya berada di parkir,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, Siti Kharina dilaporkan hilang pada 8 Mei lalu dengan dia kali terakhir menghubungi suami serta anaknya untuk memaklumkan kepulangannya bagi mengecat rumah sebagai persiapan menjelang Aidilfitri pada hari yang sama. 

Sementara itu, pihak polis berjaya memberkas seorang lagi suspek yang disyaki terlibat dalam kes bunuh Ketua Jururawat Hospital Serdang hari ini. Lelaki Nigeria Aliwajuwon Gilbertalowonle yang diburu sebelum ini bagi membantu siasatan kes itu ditahan di sekitar Cheras Sentral di sini pada lebih kurang jam 3 petang.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor SAC Fadzil Ahmat, bertindak atas maklumat siasatan, pasukannya telah berjaya mengesan individu itu.

"Pasukan JSJ Selangor telah berjaya mengesan individu lelaki warganegara Nigeria yang dikehendaki untuk membantu siasatan di Lower Ground Floor, Cheras Sentral, Kuala Lumpur. 

"Berlaku pergelutan ketika tangkapan dibuat namun akhirnya individu tersebut berjaya ditahan," katanya.
Permohonan reman ke atas suspek akan dibuat esok. Terdahulu, polis menahan dua individu iaitu seorang wanita Nigeria berumur 35 tahun dan seorang lelaki Pakistan berumur 38 tahun di sekitar Kuala Lumpur, awal pagi ini. (IH)