PM: Pas tolak ciri pelahap, gemar tonjol diri
MARANG 2 Ogos - Pas tidak menghalang sesiapa sahaja menjadi Perdana Menteri tetapi dengan syarat biarlah individu itu dipilih oleh rakyat selain memiliki ciri-ciri pemimpin sejati, amanah, bertanggungjawab serta menepati konsep Islam sebenar dan bukan pelahap.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, mana-mana pemimpin yang gagal menguruskan hal peribadi serta terlalu gemar menonjolkan diri sendiri agar dilantik mengisi jawatan adalah ditolak sama sekali.
Jelas beliau, malah dalam hadis ada menyatakan bahawa Nabi tidak akan melantik mana-mana individu yang meminta-minta atau menonjolkan diri sendiri untuk dilantik mengisi sesuatu jawatan.
“Kita tak nak tentukan siapa jadi PM (Perdana Menteri), kita nak siapa yang rakyat pilih, siapa berhak dan jalankan tugas dengan betul. Untuk kita nyatakan orang lebih awal (jadi PM) bukan sifat orang Islam kita. Lantik diri sendiri, tonjol diri sendiri, itu bukan ajaran Islam dan ia sudah lari dari konsep Islam.
“Bahkan dalam hadis, Nabi ada kata, demi Allah aku tak lantik orang yang mahu meminta-minta, orang yang tonjol diri, demi Allah aku tak beri jawatan orang macam ini. Itu Nabi sebut, bukan saya sebut. Jadi orang Islam kena fahamlah,” katanya.
Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menyatakan perkara itu kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya di Rusila sejurus selesai mengadakan Kuliah Jumaat di Masjid Rusila di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas isu kedudukan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri dan adakah kemungkinan Pas mempunyai agenda sendiri bagi menentukan siapa bakal dilantik menjadi Perdana Menteri kelapan nanti.
Abdul Hadi seterusnya mengulas lanjut, Islam sentiasa menekankan bahawa pemimpin yang dilantik hendaklah kalangan mereka yang amanah, bertanggungjawab dan bukan pelahap.
“Saya tak tuju pada sesiapa dalam hal ini, siapa pun kalau terlalu gemar sangat (tonjol diri) Nabi ada kata: Tuhan akan humbankan dia tanpa diturunkan oleh Allah kalau orang itu gemar sesuatu jawatan. Tapi kalau diberi amanah bukan diminta sebagai satu tanggungjawab dan dia tidak pelahap, maka Tuhan akan turunkan,” katanya.
Beliau berkata, seseorang pemimpin juga perlu dipilih kalangan mereka yang benar-benar mampu menguruskan hal kepentingan rakyat, bukannya tidak habis-habis ditimpa masalah peribadi.
“Apa yang berlaku hari ini, (ada pemimpin) tak boleh nak uruskan parti sendiri. Sama-sama dalam parti tak boleh nak urus masalah yang berkait hal peribadi, bukan berkaitan rakyat. Kalau (asyik) bahas tentang hal peribadi macam mana nak urus masalah rakyat. Sebab itu kita tak mahu bazir masa kecewakan rakyat dengan masalah peribadi antara pemimpin,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE
Peluang Kerja Di Australia Dibuka Lagi..
No comments:
Post a Comment