Saturday, August 03, 2019

Raja Permaisuri Agong Inspirasi Wanita Masa Kini.




DEWAN Muslimat PAS Negeri Sarawak merafak sembah tahniah atas pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sekali gus mengangkat Tuanku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sebagai Raja Permaisuri Agong pada 30 Julai lalu. Kehadiran Raja Permaisuri Agong sebagai 'ibu' bagi negara ini mengujakan banyak pihak atas sebab keperibadian baginda yang istimewa. 
Muslimat PAS Sarawak ingin menyorot keperibadian Raja Permaisuri Agong yang sarat dengan jiwa kewanitaan dan dimanifestasikan dalam peranan baginda terhadap masyarakat dan keluarga. 
Raja Permaisuri Agong menunjukkan suri teladan menjadi seorang isteri yang baik di sisi suami baginda. Dengan kedudukan baginda sebagai 'wanita pertama' negara, dikelilingi ramai pembantu, baginda masih mampu menjaga dan menguruskan makan minum suami. 
Tidak setakat itu, berita yang mengkhabarkan bahawa baginda menjahit sendiri sampin Yang di-Pertuan Agong dengan jahitan tangan, pasti mengejutkan banyak pihak. Sebagai seorang permaisuri baginda boleh memilih untuk menitahkan  para pembantu untuk melakukan semua tugasan ini, tetapi baginda menunjukkan penghayatan luar biasa akan tanggungjawab seorang isteri walaupun berada pada kedudukan tertinggi.
Ayuh kita lihat lagi, keistimewaan seorang permaisuri ini. Jika kita masih ingat,Pantai Timur pernah dilanda banjir besar pada tahun 2014. Negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang tenggelam dilanda banjir. Baginda ketika itu sering berada di sisi Yang di-Pertuan Agong mencemar duli berangkat meninjau pusat-pusat pemindahan banjir di Pahang, sebagai pemerintah yang prihatin. 
Apa yang menarik, baginda turut menyinsing lengan, membantu rakyat yang berada dalam kesusahan ketika itu, memasak dan menghidangkan makanan untuk mereka. Hal ini bukan suatu gimik atau lakonan untuk sesi fotografi, namun menjadi rutin baginda setiap kali banjir melanda negeri Pahang.
Penglibatan Raja Permaisuri Agong dalam kerja amal untuk masyarakat bukan perkara baharu. Sejak tahun 2005 baginda mengasaskan Tunku Azizah Fertility Foundation (TAFF) bagi membantu pasangan yang memerlukan bantuan untuk mendapatkan zuriat. 
Sempena pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang ke-16 ini, baginda berkenan menaja 60 pasangan untuk mendapatkan rawatan menerusi yayasan ini. Hal ini nyata membuktikan istiqamah baginda dalam menjalankan kerja amal secara serius dan tersusun. 
Kisah-kisah sebegini seakan mengingatkan kita kepada keperibadian Permaisuri Zubaidah, isteri Khalifah Harun al-Rasyid. Baginda ketika itu amat prihatin akan keperluan rakyat baginda yang bermusafir mengerjakan haji dari Baghdad ke Mekah. Keprihatinan baginda mencetuskan  idea membangunkan perhentian, perumahan dan kemudahan air minuman untuk para jemaah haji yang kemudiannya dinamakan "Mata Air Zubaidah." 
Sesungguhnya, hanya jiwa yang mempunyai nilai tulus budi yang tinggi sahaja mampu mendorong seseorang untuk memikirkan cara menyelesaikan masalah orang ramai. Hal ini ibarat satu anugerah kerana tidak ramai yang sudah berada di atas takhta singgahsana mampu menyelami permasalahan rakyat jelata apatah lagi berusaha bersama-sama mencari jalan penyelesaian.
Kehadiran Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sebagai Raja Permaisuri Agong memberi nafas baharu kepada  wanita khususnya yang bekerjaya agar tidak leka dengan tugasan di luar rumah semata-mata hingga menganggap tugas di rumah tidak lagi signifikan. Diharapkan hal ini akan dapat menyeimbangkan suara-suara sesetengah wanita sendiri yang cenderung menganggap tugasan asas sebagai ibu rumah tangga adalah tugasan kelas kedua, walhal tugasan inilah yang menjadi tunggak kestabilan keluarga dan masyarakat. 
Raja Permaisuri Agong memberi wajah baharu wanita moden. Baginda membuktikan wanita yang sibuk menggerak dan memimpin masyarakat masih mampu menjadi isteri dan ibu di sisi suami dan anak-anak. Hasilnya akan lahirlah kestabilan dalam keluarga yang akhirnya menjadi asas masyarakat yang harmoni. 
Muslimat PAS Sarawak mendoakan moga Raja Permaisuri Agong akan terus menjadi inspirasi kepada semua wanita Sarawak dan Malaysia.
"Dirgahayu Tuanku"
USTAZAH JULIANI ADIN
Ketua Muslimat
Dewan Muslimat PAS Negeri Sarawak 
HARAKAHDAILY 2/8/2019


Peluang Kerja Di Australia Dibuka Lagi..
Kerja Di Australia, Dibuka..

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails