Sunday, August 11, 2019

2.5 Juta Umat Islam Berwukuf Di Arafah


PADAT... Jemaah haji dari seluruh dunia kini berada di Arafah untuk melaksanakan rukun haji kedua iaitu wukuf di Arafah. - Foto BERNAMA  



ARAFAH: Kira-kira 2.5 juta umat Islam berpakaian serba putih membanjiri dataran di Bukit Arafah hari ini, sebagai tanda bermulanya wukuf untuk melengkapkan ibadat haji dalam keadaan cuaca yang sangat panas.
Wukuf bermula kira-kira jam 12.30 tengah hari (waktu tempatan) iaitu sekitar jam 5.30 petang (waktu Malaysia) dan sepanjang tempoh itu jemaah akan berada di Bukit Arafah sehingga matahari terbenam pada 9 Zulhijjah (petang ini).
Semua jemaah bergerak ke Arafah meninggalkan Mina, selepas menunaikan ibadat dengan menaiki bas atau berjalan kaki sebelum waktu Subuh.
Ada dalam kalangan jemaah yang membawa makanan, alas tempat duduk dan kipas untuk mengurangkan bahang panas ketika suhu mula meningkat sehingga 40 darjah Celsius.
Jemaah Yaman, Zaid Abdullah,30, yang bekerja di sebuah pasar raya di Arab Saudi berkata, beliau mendoakan kesejahteraan negaranya yang terbabit dengan perang hingga menyebabkan puluhan ribu rakyat meninggal dunia dan menyebabkan krisis kemanusiaan terburuk di negara itu.
“Kami boleh bertahan dalam cuaca panas kerana dosa kami lebih besar. Kami memohon agar Allah mengurangkan rasa panas di akhirat nanti, kerana panas ketika di dunia masih mampu ditahan,” katanya sambil menghampiri Bukit Arafah yang juga dikenali sebagai Bukit Keampunan.
Seorang pemandu teksi, Khaled Maatouq berkata, beliau memohon agar peperangan di negara asalnya Libya, berakhir.
“Saya memohon kepada Allah agar menyatukan kita semua,” katanya.
Bagi jemaah Mesir, Ramadan al-Jeedi menzahirkan rasa syukur kerana mampu menemani ibunya selepas kematian bapanya tahun lalu.
“Satu perasaan yang sangat menarik, merasa kita dipilih Allah untuk berada di tempatnya,” katanya.
Antara jutaan jemaah yang menunaikan ibadat haji tahun ini, 200 daripadanya adalah keluarga mangsa pembunuhan beramai-ramai di dua masjid, di New Zealand, pada Mac lalu.
Seluruh jemaah akan berada di Bukit Arafah seharian sehingga matahari terbenam. Selepas itu mereka akan bergerak ke Muzdalifah untuk mengutip batu bagi melaksanakan ibadat melontar di Jamrah esok, ketika Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Korban sebagai tanda pengorbanan seorang hamba. - Reuters
Lihat lagi..
Ini Peluang Kerja Dan Jadi Usahawan. (1)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails