Hadir Sidang Dun: Sikap Adun Tronoh memalukan
IPOH: Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Perak, Dr Najihatussalehah Ahmad berkata, tindakan Adun Tronoh DAP hadir ke Sidang Dun Negeri Perak hari ini merupakan satu tindakan yang memalukan.
Beliau yang kini masih dalam tempoh siasatan pihak berkuasa atas tuduhan merogol pembantu rumah warga Indonesia seharusnya direhatkan dari sebarang tugasan Exco Kerajaan atau pun Adun.
"Tindakan beliau yang hadir ke Sidang Dun Negeri Perak hari ini menzahirkan bahawa beliau tidak mempunyai sensitiviti atas nasihat ramai dan juga Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ahmad Faizal Azumu agar beliau direhatkan.
"PH khususnya sayap wanita mereka seharusnya terkehadapan dalam memperjuangkan isu ini dalam menjamin hak-hak wanita dipelihara sebaiknya termasuklah keselamatan bukan warganegara yang bekerja di Malaysia.
''Sepanjang isu ini timbul, saya melihat pimpinan wanita PH hanya diam dan tidak menyuarakan ketegasan dalam menyelesaikan isu rogol ini kerana ia juga membabitkan maruah pemimpin dan negara kita Malaysia," gesanya.
Dr Najihatussalehah mendesak agar kerajaan khususnya parti DAP menggantung tugas dan jawatan yang digalas beliau selaku Exco Kerajaan Negeri sehingga tamatnya siasatan ke atas beliau.
"Rombakan Exco juga boleh dilakukan bagi membuktikan mereka benar-benar mempunyai barisan kepimpinan yang berwibawa untuk memerintah negeri ini," tambahnya.
Menurutnya, dasar integriti dan kredibiliti seseorang pemimpin yang selama ini dilaungkan hanyalah seperti berbalik pada diri sendiri dan mengundang pandangan negatif masyarakat luar terhadap pimpinan kerajaan negeri dan PH. - HARAKAHDAILY 23/7/2019
Lihat lagi..
No comments:
Post a Comment