Friday, August 02, 2019

Judi Pemain Badminton Negara Libatkan Along.

Hasil carian imej untuk Judi Pemain Badminton Negara Libatkan Along.

KETAGIH judi dalam talian di aplikasi telefon bimbit dikatakan punca segelintir pemain badminton negara meminjam wang daripada ceti haram hingga mencecah ratusan ribu ringgit selepas kehabisan duit elaun latihan.

Risikan Arena Metro mendapati, sekurang-kurangnya dua pemain badminton lelaki negara daripada skuad perseorangan dan beregu terbabit dengan kegiatan itu.
Menurut sumber, perkara berkenaan memang sangat serius kerana ia bermula sejak dari peringkat sekolah.

“Apabila mereka kalah berjudi di Internet, along akan menjadi tempat untuk mereka meminjam wang. Jurulatih pun tidak tahu kerana mereka hanya menggunakan telefon bimbit,” kata sumber berkenaan ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Dia mendakwa, pemain senior juga ada yang terbabit dalam permainan judi di telefon bimbit dan mereka daripada keluarga kurang berada akan memilih jalan singkat meminjam wang dengan along.

“Perkara ini memang susah untuk dihentikan kerana jurulatih bukan boleh memantau telefon bimbit mereka setiap masa. Saya rasa perlu ada program untuk menyedarkan mereka kerana aktiviti berkenaan bermula sejak di peringkat sekolah.
“Aktiviti ini memerlukan kawalan ketat jika tidak ia tiada kesudahan kerana mereka akan sentiasa meminjam daripada beberapa along sama seperti situasi ‘gali lubang tutup lubang’,” katanya.

Ditanya sama ada terdapat kes membabitkan along datang menuntut wang daripada pemain di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, sumber berkenaan mengakui ia belum sampai ke tahap itu.

“Apa yang saya tahu along berkenaan datang menyerbu rumah keluarga mereka untuk menuntut semula wang mereka,” katanya.

Di Putrajaya, mengulas isu itu, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata dakwaan itu satu kesalahan serius dan perlu ditangani sebaik mungkin.
Namun, beliau tidak mahu mengulas lanjut mengenai berita itu sebelum mendapat laporan terperinci mengenainya.

“Saya perlu mendapatkan maklumat terperinci mengenai perkara ini terlebih dulu sebelum memberikan komen lanjut selepas ini.
“Namun bagi saya judi adalah haram dan melanggar peraturan termaktub dalam BAM dan satu isu serius yang perlu dikendalikan sebaik mungkin,” katanya pada sidang media selepas pelancaran The Great Malaysia Marathon di kementeriannya di sini, semalam.

Sementara itu, Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria, ketika ditemui berkata, beliau akan meneliti perkara itu dan membincangkan bersama barisan jawatankuasa undang-undang dan disiplin.
Katanya, satu siasatan akan dijalankan untuk mengkaji sama ada perkara yang berbangkit ini adalah benar atau sebaliknya.

“Perkara ini membabitkan isu disiplin. Tapi kadang-kadang ia cuma spekulasi saja. Kami akan kaji dan lihat balik semula perkara ini untuk melihat sejauh mana tahap kesalahan yang mereka lakukan,” katanya.(MyMetro)

Peluang Kerja Di Australia Dibuka Lagi..
Kerja Di Australia, Dibuka..

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails