Thursday, July 25, 2019

Mengapa Kotorkan Politik? -Presiden PAS




"THE politic is a dirty games” adalah suatu kata-kata yang diimport daripada Barat yang menjajah ke dalam akal fikiran, mempengaruhi umat Islam sehingga kini disebabkan oleh buta agama yang lebih parah daripada buta huruf, walaupun penjajah asing itu sudah meninggalkan tanah air tercinta ini.
Sehingga dilaksanakan teori matlamat menghalalkan cara (the ends justifies the means) daripada ideologi dan falsafah Niccolò Machiavelli (1469-1527), seorang ahli falsafah Itali yang ditolak oleh negaranya sendiri apabila menerima akibat yang menghancurkan umat.
Isunya bukan sekadar politik fitnah atau dipengaruhi oleh takhta, harta dan wanita, malah terkini politik video lucah, sehingga ada negara yang berperang saudara. Inilah akibat apabila Islam dipinggirkan.
Tujuan penjajah itu supaya umat Islam meninggalkan urusan politik kepada mereka sahaja dan mereka terus menguasai kita. Kita pula jahil atau lupa di mana letaknya politik dalam petunjuk Islam. Allah telah mengisytiharkan kepada para malaikat bagi menciptakan satu makhluk yang dinamakan manusia supaya melaksanakan kerja politik, di samping beribadat kepada Allah seperti yang dilakukan oleh malaikat walaupun dengan segala ketekunan dan kepatuhannya. Ini menunjukkan betapa mulianya politik di sisi Allah melalui firman-Nya:
وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَن يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لَا تَعْلَمُونَ (30)
“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan  khalifah di bumi”. Mereka bertanya (tentang hikmah ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal Kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu?”. Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya”. (Surah Al-Baqarah: 30)
Para ulama’ tafsir Al-Quran menegaskan bahawa makna khalifah itu ialah memerintah di bumi dan menegakkan negara yang dinamakan dalam Bahasa Arab sebagai siyasah dan bahasa lain dengan nama politik. Manusia dipilih disebabkan kejadiannya bercirikan jasad, roh, akal dan bermasyarakat, berbeza daripada makhluk lain, sehingga mereka berkemampuan memakmurkan bumi dengan petunjuk Allah.
Rasulullah S.A.W. pula bersabda:
"كَانَت بَنُو إسرَائِيلَ تَسُوسُهُمُ الأَنْبياءُ، كُلَّما هَلَكَ نَبِيٌّ خَلَفَهُ نَبيٌّ، وَإنَّهُ لا نَبِيَّ بَعدي، وسَيَكُونُ بَعدي خُلَفَاءُ فَيَكثُرُونَ...". (رواه مسلم)
“Para anbiya’ bani Israel itu menjadi pemimpin siyasah (politik mereka), setiap kali apabila wafatnya seseorang nabi digantikan oleh nabi yang lain. Sesungguhnya tiada lagi nabi selepasku, dan akan adanya para pemimpin, mereka itu ramai”. (Riwayat Muslim)
Rasulullah S.A.W. melakukan hijrah bagi menyempurnakan kewajipan tersebut dan menjadi ijma’ para sahabat dan ulama’ tafsir menyebut bahawa inilah pegangan semua mazhab Ahli Sunnah, Syiah dan Khawarij daripada aliran yang dianggap tergolong sebagai umat Islam. Walaupun mereka banyak berkhilaf dalam perkara lain, tetapi bersatu dalam perkara rukun dan asas ajaran Islam. Ini menunjukkan ke mana perginya mereka yang menafikan politik itu sebahagian dari Islam.
Ternyata juga ajaran yang menafikan politik daripada asas ajaran para anbiya’ diambil daripada Kitab Injil yang telah diubah dan diselewengkan oleh pengikut mereka pada zaman terkemudian, dengan nasnya:
  
“Render to Caesar the things that are Caesar's; and to God the things that are God's”. (Romans 13:1)

Ajaran ini mempengaruhi masyarakat mereka dan dibawa bersama oleh penjajah ke dalam masyarakat Islam, sama ada melalui pendekatan menolak adanya politik dalam agama atau mengiranya sebagai satu cabang agama yang boleh dipatahkan mengikut hawa nafsu sehingga terpisah daripada hubungannya dengan dosa pahala yang ada kaitan dengan beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, serta dianggap cabang akhlak melayani jiran dan tetamu sahaja dikaitkan dengan rukun iman.
 
Tugas politik itu sangat besar dan mulia kerana banyak cabarannya, sehingga diletakkan martabat pertama mendapat perlindungan Allah di Padang Mahsyar di Hari Kiamat nanti.

Sabda Rasulullah S.A.W.:
"سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمُ اللَّهُ في ظِلِّهِ يَوْمَ لا ظِلَّ إلَّا ظِلُّهُ: إِمامٌ عادِلٌ، وشابٌّ نَشَأَ فِي عِبَادَةِ اللَّه تَعالى، وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌفي المَسَاجِدِ، وَرَجُلانِ تَحَابَّا في اللَّه: اجتَمَعا عَلَيهِ، وتَفَرَّقَا عَلَيهِ، وَرَجُلٌ دَعَتْهُ امْرَأَةٌ ذَاتُ مَنْصِبٍ، وَجَمَالٍ فَقَالَ: إِنِّي أَخافُ اللَّه، ورَجُلٌ تَصَدَّقَ بِصَدَقَةٍ فأَخْفَاها، حتَّى لا تَعْلَمَ شِمالُهُ مَا تُنْفِقُ يَمِينهُ، ورَجُلٌ ذَكَرَ اللَّه خالِيًا فَفَاضَتْ عَيْنَاهُ ". (متفقٌ عَلَيهِ).
H“Tujuh golongan yang dipayungi oleh Allah pada Hari Kiamat nanti yang tiada naungan melainkan kurnia-Nya; pemimpin yang adil, orang yang beribadat sejak mudanya, orang yang hatinya cintakan masjid, dua bersaudara yang bersahabat kerana Allah, seorang yang berakhlak mulia kerana bertaqwa kepada Allah, sehingga tidak mampu digoda olah wanita cantik rupawan, seorang pemurah menyumbang dengan ikhlas, seorang berzikir ingatkan Allah di tempat sunyi sehingga menangis”. (Muttafaqun ‘Alaih)
Allah jadikan Nabi Ibrahim A.S. contoh pemimpin adil, kerana menjadi sanjungan semua agama. Firman Allah:
وَإِذِ ابْتَلَىٰ إِبْرَاهِيمَ رَبُّهُ بِكَلِمَاتٍ فَأَتَمَّهُنَّ قَالَ إِنِّي جَاعِلُكَ لِلنَّاسِ إِمَامًا قَالَ وَمِن ذُرِّيَّتِي قَالَ لَا يَنَالُ عَهْدِي الظَّالِمِينَ (124)
“Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa kalimah (suruhan dan larangan), maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya. (Setelah itu) Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi imam (pemimpin ikutan) bagi umat manusia”. Nabi Ibrahim pun memohon dengan berkata: “(Ya Tuhanku!) Jadikanlah juga (apalah jua kiranya) dari zuriat keturunanku (pemimpin-pemimpin ikutan)”. Allah berfirman: “Permohonanmu diterima, tetapi janji-Ku ini tidak akan didapati oleh orang-orang yang zalim”. (Surah Al-Baqarah: 124)
Zalim itu bermaksud tidak adil yang merangkumi segala aspek diri manusia, akidah, syariat dan akhlak, bukan dalam skop yang sempit. Maka adil itu adalah syarat penting bersama ilmu dan kemampuan lain berpandukan petunjuk Allah. Firman Allah:
وَجَعَلْنَا مِنْهُمْ أَئِمَّةً يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا لَمَّا صَبَرُوا وَكَانُوا بِآيَاتِنَا يُوقِنُونَ (24) إِنَّ رَبَّكَ هُوَ يَفْصِلُ بَيْنَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ (25) أَوَلَمْ يَهْدِ لَهُمْ كَمْ أَهْلَكْنَا مِن قَبْلِهِم مِّنَ الْقُرُونِ يَمْشُونَ فِي مَسَاكِنِهِمْ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ أَفَلَا يَسْمَعُونَ (26)
“Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum agama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan kami. (24); (Pertentangan di antara satu golongan dengan yang lain itu) Sesungguhnya Tuhanmu sahajalah yang akan memutuskan hukum-Nya di antara mereka pada hari Kiamat, mengenai apa yang mereka berselisihan padanya. (25); Dan belumkah lagi ternyata kepada mereka: Bahawa Kami telah binasakan berapa banyak dari kaum-kaum yang kufur ingkar dahulu daripada mereka, padahal mereka sekarang berulang-alik melalui tempat-tempat tinggal kaum-kaum itu? Sesungguhnya kebinasaan kaum-kaum itu mengandungi keterangan-keterangan (untuk mengambil iktibar), oleh itu tidakkah mereka mahu mendengar (dan insaf)?”. (26) (Surah As-Sajdah: 24-26)
Al-Quran menunjukkan contoh umat terdahulu yang telah diselamatkan oleh pemimpin yang adil, beriman dan budiman, dan dibinasakan negara yang besar tamadunnya apabila pemimpin zalim, tidak beriman dan tidak budiman.
Umat Islam juga menerima nasib dan akibat yang sama apabila melaksanakan amalan politik kotor sehingga berlaku zalim dan dilenyapkan tamadunnya yang hebat dan kaya raya di Andalusia, Syam, Iraq, Turki dan lain-lain walaupun bertaraf kuasa besar dunia.
Namun, Allah tetap memelihara cahaya Islam yang menjadi penyuluh umatnya walaupun kuasa politik dilenyapkan. Sepatutnya mereka kembali semula menjadi model kepada semua kaum bersama ajaran Islam yang paling mulia ini dan hendaklah berusaha mencapai pesanan Allah:
وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ (104)
“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam yang sempurna), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang mungkar (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya”. (Surah Aali ‘Imraan: 104)
Kumpulan yang bercirikan penyatuan dakwah dan politik yang tertinggi dalam agenda amar makruf dan nahi mungkar yang bernegara dijanjikan kemenangan di dunia dan akhirat. Maka tolak sahaja politik kotor dan pengamalnya yang dipalitkan dalam masyarakat kita hari ini, kerana merosakkan negara dan menyusahkan rakyat yang masih terbelenggu dalam segala kesusahan.
Khalifah Umar bin Al-Khattab R.A. berpesan:
تَفَقَّهُوا قَبْلَ أَنْ تُسَوَّدُوا (رواه البخاري)
“Berilmu dan fahami ilmu itu sebelum kamu dijadikan pemimpin (bukan kamu sendiri mengangkat diri menjadi pemimpin”. (Riwayat Al-Bukhari)
Berilmu melalui budaya ilmu Islam yang bermoral secara riwayat dan dirayat (salasilah riwayat memenuhi yang sahih dan kefahaman guru yang mursyid) berpandukan hidayah yang dipohon kepada Allah dengan ikhlas, bukan sekadar bersendirian dalam maklumat dunia tanpa sempadan yang terdedah kepada gangguan syaitan yang menyesatkan.
Rasulullah S.A.W. bersabda supaya jangan jadikan politik ini rebutan mendapat kedudukan dunia sehingga gelojoh, kerana hidayah Allah sangat diperlukan:
لا تَسْأَل الإمارَةَ؛ فَإنَّكَ إن أُعْطِيتَها عَن غَيْرِ مسأَلَةٍ أُعِنْتَ علَيها، وَإنْ أُعْطِيتَها عَن مسأَلةٍ وُكِلْتَ إلَيْها (رواه البخاري)
“Jangan meminta-minta menjadi ketua. Jika diberikan kepadamu dengan sebab meminta nescaya dibebankan dirimu (tanpa pertolongan Allah), jika diserahkan kepadamu bukan dengan memintanya nescaya Allah menolongmu”. (Riwayat Al-Bukhari)
   
“Islam Memimpin Perpaduan”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 21 Zulkaedah 1440 / 24 Julai 2019 - HARAKAHDAILY 24/7/2019

Lihat sebelum ini..
E-Buku IH-118: Siri Politik Islam Masakini -Presiden PAS
E-Buku IH-118: Siri Politik Islam Masakini -Presiden PAS

No comments:

Post a Comment