Seorang pelajar perempuan terlebih dahulu diserang histeria semasa sesi perhimpunan sekolah itu berlangsung sebelum pelajar lain mengalaminya.
Salah seorang pelajar sekolah tersebut yang hanya mahu dikenali sebagai Fizi, 17, berkata, serangan histeria di sekolah itu berlaku secara berperingkat sehingga pukul 11.30 pagi.
"Mula-mula seorang saja pelajar kena histeria semasa kami berada dalam perhimpunan. Selepas satu jam, seorang demi seorang pelajar lain mengalaminya.
"Seramai 20 pelajar perempuan yang mengalami histeria dari kelas dan blok belajar berlainan," katanya ketika ditemui Kosmo! Online di hadapan sekolah itu di sini hari ini.
Fizi berkata, pelajar perempuan terlibat meraung dan berguling atas lantai seolah-olah dirasuk semasa serangan histeria itu berlaku.
Jelas beliau, insiden itu kali kedua berlaku selepas kejadian pertama berlaku Jumaat lalu membabitkan dua pelajar perempuan sahaja.
Menurut beliau, semua pelajar sekolah itu kemudian diarah kembali kembali ke tempat perhimpunan dan membaca surah Yasin.
"Saya lihat beberapa ustaz datang ke sekolah dan baru keadaan kembali tenang," katanya.
Sementara itu, Pengarah Pendidikan Negeri, Datuk Pkharuddin Ghazali dalam satu kenyataan media hari ini mengesahkan kejadian itu.
Kata beliau, pihak sekolah bertindak mengasingkan pelajar terlibat di surau, manakala pelajar lain dikumpulkan di dewan sekolah semasa insiden itu berlaku.
Tambah beliau, pihak sekolah turut memanggil ustaz dari Masjid Kuarters KLIA untuk membantu memulihkan pelajar terlibat sebelum ibu bapa diminta membawa pelajar berkenaan pulang. 
"Keadaan kembali tenang pada pukul 11.39 pagi dan sesi pembelajaran berjalan semula. Pelajar sesi petang diminta mengadakan bacaan yasin.
"Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan dan pihak sekolah memantau kes itu dari semasa ke semasa agar kejadian sama tidak berulang," katanya. - K! ONLINE


Lihat lagi..
Ini Peluang Kerja Dan Jadi Usahawan. (1)