Wednesday, July 17, 2019

Unik, Tahfiz Ini Ada Belajar Seni Bela Diri Kungfu.



KLANG: Seni bela diri seperti silat sering dikaitkan dengan pelajar tahfiz namun ada yang lebih unik dan berbeza apabila pusat tahfiz di Kampung Rantau Panjang di sini, mewajibkan semua pelajarnya mempelajari ilmu dan seni kungfu.

Madrasah Ulumulquran Wal Ahadith (Muqwa) yang ditubuhkan pada 2011 mewajibkan semua pelajarnya bermula dari usia tujuh hingga 18 tahun untuk mengenali pelbagai seni bela diri atau dikenali sebagai mix martial arts (MMA).

Idea berkenaan muncul apabila pengetua dan pengasas pusat tahfiz itu, Amran Johari, 42, ingin mencari kelainan supaya pelajarnya kekal cergas terutama dalam sesi pembelajaran pada waktu pagi.

“Saya ingin melihat semua pelajar lelaki dan perempuan terbabit dalam aktiviti sukan yang membolehkan mereka bertenaga pada sesi pembelajaran.

“Jadi, saya wajibkan semua pelajar mengikuti enam latihan bela diri antaranya silat, kungfu, tinju, Jiu-Jitsu, Jeet Kune Do dan Ninjitsu.

“Kita dedahkan semua seni pertahanan diri itu kepada pelajar dalam bentuk campuran yang mana setiap satunya boleh diikuti dengan lancar dan berkesan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, bagi memastikan tumpuan pelajar terhadap pelajaran tidak terganggu, kelas sukan bela diri itu hanya diadakan pada jam 9 malam setiap Jumaat.

“Niat kita membuka peluang mempelajari seni bela diri ini bukanlah untuk mengalakkan pelajar bergaduh sebaliknya kita mahu pelajar lebih yakin apabila berdepan situasi yang mendesak seperti berdepan dengan penjenayah.

“Namun, ilmu al-Quran tidak boleh diketepikan dalam proses mempelajari seni bela diri kerana ia adalah asas yang perlu dimiliki pelajar untuk menjadi Muslim yang baik,” katanya.

Ditanya mengapa seni kungfu yang dipilih, Amran berkata, seni bela diri itu mempunyai keunikannya yang tersendiri kerana segala pergerakan berperanan melancarkan peredaran darah.

“Apabila kita berkungfu atau melakukan seni bela lain, secara tidak langsung otak kita akan lebih cerdas kerana darah yang mengalir menjadi lebih lancar.

“Malah, pergerakan pantas yang diajar membuatkan pelajar berfikir dengan pantas dalam sesuatu perkara.

“Ini semua mempunyai hubung kait yang hanya boleh dirasai oleh mereka yang melakukannya,” katanya.

Mengendalikan lebih 250 pelajar di Muqwa, Amran berkata, setakat ini tiada ibu bapa yang bimbangkan keselamatan anak mereka semasa belajar seni bela diri, malah lebih yakin berikutan anak mereka mempunyai skil berkenaan.

“Lazimnya ibu bapa yang menghantar anak ke pusat tahfiz mempunyai impian untuk melihat anak mereka berjaya mengejar ilmu Allah SWT. Jadi, mereka menyerahkan tugas itu kepada guru.

“Apabila ibu bapa tahu seni bela diri termasuk dalam silibus pelajaran, mereka sangat gembira kerana anak mereka boleh mempelajari skil yang sukar untuk didapati di luar,” katanya.

Sementara itu, Dhomiruddin Pejo, 32, yang berasal dari Solo, Indonesia yang diberikan kepercayaan melatih pelajar seni pertahanan diri campuran terbabit nekad ingin menjadikan kesemua pelajarnya pendakwah yang berkebolehan tinggi.

“Semasa saya menerima tawaran mengajar di tahfiz ini pada 2014, saya teruja kerana saya juga dikehendaki mengajar seni pertahanan diri campuran yang saya pelajari sejak berumur 12 tahun lagi.

“Sudah menjadi cita-cita saya untuk mengajar ilmu Allah SWT sambil melatih seni bela diri dan tawaran dari mudir di tahfiz ini antara hadiah terindah dalam hidup.

“Sebaik saya tiba di tahfiz ini, saya nekad menjadikan semua pelajar bukan saja cemerlang dalam ilmu al-Quran tetapi juga memiliki skil pertahanan diri yang lengkap untuk digunakan ketika kecemasan apabila di luar nanti,” katanya.





Lebih menarik apabila penduduk di kawasan itu turut berpeluang mempelajari seni bela diri dengan dikenakan yuran bulanan rendah di mana separuh daripada yuran terbabit disumbangkan kepada operasi pusat tahfiz berkenaan.

“Sehingga kini kita sudah melatih lebih 200 individu termasuk pelajar tahfiz ini.

“Saya mahu buktikan kepada masyarakat bahawa institusi tahfiz bukanlah terdiri daripada insan yang lemah, malah mereka adalah yang terpilih untuk belajar ilmu Allah SWT dan pada masa sama turut berkebolehan membela diri,” katanya. (MyMetro)


Hasil carian web


Hibur Hibur Sikit.


Video: Santri Santri Silat (Silat Disciples)


Santri Santri Silat (Silat Disciples)

  • 2 years ago
  • 171,069 views
Endah diikuti orang asing sepulang sekolah. Ia melawan. Endah is followed by a strange man. She fights. Follow MondiBlanc for ...
  • CC


Lihat lagi..
Ini Peluang Kerja Dan Jadi Usahawan. (1)


No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails