SUKU bangsa Yahudi yang dimaksudkan ialah suku Yahudi Ethiopia.
Atau sebelum ini dikenali sebagai negara Habsyah yang melarikan diri dari negara asal ke Israel selepas mendakwa ditindas di negara sendiri sejak beberapa dekad lalu.. Manakala suku bangsa Yahudi yang dimaksudkan menindas suku ini ialah suku Yahudi Ashkenazi yang merupakan majoriti penduduk Israel sekarang.
TERBONGKAR
Kisah mengenai penindasan ini mula meletus selepas seorang remaja Yahudi Ethiopia, Solomon Tekah, 19, ditembak mati oleh polis di Kiryat Haim berdekatan Haifa, Israel ketika cuba meleraikan pergaduhan dua kumpulan remaja pada Ahad, 7 Julai lalu.
Susulan pembunuhan ini menyebabkan jalan utama menghubungkan antara Haifa dan Tel Aviv yang menjadi lokasi penunjuk perasaan yang rata-ratanya Yahudi Ethiopia dihalang malah ada yang bertindak lebih ganas dengan membakar tayar, merosakkan kenderaan dan membaling batu serta botol ke arah polis yang cuba meleraikan tunjuk perasaan ini.
Tindakan penuh kemarahan oleh Yahudi Ethiopia ini tidak dapat disembunyikan lagi rentetan daripada penindasan demi penindasan yang dihadapi oleh mereka sehingga digelar warganegara kelas kedua biarpun memegang status sebagai bangsa Yahudi yang tinggal di Israel.
YAHUDI ASHKENAZI, SEPHARDI DAN ETHIOPIA
Kewujudan suku kaum Yahudi di Ethiopia dikatakan telah bermula sejak berabad-abad lamanya malah, mereka juga percaya bahawa mereka adalah keturunan Nabi Sulaiman dan Ratu Balqis.
Pada masa sama, mereka juga percaya maharaja terakhir Ethiopia, Heile Selassie yang menaiki takhta pada 1930 merupakan susur galur keturunan Nabi Sulaiman dan Ratu Balqis.
Namun begitu, majoriti yang tinggal di Israel sekarang merupakan keturunan suku Yahudi Ashkenazi yang susur galur mereka berasal dari negara-negara Eropah dan suku Yahudi Sephardi yang berasal dari Sepanyol, Afrika Utara, Asia Barat dan Eropah Tenggara. Antara kedua-dua suku ini keturunan suku Yahudi Ashkenazi paling ramai yang mendiami Israel.
Penghijrahan kaum Yahudi Ethiopia ke Israel bermula selepas Selassie digulingkan oleh pemimpin tentera berfahaman Marxist, Kolonel Mengistu Haile Mariam pada 1974. Bermula dari saat itu, golongan Yahudi di Ethiopia telah ditindas dengan teruk sehingga tidak dibenarkan mengamalkan ajaran agama mereka dan mempelajari bahasa Ibrani. Keadaan ini menyebabkan ada dalam kalangan mereka yang bertindak melarikan diri ke negara jiran, Sudan.
Sekitar tahun 1976 dipercayai kira-kira 250 Yahudi Ethiopia telah mula melarikan diri dan tinggal di Israel. Pada 1984 pula, Israel sekali lagi memindahkan sebanyak lebih 8,000 orang Yahudi Ethiopia. Kemasukan beramai-ramai Yahudi Ethiopia ke Israel dibuat atas dasar undang-undang Israeli Law of Return yang merupakan undang-undang di Israel yang memberi hak kepada semua orang Yahudi di seluruh dunia untuk tinggal di negara haram Israel dan mendapatkan kewarganegaraan di sana.
Kemudian, pada 24 Mei 1991 berlaku satu lagi proses pemindahan secara besar-besar melibatkan seluruh penduduk Yahudi di Ethiopia ke Israel. Pada waktu itu, Israel telah mengarahkan 35 pesawat komersial, tentera dan pesawat milik Ethiopia mengangkut 14,500 orang ke Israel.
MANGSA DISKRIMINASI
Namun begitu, jangkaan penduduk Yahudi Ethiopia bahawa mereka telah dapat melarikan diri daripada mulut harimau ternyata meleset. Lebih teruk mereka terpaksa masuk ke mulut buaya dan menjadi mangsa penindasan dan diskriminasi penduduk Israel keturunan Yahudi Akhezanki.
Antara layanan buruk yang diterima golongan Yahudi Ethiopia ialah tidak diberikan peluang pendidikan yang sama rata, tidak diterima bekerja kerana didakwa tidak layak dan mereka juga merupakan golongan paling miskin di Israel.
Sehingga kini lebih 41 peratus orang Yahudi Ethiopia yang datang ke Israel tidak mempunyai pekerjaan dan terpaksa hidup menganggur. Keadaan ini telah menyebabkan berlakunya rasa tidak puas hati dalam kalangan suku Yahudi ini.
Lebih teruk, dalam soal kesihatan juga mereka dilayan dengan teruk. Darah yang didermakan oleh Yahudi Ethiopia ke hospital-hospital dibuang kerana dianggap telah dicemari dengan virus HIV.
Kekejaman yang ditunjukkan oleh bangsa Yahudi ini terhadap Yahudi yang lain telah membuktikan Israel sememangnya mengamalkan diskriminasi dan merupakan negara yang mengamalkan perkauman terutamanya terhadap golongan kulit hitam.
Apatah lagi yang bukan sebangsa dengan mereka. Namun mereka cuba mengaburi mata masyarakat dunia dengan menuduh segala kekejaman dan penindasan yang dilakukan adalah untuk mempertahankan diri sendiri.
KEPADA MASYARAKAT DUNIA PERLU DIDEDAHKAN.
Masyarakat dunia perlu didedahkan kebiadabaaan ini, supaya wujudnya pembelaan ke atas kezaliman-kezaliman terhadap mereka. Siapa yang sanggup membela kebenaran ini sekarang? Patutlah di dalam Al-Quran telah termaktup berulang-ulang kisah-kisah puak Yahudi, supaya menjadi panduan dan peringatan bagi keamanan atau ketenteraman manusia.
AllahuAkbar! (IH)
No comments:
Post a Comment