Konflik kepentingan sebalik ambil alih lebuh raya?
ISU pengambilalihan lebuh raya bertol yang secara tidak sengaja membuka polemik antara pemimpin PH, menjadi satu lagi petanda bahawa kepentingan negara sedang dipertaruhkan. Ianya seolah-olah sedang dirakusi untuk kepentingan peribadi atau parti oleh para pemegang jawatan berkaitan di dalam kerajaan.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dilihat paling beria-ia untuk pengambilalihan konsesi yang telah ditawarkan RM6.2 bilion itu. Anehnya, selama ini, beliaulah yang kuat mencanang kerajaan tiada duit dan mewarisi hutang RM1 trilion. Hinggakan kerajaan terpaksa menagih simpati melancarkan Tabung Harapan.
Tamparan buat Guan Eng apabila Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan kerajaan tidak memuktamadkan pengambilalihan dari Gamuda Berhad itu. Begitu juga Menteri Kerja Raya, Baru Bian seakan turut menyanggah apabila memaklumkan Kabinet belum berbincang mengenai tawaran Maju Holdings.
Ternyata, Guan Eng sekali lagi telah mendahului Kabinet. Malah sebelumnya mendakwa kerajaan menolak tawaran Maju Holdings untuk mengambilalih PLUS dengan alasan pemegang saham utama iaitu pihak Khazanah Nasional Berhad dan KWSP tidak bersetuju dengan tawaran itu.
Ironinya, Khazanah berada di bawah Pejabat Perdana Menteri, manakala KWSP di bawah Kementerian Kewangan. Bahkan ketika sama, Guan Eng menyatakan beliau akan bertemu Maju Holdings membincangkan tawaran terbaru. Nampak seperti Guan Eng ada kegopohan, berbanding sikap hati-hati Baru Bian.
Pertimbangan Baru Bian mungkin berasas kerana Maju Holdings pernah tawarkan pengambilalihan PLUS pada 2017 dengan janji tidak menaikkan tol selama 20 tahun. Namun ditolak Kerajaan BN dan kali ini tawaran itu kepada Kerajaan PH yang menurut The Edge Marketsbernilai RM3.5 bilion.
Ia bukan sahaja melibatkan tanggungan hutang RM30 bilion, malah Maju Holdings turut tawarkan pengurangan tol sekitar 25 ke 36 peratus, tetapi meminta pelanjutan kutipan sehingga 30 tahun. Ia dilihat melepaskan kerajaan dari sebarang pampasan kerugian akibat tidak menaikkan tol menghala pengurangan berkala.
Bersungguhnya Guan Eng hingga memberitahu bahawa Tun Mahathir akan membuat keputusan, namun The Edge Markets pada 1 Julai melaporkan Tun M berkata "Dia (Guan Eng) tidak tahu". Malah, Tun M membayangkan ketidakmampuan kerajaan terhadap perkara disebut Guan Eng.
Semua ini menimbulkan curiga, sama ada pemegang saham tidak bersetuju atau Guan Eng sendiri. Apakah ini juga terselindung pertembungan dan perebutan kepentingan antara parti dalam PH iaitu Guan Eng (DAP), Tun M (Bersatu) dan Baru Bian (PKR)? Akhirnya, aset negara terjual, rakyat tetap dibebani. - HARAKAHDAILY 23/7/2019
Lihat lagi..
No comments:
Post a Comment