PULAU PINANG 24 Ogos - Biarpun hujan lebat, lebih 200 nelayan di negeri ini tetap bersemangat untuk berhimpun secara aman di Padang Polo di sini bagi mendesak kerajaan negeri membatalkan projek tambakan laut terutama projek tambakan laut di perairan selatan Pulau Pinang (PSR).
Perhimpunan aman selama sejam bermula kira-kira pukul 5 petang hari ini turut dihadiri wakil-wakil daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antaranya Penang Forum dan Persatuan Nelayan Negeri Pulau Pinang (PenMutiara) yang turut mendesak kerajaan negeri agar segera memulihara sumber marin yang semakin terancam ekoran aktiviti tambak laut.
Pengerusi PenMutiara, Nazri Ahmad berkata, ketika ini nelayan di negeri ini bersendirian dalam menangisi dan meratapi kerosakan ekosistem dan sumber pendapatan di laut yang dicerobohi manusia yang tamak.
"Golongan yang mementingkan tembolok ini sanggup membiarkan nelayan negeri ini dan keluarga meratapi hari esok yang semakin kelam.
"Mungkin ada suara yang menyatakan golongan nelayan ini hanya menyalak bukit, tetapi kami golongan nelayan akan terus berjuang demi sesuap nasi walaupun kerajaan seakan mengenetepikan suara kami,"katanya ketika berucap dalam perhimpunan aman Penang Tolak Tambak di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Persatuan Nelayan Selatan Pulau Pinang, Arshad Omar dan Ahli Jawatankuasa Penang Forum, Khoo Salma Nasution.
Pada masa ini, kerajaan negeri bercadang untuk menebus guna 1,821.085 hektar kawasan laut bagi membina tiga pulau buatan merentang dari selatan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang ke arah timur sekitar Permatang Damar Laut.
Projek PSR dicadangkan bertujuan mewujudkan bank tanah untuk membiayai projek Pelan Pengangkutan Pulau Pinang (PIP).
Menurut Nazri ketika Malaysia bakal menyambut kemerdekaan kali ke-62 tahun ini, ramai jutawan, cerdik pandai dan golongan pemimpin sedang menjamah hasil nelayan di hotel mewah namun mereka telah melupakan keringat nelayan.
"Wahai pemimpin, ingatkan kami juga mempunyai keluarga yang perlu disara.
"Kami juga boleh melayan anda sedemikian ketika tempoh kekuasaan anda menghampiri edahnya," katanya. - UTUSAN ONLINE
Lihat lagi..
- Ini Peluang Kerja Dan Jadi Usahawan. (1)
- Hanya 30 Hari, Dapat Kerja Dan Boleh Jadi Usahawan...(2)
- Pembelanjaran Gunting Rambut Secara Ringkas..(3)
- Dari Ambil Alih Kedai Gunting Bapa, Kini Jadi Juta...(4)
No comments:
Post a Comment